Cari @ Amanz

Jepun berhadapan isu kekurangan tenaga kerja kerana kadar kelahiran bayi yang rendah. Untuk memerangi masalah ini, penggunaan robot dan teknologi dilihat sebagai penyelesaiannya. Rangkaian kedai serbaneka Lawson yang sebelum ini menggunakan robot yang dikawal pekerja secara jarak jauh untuk mengisi semula stok, kini melancarkan pula kedai yang dikendalikan oleh kakitangan dalam bentuk avatar.

Siri kedai baharu Lawson Green dibuka di Tokyo minggu lalu. Ia memberikan tumpuan kepada kehidupan dan barangan yang lebih mesra alam. Kakitangan mengawal watak avatar Sorato sekiranya mereka lelaki dan Aoi sekiranya mereka perempuan. Menurut Lawson kedai yang masih mempunyai kakitangan walaupun dalam bentuk adalah perlu bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Pelanggan boleh mendapatkan bantuan daripada kakitangan dengan berinteraksi dengan avatar yang diletakkan pada skrin di dalam kedai. Lawson Green turut tidak akan menawarkan beg plastik dengan konsep layanan diri. Makanan segar juga tidak dijual bagi mengurangkan pembaziran stok. Sebanyak 100 Lawson Green yang dikendalikan kakitangan dalam bentuk avatar akan dibuka di Jepun menjelang 2025.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd