Saban hari semakin banyak peranti dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 mula diacah oleh para pengeluar. Ini termasuklah Xiaomi yang kini mengesahkan bakal menggunakannya pada barisan telefon pintar baharunya iaitu Xiaomi 13. Hal ini didedahkan secara terbuka menerusi kemaskini baharunya di Weibo sebentar tadi.
Seperti yang diketahui, terdapat dua variasi model berbeza bakal diperkenalkan di bawah siri ini yang merangkumi Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro. Justeru tidak dapat dipastikan sama ada Xiaomi akan menggunakannya cip berkenaan pada kedua-dua model atau sebaliknya. Tetapi kita boleh menjangkakan variasi pro semestinya didatangkan dengan perkakasan dalaman yang lebih baik berbanding standard.
Untuk rujukan, Snapdragon 8 Gen 2 merupakan cip mercu paling berkuasa oleh Qualcomm yang ditawarkan pada peranti Android setakat ini. Penggunaan teknologi 4nm masih dikekalkan, tetapi ia mempunyai peningkatan CPU sehingga 35%, GPU sehingga 25% dan mampu memberi penjimatan penggunaan kuasa sehingga 40% berbanding generasi sebelum ini.
Antara ciri lain yang turut akan dimuatkan pada peranti baharu Xiaomi ini termasuklah kemasan berasaskan kulit yang menjanjikan pengalaman penggunaan lebih baik. Di samping turut sama didatangkan dengan penarafan kalis air IP68 untuk pelindungan tambahan. Lebih banyak maklumat bakal didedahkan dalam masa terdekat ini, sama-sama kita nantikan.