Carian
Kanye West Memulakan Kempen GoFundMe Untuk Mengembalikan Status Sebagai Bilionwan
November 2, 2022 Effi Saharudin

Kanye West ialah penyanyi rap, pereka fesyen, dan penerbit muzik yang terkenal. Ramai yang merasakan beliau adalah antara penyanyi rap terbaik dunia cuma akhir-akhir ini beliau terpalit dengan skandal mengeluarkan kenyataan anti-semitik yang menyebabkan kontrak beliau dengan Balenciaga dan Adidas ditamatkan.

Oleh sebab itu secara serta merta status beliau sebagai seorang bilionwan turut terhapus sekelip mata. Laman All Hip Hop melaporkan West telah membuka kempen menerusi laman biayasama GoFundMe bagi mengumpul dana untuk mengembalikan status bilionwan beliau.

Kempen menyasarkan kutipan $1 bilion (~RM 4.8 bilion) daripada orang ramai. Tetapi malang sekali untuk West, ia hanya berjaya mengumpul $5 (~RM24) sahaja sebelum dipadam oleh pihak GoFundMe kerana melanggar terma dan syarat laman. Sungguhpun bukan lagi seorang bilionwan, West telah bersetuju untuk membeli platform media sosial sayap kanan Parler beberapa minggu yang lalu. Tidak diketahui sama ada hasrat ini akan diteruskan kerana ia dilakukan sebelum kontrak beliau dengan Balenciaga dan Adidas dibatalkan.

Komen