#TV

Ulasan – Hisense 4K UHD TV A7H Untuk Mereka Yang Mahu Kehidupan La VIDAA Loca

Diterbitkan pada Dis 5, 2022. oleh .

Piala Dunia datang lagi cuma kali ini lebih awal pada penghujung tahun bukan ketika musim panas. Secara lazimnya acara sukan empat tahun sekali ini dijadikan alasan untuk membeli televisyen baharu yang lebih besar, terkini, canggih dan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik berbanding model lama. Sebagai penaja rasmi Piala Dunia 2022 di Qatar, Hisense menawarkan beberapa televisyen pintar terkini mereka dengan sistem operasi VIDAA.

Hisense 4K UHD TV A7H ialah televisyen pertama VIDAA OS yang pernah kami ulas di makmal Amanz. Dalam ulasan kami cuba merungkai persoalan sama ada televisyen ini akan membolehkan anda menikmati Piala Dunia secara optimum atau seperti kesemua sistem operasi baharu menjadi pengguna barisan awal adalah tidak berbaloi.

Spesifikasi

Hisense 4K UHD TV A7H
Saiz Skrin 85-inci
ResolusiUltra HD 3840×2160 (60Hz)
PanelIPS LCD
Pemproses?
GPU?
RAM?
Storan?
Sistem OperasiVIDAA U5
HDRYa / Dolby Atmos
Keterangan Maksimum ?
Audio15W, Dolby Atmos & Dolby Digital
I/O3x HDMI 2.0 (1x ARc), 2x USB-A 2.0, 1x USB-A 3.0, RF, AV, Optical Audio
DTTVYa/DVB-T2
Pembantu MayaVidaa/Google Assistant
InternetLAN/ WiFi 2.4/5GHz
BluetoothBT 5.0
ChromecastTiada
AirPlay 2Tiada
Saiz1903 × 1183 × 474mm (dengan tapak)
Berat60.4 kg(dengan tapak)
Harga JualanRM 12,999

Rekaan

Rekaan A7H sama sahaja dengan televisyen pintar gergasi di pasaran. Kotak besar dengan skrin berbezel nipis dan bingkai logam yang membuatkannya kelihatan lebih premium berbanding televisyen bingkai hitam plastik. Tiada rekaan unik seperti bingkai boleh digantikan seperti Samsung Frame atau speaker dalam skrin seperti Sony Bravia. Tetapi ini mungkin bukan sesuatu yang boleh dianggap negatif memandangkan rekaan lebih konservatif lebih digemari orang ramai.

Yang tidak konservatif ialah terdapat dua pemegang yang besar di belakang TV. Ini adalah ciri paling kami suka pada A7H kerana sejak mula mengulas TV dua tahun yang lalu, kami menyedari sukar mengubah kedudukan TV besar kerana tiada tempat memegang khas. Kami perlu berhati-hati mencari tempat tangan ingin diletakkan bagi mengelakkan tekanan berlebihan pada panel skrin dan bukan pada bahagian tubuh yang tidak kuat untuk meletakkan bebas.

A7H ialah televisyen sebesar 60.4 kg dan jauh lebih berat berbanding Prism+ Q86 yang hanya seberat sekitar 50 kg. Pemegang di belakang ini amat membantu proses mengeluarkan TV daripada kotak, pemasangan kaki dan mengubah kedudukan TV di ruang tamu. Ia mungkin satu ciri yang harus dijadikan standard pada TV bersaiz besar di masa hadapan.

Skrin sebesar 85″ dengan resolusi 4K ialah dari IPS yang amatlah besar. Di makmal Amanz sukar mencari ruang terbaik untuk meletakkannya. Jadi bagi mereka yang mempunyai azam membeli TV yang sebesar ini, pastikan anda mempunyai ruang tamu yang cukup besar.

Terdapat dua kaki besi yang perlu diskru di bahagian bawah. A7H memberikan dua lokasi untuk meletakkan kaki ini. Kami memilih meletakkannya di tempat paling luar untuk kestabilan terbaik. Kaki TV diperbuat daripada logam yang kukuh dengan ia memerlukan tiga skru. Saiznya yang agak besar membolehkan TV diletakkan dengan stabil tanpa perlu risau ia terbalik dengan mudah. Fungsi sekunder kaki ialah menjadi sistem pengurusan kabel kerana terdapat alur untuk menyorokkan kabel kuasa.

