Carian
Pemenang Program Hack-A-Tech Diumumkan – Vircle Memenangi RM50,000
November 7, 2022 Syafia Hani

Baru baru ini, Jewel Digital Ventures telah mengumumkan para pemenang program maya :  Hack-A-Tech 2022. Melalui 140 penyertaan yang mengumpulkan seramai 300 peserta merangkumi pelbagai jenis lapisan masyarakat serta bidang, hanya lima kumpulan telah disenarai pendek bagi setiap kategori, seterusnya dipilih menjadi pemenang utama bagi hackathon ini. 

Hack-A-Tech merupakan inisiatif Jewel Digital Ventures, dengan kerjasama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan 1337 Ventures yang bertujuan meneroka dan mengenalpasti penyelesaian inovatif dalam industri teknologi kewangan, seiring dengan perkembangan industri tersebut pada masa kini. Berlangsung selama tiga hari bermula dari 14 sehingga 16 Oktober, ternyata hackathon ini berjaya mencungkil bakat dan idea terpendam peserta dalam memajukan industri teknologi kewangan. 

Terdapat dua kategori yang dipertandingkan dalam hackathon ini. Pertama adalah kategori Open Track, yang menjadi platform kepada para pelajar, para pemaju, peserta pertama kali serta pereka produk dalam mencurahkan buah fikiran dan konsep kerja menarik mengenai penawaran produk, fungsi dan ciri ciri produk. Bagi kategori ini, tempat pertama dimenangi oleh Muhamad Afiq bin Mohd Nasri, diikuti oleh Tic-TECH-Toe (tempat kedua) dan It’s Not A Bug, It’s A Feature (tempat ketiga).

Manakala kategori kedua iaitu Advanced Track, terbuka kepada pakar teknikal dan perniagaan, khususnya syarikat startup yang mempunyai misi tersendiri dalam penciptaan bersama produk atau perkhidmatan terbaru. Penciptaan bersama ini secara asasnya mengambil kira cadangan dan pendapat pengguna dalam penghasilan satu produk mahupun perkhidmatan yang berinovasi.

Dengan mengetengahkan idea untuk membantu ibu bapa menjadikan anak-anak cerdik dalam pengurusan kewangan, pemenang utama bagi kategori Advanced Track iaitu aplikasi Vircle telah berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 50,000. Wang tunai sebanyak RM10,000 bagi tempat kedua pula diraih oleh aplikasi Pod, yang membantu pengguna menyimpan wang bagi mencapai matlamat tertentu seperti simpanan persaraan dan simpanan kecemasan.

Aplikasi Finory yang memudahkan pengurusan kad kredit seperti pembayaran hutang kredit pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM 5,000 dan juga gelaran tempat ketiga bagi kategori ini. Bagi pemenang-pemenang kategori ini, geran bernilai RM100,000 akan diberikan jika pihak ASNB mengimplementasikan projek mereka ini dalam perniagaan mereka pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, setimpal dengan usaha dan idea yang dicurahkan, para pemenang membawa pulang hadiah keseluruhan dalam bentuk wang tunai yang bernilai sehingga RM 391,000 serta faedah Microsoft Azure Credit, Microsoft Productivity/Dev Tools dan Microsoft Azure Certification. Akhir kata, kami di pihak AMANZ turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada para pemenang berbakat, perintis kemajuan industri teknologi kewangan Malaysia.

Komen