Carian
Pengecas MagSafe Apple Magic Charger Yang Tidak Dilancarkan Tertiris
November 16, 2022 Fahim Zahar

Apple telah pun menghentikan pengeluaran MagSafe Duo Charger yang dilancarkan dua tahun lepas. Pengecas ini membenarkan iPhone dan Apple Watch dicas bersama-sama, tetapi dengan bonggol kamera semakin besar – penggunaannya tidak lagi selari.

Terkini, terdapat pengecas MagSafe lain yang Apple pernah rancang untuk menjual – tetapi tidak dilancarkan. Pengecas ini adalah Apple Magic Charger, iaitu pengecas MagSafe dengan tubuh aluminium bersama engsel untuk dijadikan sebagai pemegang iPhone.

Apple Magic Charger hadir dengan warna Space Gray, mempunyai getah di tapa untuk cengkaman apabila diletakkan di atas meja misalnya, menggunakan kabel bersulam nilon, dan berfungsi seakan Duo Charger bahagian Apple Watch. Ia juga dilihat direka untuk mengecas iPhone secara melintang dan mungkin turut boleh mengecas AirPods Pro 2.

Harga jualan tidak didedahkan dan sebab kenapa ia tidak dilancarkan juga masih menjadi misteri. Apa kata anda mengenai pengecas MagSafe ini?

Komen