Cari @ Amanz

Apple kini dilihat sedang aktif bekerjasama dengan Microsoft. Akan datang aplikasi Apple Music dan Apple TV akan diperkenalkan untuk pengguna Windows. Baru-baru ini iCloud Photos boleh terus diintegrasikan pada aplikasi galeri Windows 11, Photos.

Ciri ini memudahkan pengguna iPhone atau iPad yang menggunakan komputer Windows untuk mengakses gambar dan video yang disimpan pada iCloud. Memberi pengalaman penggunaan seakan MacBook di mana semua media diselarikan terus untuk akses pantas.

Sayang sekali, integrasi iCloud bersama Windows ini dilaporkan bermasalah. Menurut laporan MacRumors, rakaman video menggunakan iPhone 14 Pro Max dan iPhone 13 Pro tidak boleh dipaparkan dengan baik. Ia hanya memperlihatkan paparan warna hitam dan kesan garisan seakan video rosak.

Tetapi, itu bukan masalah utama. Isu paling besar adalah beberapa pengguna melaporkan gambar dari orang yang tidak dikenali turut masuk ke dalam iCloud Photos mereka. Ada gambar keluarga orang lain, gambar perlawanan bola sepak, gambar gadis berpakaian baju tidur yang tidak pernah dilihat, diambil atau pernah simpan muncul secara tiba-tiba dalam akaun orang lain.

Isu ini dikatakan berlaku pada Windows 11 dan Windows 10 dan membuang aplikasi iCloud pada platform ini tidak menyelesaikannya kerana masalah mungkin datang dari pihak pelayan. Dalam semakan saya, iCloud Photos pada aplikasi Photos di Windows 11 laptop saya tidak bermasalah. Semua gambar dan video adalah apa yang saya ingat dan milik saya serta keluarga.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd