Carian
Logo Celcom Digi Diperlihatkan Dengan Syarikat Mengumumkan Tiada Perubahan Akan Berlaku
December 1, 2022 Effi Saharudin

Semalam penggabungan Celcom dan Digi menjadi syarikat baharu Celcom Digi telah diselesaikan selepas menjalani pelbagai proses panjang sejak 2019. Dengan ini muncul pelbagai soalan dari pelanggan Celcom dan Digi mengenai apakah yang akan berlaku selepas ini memandangkan Celcom Digi kini menjadi syarikat telekomunikasi terbesar Malaysia dengan lebih 20 juta pelanggan.

Pertama sekali logo baharu Celcom Digi telah diperlihatkan dengan penggunaan reka huruf yang sama daripada logo asal. Warna biru lebih dominan berbanding kuning yang menjadi identiti Digi selama ini. Celcom Digi turut mengatakan pada waktu ini tiada perubahan besar akan berlaku kepada pelanggan.

Tiada pelan menaikkan pelan langganan bulanan, aplikasi, pembayaran, rangkaian dan pusat khidmat pelanggan. Buat masa ini pelanggan Celcom masih perlu pergi ke kedai Blue Cube bagi mendapatkan bantuan pelanggan. Pelanggan Digi pula perlu kekal pergi ke Digi Stores. Pelanggan tidak boleh pergi ke kedai berlainan pada waktu ini.

Aplikasi Celcom Life dan MyDigi juga akan terus berfungsi seperti biasa dengan perkhidmatan yang sama. Pelanggan perniagaan pula boleh terus menghubungi wakil Celcom Business dan Digi Business yang sama untuk mendapatkan bantuan.

Berdasarkan laman FAQ yang diterbitkan hari ini, perubahan hanya dilakukan pada logo syarikat baharu dan penjenamaan sahaja pada waktu ini.

Komen