Carian
Realme 10 Pro+ Akan Hadir Dengan Skrin Melengkung Dan Kadar Segar Semula 120Hz
November 10, 2022 Amy Maizuraa

Realme 10 4G baru sahaja dilancarkan semalam sebagai sebuah peranti berspesifikasi pertengahan dengan cip MediaTek Helio G99. Masih terdapat satu lagi acara pelancaran produk baharu daripada Realme yang dijadualkan berlangsung di China pada 17 November ini.

Realme 10 4G

Melaluinya siri Realme 10 variasi 5G pula bakal diumumkan dan maklumat mengenai skrin untuk salah satu model telefon pintar telah didedahkan dalam kemas kini di Weibo. Ia menunjukkan Realme 10 Pro+ disahkan akan dilengkapi skrin melengkung pada kedua-dua sisi yang hampir 61 darjah. Turut disertakan adalah saiz bezel yang nipis dengan kewujudan dagu di bahagian bawah setebal 2.33mm dan kaca tahan lasak khusus sebagai pelindungan tambahan.

Seterusnya, skrin adalah sejenis OLED sebesar 6.7-inci yang turut menyokong kadar segar semula 120Hz dan ciri dimming berfrekuensi tinggi 2160Hz. Ia juga melepasi pensijilan TUV Rheinland yang sepatutnya membantu mengelakkan masalah sakit mata untuk penggunaan peranti dalam tempoh masa panjang.

Ini sahaja maklumat yang didedahkan dan terdapat sekurang-kurangnya tiga variasi berbeza diumumkan kelak yang merangkumi Realme 10 5G dan Realme 10 Pro 5G. Seperti biasa, sama-sama nantikan perkembangan lanjut mengenai peranti baharu Realme ini dari semasa ke semasa.

Komen