Pihak SKMM dan PDRM akan meminta TikTok memberikan penjelasan mengenai kewujudan video berunsur provokasi rusuhan 13 Mei yang tular di platform tersebut minggu lalu. TikTok akhirnya diminta melakukan penjelasan selepas MalaysiaKini melaporkan tiga daripada video tersebut adalah kandungan berbayar dengan wujud label “paid partnership”.
Pihak TikTok enggan memberitahu sama ada video-video tersebut dibayar oleh ahli politik dan berapa banyak video berbayar telah dihasilkan setakat ini. Tidak seperti Meta, TikTok tidak mempunyai sebarang program menapis kandungan berunsur politik di platform mereka menjelang PRU 15.
Di Facebook dan WhatsApp, kandungan politik yang menggunakan ciri Boost akan dipaparkan dengan siapa yang membayarnya serta hadir dengan penapisan fakta oleh pihak ketiga. Pengiklanan juga perlu dilakukan menggunakan mata wang tempatan serta dilakukan oleh pengguna yang berada di Malaysia bagi mengelakkan campur tangan luar. Ini mungkin sebab mengapa kandungan provokasi sepanjang PRU15 tidak begitu tular di platform milik Meta.
Mereka yang menyebarkan video berunsur provokasi, mengancam ketenteraman awam, kebencian, prejudis serta ingin mencetuskan ketidakharmonian boleh dikenakan hukuman di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan. Sehingga kini tiada laporan individu yang menghasilkan video-video tular tersebut ditahan oleh pihak berkuasa. SKMM memberikan amaran kepada orang ramai supaya tidak menaik semula video yang telahpun dipadam di beberapa platform media sosial utama.