Model komputer riba Acer Swift 3 secara lazimnya dikenali ramai sebagai komputer riba kelas produktiviti yang tampil bukan sahaja dengan rekaan yang nipis dan ringan, tetapi juga dimuatkan dengan komponen-komponen yang cukup berkuasa.

Model terbaru dalam siri ini, Acer Swift 3 OLED dilihat hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 14 inci dan resolusi WQXGA+ dimana paparan ini hadir dengan ratio paparan ke badan 92 peratus, dan mempunyai sokongan untuk teknologi DisplayHDR True Black 500 yang boleh memaparkan 100 peratus gamut warna DCI-P3.
Acer Swift 3 OLED dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-12 Alder Lake, sehinggaIntel Core i7-12700H dengan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe NVMe sebesar 1TB. Dari segi palam input, komputer riba ini dimuatkan dengan dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Type-A dan satu palam HDMI.

Ia juga hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar WiFi 6E dan Bluetooth 5.0 untuk prestasi sambungan nirwayar yang terbaik dari segi kelajuan internet dan juga sambungan peranti berkuasa rendah.
Dalam pada itu, pad sesentuh komputer riba ini juga menggunakan plastik lautan yang dikitar semula, selari dengan hala-tuju syarikat teknologi dari Taiwan ini untuk menggunakan sebanyak bahan kitar semula yang mungkin pada komputer-komputer riba mereka.
Acer Malaysia telah mengesahkan bahawa peranti ini sudahpun tiba di pasaran Malaysia, dan boleh dibeli melalui pengedar sah dan juga kedai atas talian Acer Malaysia di Shopee dan Lazada pada harga permulaan RM4399.