Carian
Asus ROG Phone 6 Batman Edition Turut Tiba Di Malaysia Dengan Harga RM4,799
November 8, 2022 Fahim Zahar

Semasa Asus melancarkan ROG Phone 6D September lepas, mereka turut melancarkan Asus ROG Phone 6 Batman Edition. Peranti ini hadir dengan dua pilihan, iaitu yang dijana Snapdragon 8+ Gen 1 atau Dimensity 9000+. Kini, peranti ini turut tiba di pasaran Malaysia – tetapi terhad dengan pilihan Dimensity 9000+ sahaja.

Seperti Asus ROG Phone 6 dan Asus ROG Phone 6D, edisi Batman ini turut hadir dengan spesifikasi yang lebih kurang sama. Ia menggunakan skrin 6.78-inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 165Hz, dijana cip Dimensity 9000+, dan menggunakan memori LPDDR5X 12GB serta storan dalaman UFS3.1 256GB. Kamera pula adalah 50+13+5 Megapixel dengan kamera swafoto 12 Megapixel. Kamera turut boleh merakam 8K UHD 24fps dan HDR10+.

Audio adalah jenis stereo simetri dengan Dirac HD Sound serta sistem 5-magnet Cirrus Logic. Menyokong port bicu audio 3.5mm Hi-Res dan tiga mikrofon dengan teknologi pengurangan hingar Asus. Tiada skrin PMOLED pada panel belakang, kerana model ini berasaskan Asus ROG Phone 6D bukannya Ultimate.

Ia hadir dengan Bluetooth 5.2, WiFi 6E, 5G, NFC, pengimbas cap jari bawah skrin, butang bahu kapasitif AirTrigger 6 dengan girp press dan bateri 6000mAh dengan pengecasan pantas 65W PD.

Asus ROG Phone 6 Batman Edition hadir dengan kotak khas berbentuk simbol Batman dan turut menyertakan kerangka pelindung Batman Aero Case, lampu pancaran Bat-Signal dan SIM Pin berbentuk logo Batman. Peranti ini hadir dengan pilihan warna Night Black dan dijual pada harga RM4,799. Ia akan dijual bermula pada 25 November 2022 akan datang.

Komen