Carian
Google Tensor G3 Adalah Cip Samsung Exynos 2300 – Akan Digunakan Pada Pixel 8
November 9, 2022 Fahim Zahar

Google nampaknya masih memilih Samsung sebagai pengeluar cip pemprosesan mereka, Tensor. Laporan terkini dari WinFuture mendedahkan yang Tensor G3 akan kekal dihasilkan Samsung. Bukan itu sahaja, ia dikatakan adalah cip Exynos 2300 baharu yang tidak jadi digunakan Samsung kerana siri Galaxy S23 akan menggunakan cip Snapdragon sahaja tiada lagi variasi Exynos.

Kod nama bagi cip ini adalah Zuma, dan ia dikhabarkan adalah cip dengan binaan 3nm. Satu penambahbaikan berbanding cip Tensor G1 dan G2 yang masih menggunakan binaan 5nm, sedangkan pesaing semua sekarang menggunakan binaan 4nm.

Modem pada cip ini juga dikatakan akan kekal sama dengan apa yang digunakan pada Tensor G2 seperti yang diperlihatkan dalam Pixel 7 dan Pixel 7 Pro. Sumber turut mendedahkan yang Google sedang membangunkan Pixel 8 dan Pixel 8 Pro dengan kod nama Shiba dan Husky. Kedua-dua peranti akan menggunakan memori 12GB RAM.

Skrin Shiba (Pixel 8) adalah 2268 x 1080 piksel, sementara pada Husky (Pixel 8 Pro) adalah 2822 x 1344 piksel. Tetapi ini hanyalah spesifikasi awal yang ditemui dan ia mungkin akan berubah, kerana ia tidak setanding dengan penawaran pada versi Pro peranti Pixel yang sedia ada di pasaran sekarang.

Komen