Sudah lama kedengaran yang Google dilaporkan sedang membangunkan peranti dengan skrin boleh-lipat yang digelar sebagai Pixel Fold. Peranti ini dikatakan akan menggunakan rekaan mirip Oppo Find N, kini selepas sekian lama menanti – imej pengolokan yang dikatakan Pixel Fold tertiris.

Rekaan peranti ini jelas sekali nampak cantik, premium dan sedap mata memandang. Ia adalah seakan gabungan Oppo Find N dan Pixel 7. Peranti ini menggunakan rekaan yang rata pada panel belakang dengan bar kamera Pixel terkenal, melengkung pada tubuh serta skrin dalam dengan bezel yang sesuai untuk tablet mini. Bahan binaan peranti ini adalah besi dan juga kaca.

Di sisi kanan terdapat butang kuasa dan butang aras suara, kekisi speaker pada atas dan bawah peranti, dan dikhabarkan pengimbas cap jari juga adalah pada butang kuasa. Pixel Fold mungkin akan ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Obsidian atau Chalk. Skrin hadapan yang luas dan lebar akan mempunyai lubang untuk kamera swafoto 9.5MP, kamera yang sama turut akan disertakan pada skrin dalam bahagian bezel atas.

Tiada butiran lain, tetapi besar kemungkinan ia akan menggunakan kamera seakan Pixel 7, dijana cip Google Tensor dan mungkin akan dijual pada harga mencapai $1,799 iaitu sekitar RM8,253.