Ruang antara kaki dan bahagian bawah adalah cukup tinggi untuk meletakkan sebuah speaker soundbar, PlayStation 4, decoder Astro Ultra Box, modem Internet, Apple TV 4K dan Mac Mini. Masih tiada ruang mencukupi untuk PlayStation 5 atau Xbox Series X yang kita semua tahu adalah dua konsol yang terlalu besar dan tebal. Bagi yang ingin menggantung A7H ke dinding, terdapat cagak untuk pemegang sebesar 600 x 400 mm.

Pilihan I/O adalah baik dengan 3X HDMI 2.0 yang salah satunya menyokong HDMI ARC. Ketiga-tiganya juga hadir dengan sokongan HDMI-CEC yang mengesan input dari peranti yang disambung untuk menghidupkan LSP7T secara automatik. Ini dipadankan dengan 2X USB-A 2.0, RJ45 LAN, AV in, output audio optikal dan sambungan RF. Bagi yang memerlukan televisyen digital DTTV, dekoder terbina disertakan tetapi model tidak pula disenaraikan di laman Prism+.

Kesemua I/O diletakkan pada bahagian kiri televisyen dengan kesemua port sambungan menghala ke sisi. Ini amat memudahkan sambungan pelbagai kabel dan aksesori apabila televisyen digantung. Port sambungan kuasa pula terletak di sebelah kanan dengan kabel yang mempunyai lengkok 90 darjah sekali lagi bagi memudahkan proses menggantung TV.

Sokongan Internet pula adalah menerusi LAN atau WiFi 2.4/5GHz dan juga sambungan bluetooth 5.0. Sehingga 8 aksesori bluetooth boleh disambungkan ke A7H oleh pemilik. Pilihan I/O adalah agak standard dengan hanya 3x HMDI 2.0, 1x USB 3.0, 2x USB 2.0, output optikal, bicu audio 3.5mm, input AV dan aerial untuk dekoder televisyen digital terbina.

Penggunaan Dan Kualiti Visual

Kualiti visual adalah perkara yang paling penting semasa melakukan pemilihan sebuah televisyen pintar. Dengan hanya panel IPS LCD, paparan warna yang ditawarkan pada A7H adalah memuaskan tetapi tidaklah menakjubkan. Jika anda tidak pernah memiliki televisyen OLED, QLED, mini LED dan Plasma paparan A7H adalah memadai.

Tiada color banding apabila memaparkan babak yang dipenuhi pelbagai warna yang terang. Imej juga tajam walaupun pada babak aksi yang pantas. Jika kami ingin komen hanyalah panel ini sekadar menyokong kadar segar semula 60Hz sahaja. Bagi golongan gamer dengan PS5 dan Xbox Series X yang inginkan sokongan 120Hz kami rasakan ini bukan televisyen untuk anda. Sungguhpun begitu wujud sokongan mod gaming yang akan mengurangkan isu lengah masa input (input lag) ketika sesi permainan yang tegang. Ini juga bermakna tiada sokongan HDMI 2.1 yang kini ditawarkan pada TV yang lebih premium.

Kami mencuba pelbagai kandungan dar filem aksi, video YouTube, dokumentari, filem klasik monokrom dan menonton acara sukan. Semuanya nampak baik dan cantik. Sudut pandangan juga tidak mengecewakan. Model yang diulas adalah sebesar 85″ jadi isi sudut pandangan tidak wujud kerana ianya amatlah besar. Dalam bilik tayangan tiada masalah stage lighthing dan light bleed yang sinonim dengan TV LCD.

Walau bagaimanapun warna hitam kerap kali nampak sedikit kelabu. Kesemua ini adalah perkara biasa pada semua TV LCD dan adalah sebab mengapa panel OLED dan QLED dibangunkan. Bagi kami yang marhaen dan tidak mampu membeli TV dengan panel lebih mewah, “isu” ini bukanlah terlalu besar sehingga membuatkan pengalaman menonton kandungan terganggu.

Terdapat sokongan Dolby Vision dan HDR10+ dengan beberapa profil boleh dipilih. Ianya sekali lagi memuaskan dengan kami rasakan visual nampak paling menarik jika profil gelap dipilih. Dalam bilik yang terang sekalipun visual tidak mengecewakan.

Kandungan 4K natif nampak tajam dan terang. Ini sudah dijangka. Tetapi kandungan yang beresolusi lebih rendah akan nampak sedikit pecah. Contoh terbaik ialah menonton soroton perlawanan Piala Dunia yang dimuat naik di YouTube pada resolusi 720p dan 1080p. Imej nampak amat lembut dengan keperincian pada padang serta wajah pemain adalah rendah.

Terdapat sistem kecerdasan buatan pada A7H yang sepatutnya meningkat kualiti visual tetapi ikhlas kami katakan ia tidak memuaskan. Pada panel 85″, video harus 4K sepanjang masa untuk menikmati kandungan pada tetapan tertinggi. Pada resolusi yang lebih rendah setiap kekurangan dan cela akan terpapar dengan jelas. Pada TV yang lebih besar daripada 65″, visual pada resolusi 4K sudah menjadi perlu bukan lagi pilihan jika ada internet pantas sahaja.

Secara lalai pra-tetapan visual adalah tidak memenuhi piawaian kami. Nasib baik pada tetapan TV terdapat pelbagai parameter yang boleh diubah sendiri oleh pengguna untuk mendapatkan kualiti visual yang paling serasi dengan mata peribadi. Misalnya secara lalai Ultra Smooth Motion diaktifkan. Mod ini membuatkan video dimainkan pada kadar bingkai lebih tinggi menampakkan ia lebih lancar. Tetapi pada kandungan filem kami mahu menonton pada kadar 24FPS yang mengekalkan visi asal pengarah. Maka ciri inilah yang pertama sekali kami matikan.

Kualiti Audio

Dua speaker dengan output 15W menyokong Dolby Atmos dan DTS Digital. Pada bahan pengiklanan A7H menjanjikan pengelaman audio yang menyeluruh tanpa memerlukan sistem audio tambahan. Iklan indah khabar dari rupa. Audionya lantang tetapi menembak ke bawah membuatkan ia tidak begitu terang bagi penggemar AV seperti kami di Amanz. Setakat ini masih tidak ada TV yang kami ulas dilengkapi sistem audio yang melepasi piawaian. Mana mungkin dua speaker 15W boleh menawarkan audio yang benar-benar premium.

Setakat ini masih tidak ada TV yang kami ulas dilengkapi sistem audio yang melepasi piawaian. Untung terdapat sokongan output dalam format HDMI ARC dan optikal di bahagian belakang. Kami boleh menyambungkannya kepada sebuah soundbar yang menyokong Dolby Atmos sebenar. Perbezaannya adalah seperti langit dan bumi.

Sistem Operasi VIDAA U5

Di Amerika Syarikat televisyen HiSense mendapat sambutan kerana harga mampu milik, prestasi yang memuaskan dan penggunaan Android TV. Tetapi A7H menggunakan sistem operasi baharu VIDAA U5. VIDAA ialah sistem operasi yang masih lagi baharu dan oleh sebab itu mungkin tidak dikenali ramai.

Antara muka VIDAA mempunyai beberapa persamaan dengan Google TV. Pada palang paling atas terdapat pintasan untuk tetapan TV, carian kandungan, profil pengguna, dam input dengan ikonografi yang mudah difahami.

Barisan seterusnya memaparkan kandungan saranan terbaik berdasarkan aplikasi yang terpasang pada TV. Barisan kedua dan ketiga menempatkan aplikasi yang terpasang. Barisan seterusnya akan memaparkan saranan kandungan dari dalam aplikasi tertentu. Jika Netflix, Prime Video, Plex dan iQiyi dipasang, setiap barisan akan memaparkan kandungan yang dirasakan paling relevan.

Proses tetapan VIDAA juga sama seperti pada Android TV, webOS dan Tizen. Perbezaannya adalah proses menghasilkan akaun baharu dan log masuk buat pertama kali perlu dilakukan sepenuhnya pada TV. Tiada ciri melengkapkan proses log masuk dari telefon pintar seperti pada sistem operasi yang lain. Maka prosesnya tidak begitu mudah kerana perlu menaip masuk emel dan kata laluan menggunakan alat kawalan jauh.

Selepas proses log masuk dilakukan, barulah aplikasi VIDAA boleh digunakan di peranti Android dan iOS menggunakan akaun yang sama. Menerusi aplikasi ini, peranti pintar boleh menggantikan alat kawalan jauh.

VIDAA ialah sistem operasi yang masih baharu ditawarkan di Malaysia. Semasa ulasan ditulis hanya terdapat 241 aplikasi di stor VIDAA. Terdapat aplikasi popular Deezer, Netflix, Prime Video, YouTube, iQiyi, dan WeTV. Tetapi masih terdapat beberapa lagi aplikasi yang tiada seperti HBO Go, Disney+ HotStar, YouTube Kids, Spotify, Apple TV dan Sooka.

Pada Android TV tiada aplikasi bukan masalah kerana adanya sokongan Chromecast yang mesra pengguna. Di VIDAA tiada Chromecast cuma Miracast yang tidak disokong semua aplikasi. Apabila melontar kandungan menggunakan kaedah ini resolusi juga terhad ke 1080P dan seperti yang kami katakan di beberapa perenggan sebelum ini adalah tidak memuaskan pada skrin 85″.

Kami mungkin golongan minoriti yang melanggan kepada kesemua platform penstriman yang ada atas tujuan kerja. Tiadanya Disney+ Hotstar, HBO Go dan Spotify amat dirasai. Dalam dunia sedang demam Piala Dunia, tiada Sooka juga terasa kerana kami tidak melanggan kepada Astro. Agak canggung TV dari penaja rasmi Piala Dunia tiada aplikasi untuk menonton Piala Dunia secara “halal”.

Kami tidak tahu apakah pemproses, RAM dan saiz storan yang digunakan pada televisyen in. Sungguh misteri kerana secara lazimnya maklumat ini boleh didapati di laman rasmi pengeluar.

Yang boleh kami katakan ialah penggunaan VIDAA adalah mudah dan lancar. Tiada isu aplikasi lambat dilancarkan atau bermasalah untuk menukar antara aplikasi. Semuanya tiada isu dengan aplikasi pada VIDAA sama sahaja dengan aplikasi pada Android TV, Tizen dan tvOS. Pengguna tidak perlu risau ada perbezaan ciri pada aplikasi yang disokong.

Alat Kawalan Jauh

Alat kawalan jauh yang diberikan bersaiz agak kecil dengan tubuh sepenuhnya dari bahan plastik dan butang-butangnya pula dari bahan latex. Sedap dalam pegangan tagan kerana sisi dibulatkan serta saiznya yang lebih kecil. Ia mirip dengan rekaan alat kawalan jauh Samsung dan Apple TV cuma tidak premium.

Butang navigasi utama diletakkan dalam lingkaran bulat seperti pad empat arah alat kawalan permainan. Terdapat pintasan pantas melancarkan Netflix, YouTube, YouTube Music, Prime Video, pelayar web dan menu ke kesemua aplikasi yang terpasang. Butang pantas ke menu TV serta mengubah saluran serta audio turut disertakan. Walaupun tidak canggih kerana tiada sokongan solar atau pengecasan USB-C, alat kawalan jauh ini tidak mempunyai kekurangan. Membekalkan kuasa ialah dua bateri kering sebesar AAA.

Kesimpulan

Hisense 4K UHD TV A7H ialah televisyen gergasi dengan visual yang baik, sistem operasi yang lancar dan mempunyai rekaan paling mesra pengguna kerana dilengkapi pemegang di bahagian belakang. Dengan saiz skrin yang besar, ia memberikan pengalaman seakan mempunyai sebuah panggung mini di rumah.

Jika anda memerlukan sebuah TV sahaja A7H adalah memuaskan tetapi di tahun 2022, ciri pintar yang disertakan juga penting. Sistem operasi VIDAA U5 yang digunakan tidak menawarkan kesemua aplikasi yang penting. Ada Netflix, YouTube dan Prime Video tetapi tiada HBO Go, Disney+ Hotstar dan Apple TV+. Dengan televisyen dijual pada harga RM12,999, ianya tidak mampu milik dan oleh sebab itu palang piawaian yang perlu dilepasi adalah tinggi.

Terdapat beberapa model televisyen keluaran pengeluar lain dan Hisense sendiri menawarkan lebih banyak ciri, dan sokongan aplikasi lebih baik berbanding A7H. Kelemahan paling ketara TV Ini ialah VIDAA yang belum cukup matang. Ia adalah seperti tulang metatarsal Wayne Rooney yang menghalang TV ini daripada menawarkan kehidupan la VIDAA loca seperti yang disarankan Ricky Martin.

Pro

  • Skrin yang cukup besar untuk memberikan pengalaman seperti wujud wayang di rumah.
  • Kualiti visual yang memuaskan untuk sebuah TV LCD.
  • Sokongan Dolby Vision HDR dan HDR10+.
  • Sokongan audio Dolby Atmos.
  • Pilihan I/O yang memuaskan.
  • Terdapat pemegang di belakang memudahkan ia diangkat.

Kontra

  • Kandungan bukan 4K kelihatan tidak tajam pada skrin gergasi.
  • VIDAA U5 mempunyai seleksi aplikasi yang kecil. Tidak cukup aplikasi.
  • Speaker tidak cukup mantap untuk Dolby Atmos sebenar.
  • Harga agak tinggi untuk pengalaman penggunaan kurang lengkap.

komen


© Amanz / 2023 Kami