Fujifilm X-T5 Boleh Dipratempah Di Malaysia Pada Harga Bermula RM8648

Diterbitkan pada Nov 4, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Fujifilm X-T5 telah dilancarkan sebagai variasi kemaskini untuk Fujifilm X-T4 yang dipasarkan pada 2020. Dengan X-T5, kamera nircermin ini memuatkan sensor yang lebih besar, di samping penambahbaikan dalam beberapa ciri. Ini termasuklah, sokongan IBIS lima paksi sehingga 7.0 hentian, AF pengesanan subjek berasaskan AI dan AF berkelajuan tinggi untuk mencapai fokus pada subjek sepantas 0.02 saat.

Seterusnya, sensor 40.2-Megapixel X-Trans CMOS 5 HR APS-C yang dijana pemproses X-Processor 5 digunakan. Ia mampu merakam gambar sehingga 20FPS menggunakan pengatup elektronik atau sehingga 15 FPS menggunakan pengatup mekanikal. Terdapat juga kebolehan merakam video 10-bit 4:2:2 pada 6.2K/30P atau mod HQ 4K. Selain itu, ia juga boleh merakam video RAW yang direkod sebagai Apple ProRes RAW atau Blackmagic RAW pada resolusi dan kadar bingkai sehingga 6K 30FPS.

Turut disertakan adalah viewfinder OLED sebesar 0.5-inci dengan sensor terbina. Sebuah panel LCD sebesar 3-inci terletak pada panel belakang yang boleh digerakkan mengikut keperluan pengguna. Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi port USB-C, HDMI Micro (Jenis D), slot kad SD/SDHC/SDXC/UHS-II/UHS-II/V90 dan sebuah bicu audio 3.5mm. Bateri yang digunakan membolehkan sehingga 580 gambar dan kira-kira 130 minit rakaman video 6.2K atau 4K dengan sekali pengecasan.

Di Malaysia, Fujifilm X-T5 ditawarkan pada harga bermula RM8,648 tanpa lensa. Ia kemudiannya meningkat kepada RM10,688 dengan lensa X518-55mm Kit dan RM11,198 pula dengan XF16-80mm Kit. Bagi yang berminat, sesi pratempah telah mula dibuka sekarang – 13 November 2022.

komen


© Amanz / 2022 Kami