Pekerja Twitter Akan Dipecat Sekiranya Langganan “Verified” Tidak Diimplimentasi Menjelang 7 November
Nazrin
Seperti yang sedia maklum, Elon Musk mahu menjadikan langganan Twitter Blue sebagai satu-satunya cara untuk pengguna mendapatkan status Verified di platform tersebut. Twitter Blue tampil dengan pelbagai ciri seperti fungsi Bookmark yang lebih meluas, perkongsian NFT, suntingan ciapan dan sebagainya.
Menurut laporan The Verge, Elon Musk dilihat mahu meningkatkan harga langganan Twitter Blue dari $4.99 (~RM30) sebulan ke $20.00 (~RM90) sebulan untuk memastikan akaun-akaun yang mahukan status Verified membayar untuknya setiap bulan.

Ia juga dilaporkan bahawa pelan untuk mengecas pengguna melalui Twitter Blue untuk status tersebut bukanlah sesuatu yang baru, tetapi meningkatkan tanda harga langganan tersebut merupakan sebuah keputusan mengejut yang dibuat oleh Elon Musk.
Bukan itu sahaja, pemilik baru Twitter tersebut juga telah mengarahkan para pekerja Twitter yang bertanggungjawab keatas program langganan Twitter Blue untuk mengimplimentasikan amaran 90 hari untuk melanggan Twitter Blue sebelum kehilangan status tersebut menjelang 7 November ini, atau mereka akan dipecat.

Ini boleh dilihat sebagai satu situasi yang cukup aneh buat Twitter kerana langganan Twitter Blue masih lagi terhad di beberapa pasaran terpilih seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand, dan program Verified boleh diakses secara global.
Adakah ini juga bermakna bahawa Twitter akan memperkenalkan langganan Twitter Blue kepada semua pengguna mereka dalam masa terdekat ini?
[sumber]The Verge[/sumber]