Cuba ASUS Zenbook 17 Fold OLED Dan Berpeluang Memenangi Baucar GrabFood RM20

Diterbitkan pada Nov 21, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada awal bulan ini, ASUS Malaysia telah memperkenalkan tablet dengan paparan boleh-lipat pertama mereka, iaitu ASUS Zenbook 17 Fold OLED UX9702 di pasaran tempatan. Berasaskan peranti konsep Project Precog yang diperkenalkan beberapa tahun dahulu, ia akhirnya sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan dan dijual pada harga RM14,999.

Pada saiz penuh, tablet ini hadir dengan paparan OLED bersaiz 17.3 inci dengan resolusi QHD 2560 x 1920 pixel dan boleh memperliihatkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 dengan kadar segar semula 60Hz dan hadir dengan sokongan HDR 500.

Apabila dilipat menjadi separuh, tablet ini hadir dengan dua paparan 3:2 bersaiz 12.5 inci dengan resolusi 1920×1280 piksel yang membuatkan peranti ini tampil dengan beberapa mod penggunaan yang menarik.

Tablet ini juga disertakan dengan sebuah papan kekunci ASUS ErgoSense Bluetooth, yang mana apabila digunakan dengan tablet bersaiz penuh, boleh disambungkan ke peranti tersebut secara nirwayar, dan apabila dalam mod lipatan, ia hadir dengan magnet kuat yang membolehkannya dilekapkan pada peranti tersebut, menjadikannya sebuah komputer riba.

Dari segi spesifikasi, komputer riba ini hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa, menggunakan cip pemprosesan Intel Core i7-1250U, memori sebanyak 16GB dan juga storan dalaman bersaiz 1TB. Tablet ini juga hadir dengan dua palam Thunderbolt 4 yang boleh digunakan untuk mengecas tablet ini dan juga untuk disambungkan kepada paparan sekunder menggunakan kabel USB-C ke DisplayPort.

Engsel pada ASUS Zenbook 17 Fold OLED ini juga telah diuji selama 30 ribu jam untuk memastikan bahawa pengguna tablet ini boleh menggunakannya dalam apa jua cara sekalipun pada bila-bila masa. Ia melepasi piawaian ketenteraan MIL-STD-810H dan dijamin boleh dilipat pada apa jua sudut sekalipun tanpa masalah, dan boleh disimpan dalam apa jua keadaan sekalipun.

Untuk mempromosikan pengenalan peranti terbaru ASUS ini, mereka telah menyediakan sejumlah lokasi-lokasi kedai fizikal ASUS Malaysia dengan tablet ini untuk dicuba oleh orang ramai sehingga 31 Disember 2022. Lokasi-lokasi ini termasuklah:

  • ASUS Concept Store Pavilion Bukit Jalil
  • ASUS Concept Store IOI City Mall
  • ASUS Concept Store Plaza Low Yat
  • ASUS Concept Store Sunway Pyramid
  • ASUS Concept Store Mid Valley Megamall

ASUS Malaysia juga mengalu-alukan orang ramai untuk memberi pendapat mereka mengenai ASUS Zenbook 17 Fold OLED di laman Facebook rasmi ASUS Malaysia untuk memenangi baucar GrabFood bernilai RM20.

Setiap ulasan haruslah mempunyai sekurang-kurangnya 150 aksara dan perlu disertakan bersama gambar ataupun video anda menggunakan komputer riba ASUS Zenbook 17 Fold OLED ini di mana-mana kedai konsep rasmi ASUS Malaysia yang dinyatakan diatas.

Selepas anda meninggalkan ulasan anda di bahagian Reviews laman web Facebook ASUS Malaysia, anda kemudiannya perlu menghantar pautan kepada ulasan tersebut di borang atas talian Google Form ini. Anda akan diminta untuk memasukkan nama, pautan ulasan, kedai ASUS Concept Store yang dilawati untuk menguji komputer riba tersebut.

Anda juga boleh ke laman web rasmi produk ASUS Zenbook 17 Fold OLED UX9702 untuk melihat pelbagai kebolehan komputer riba ini sebelum anda ke kedai fizikal untuk mengujinya.

komen


© Amanz / 2022 Kami