OnePlus Nord CE 2 telah dilancarkan pada tahun lalu sebagai sebuah peranti kelas pertengahan dengan janaan cip MediaTek Dimensity 900. Di samping itu, ia turut memuatkan beberapa ciri utama lain seperti skrin 90Hz, kamera utama 64MP dan bateri dengan sistem pengecasan berwayar 65W.

Terbaharu desas-desus mengenai model kemaskini untuk telefon pintar berkenaan sudah mula kedengaran. Mungkin dikenali sebagai OnePlus Nord CE 3, ia dijangka tiba dalam beberapa bulan mendatang dan terdapat juga beberapa penambahbaikan pada perkakasan dalaman yang akan dibuat.
Maklumat tertiris mendedahkan OnePlus Nord CE 3 akan mempunyai skrin lebih besar 6.7-inci sejenis LCD beresolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Cip pemprosesan Snapdragon 695 juga mungkin digunakan dengan padanan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB.

Sistem tri-kamera dengan sensor utama 108MP digunakan, manakala kamera swafoto pula sebesar 16MP yang diletakkan dalam lubang kamera. Tidak ketinggalan, bateri 5000mAh dengan sistem pengecasan berwayar 67W dan pengimbs cap jari sisi turut akan melengkapi telefon pintar baharu OnePlus ini.
Pun begitu, maklumat dikongsi ini masih tidak dapat disahkan kesahihannya dan besar kemungkinan terdapat perubahan apabila ia dilancarkan kelak. Buat sama ini, adalah baik sekiranya kita menganggap ketirisan maklumat ini sebagai ura-ura terlebih dahulu.