Carian
Asus ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition Diperkenalkan
November 18, 2022 Fahim Zahar

Asus ROG Phone 6 kini mempunyai dua variasi, Phone 6 dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dan Phone 6D dengan cip Dimensity 9000+. Siri ROG Phone 6 adalah antara peranti gaming terbaik di pasaran dengan skrin yang hebat, kamera yang lebih baik, prestasi yang mantap, panel belakang ada skrin OLED dan harga yang agak munasabah berbanding pesaing.

Di Malaysia mereka baru sahaja melancarkan Asus ROG Phone 6D edisi Batman, tetapi untuk pasaran luar Asus ROG Phone 6 biasa turut mempunyai edisi Batman. Kini mereka hadir dengan satu lagi edisi khas iaitu Asus ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition.

Secara keseluruhan, peranti ini menawarkan spesifikasi yang sama dengan Asus ROG Phone 6 biasa sahaja. Ia menggunakan panel belakang yang menggerunkan dengan tema hitam dan merah serta watak setan daripada permainan Diablo Immortal. Peranti ini turut menawarkan pek tema yang menyertakan gambar latar belakang hidup, animasi pengecasan, kesan bunyi menarik, rekaan untuk Always-on display dan paparan untuk menerima panggilan telefon masuk.

Peranti ini turut hadir dengan pembungkusan Horadric Cube iaitu barangan dalam Diablo yang boleh mengubah apa jua perkara serta dengan kotak peranti Worldstone. Dengan setiap pembelian, Asus turut menyertakan kerang pelindung Aero Case dengan tema Shield Blessing, peta Sanctuary dengan cetakan dakwat lutsinar yang boleh dilihat menggunakan Fahir’s Light iaitu lampu suluh yang disertakan serta sim PIN dengan rekaan Immortality.

Peranti ini akan dijual bermula 18 November di pasaran terpilih. Tetapi ketika artikel ini ditulis, Asus tidak mendedahkan harga jualannya lagi. Peranti ini menggunakan skrin 6.78-inci AMOLED FHD+ 165Hz, HDR10, dijana cip Snapdragon 8+ Gen 1, memori dan storan 16/512 GB, kamera 50+13+5 Megapixel dengan kamera swafoto 12 Megapixel, speaker stereo simetri, pengimbas cap jari bawah skrin, bateri 6000mAh dengan pengecasan pantas 65W, dan menyokong 5G, WiFi 6E serta Bluetooth 5.2.

Komen