Axiata Group Berhad dan Telenor Asia Pte Ltd hari ini mengumumkan penggabungan syarikat telekomunikasi Celcom dan Digi akhirnya berjaya diselesaikan. Syarikat baharu Celcom Digi akan memulakan operasi bermula esok 1 Disember 2022. Menerusi penggabungan ini Celcom Digi menjadi syarikat telekomunikasi terbesar Malaysia dengan lebih 20 juta pelanggan.

Menerusi perjanjian antara kedua-dua syarikat, Axiata dan Telenor masing-masing akan memegang 33.1% saham Celcom Digi dengan baki 33.8% dipegang oleh EPF, PNB KWAP dan pemegang saham yang lain. Penggabungan kedua-dua syarikat diumumkan pada tahun 2019 tetapi hanya boleh dimuktamadkan selepas menjalani pelbagai proses dan kebenaran daripada SKMM terlebih dahulu.