Carian
Imej Pengolokan Rasmi OnePlus 11 Tertiris
December 6, 2022 Fahim Zahar

OnePlus akan sekali lagi menggunakan strategi baharu untuk peranti mercu mereka. Mereka dikatakan tidak lagi akan memperkenalkan variasi Pro, tetapi akan fokus kepada satu peranti sahaja iaitu OnePlus 11.

Terkini, imej pengolokan rasmi dan spesifikasi peranti OnePlus 11 telah tertiris. Pertama sekali, OnePlus 11 mengembalikan suis lungsur notifikasi ikonik mereka, kekal dengan kerjasama Hasselblad untuk kamera, dan menggunakan rekaan sedikit lebih baharu – di mana ia nampak macam OnePlus 10 Pro tetapi modul kamera diubah sedikit.

Forest Emerald dan Volcanic Black adalah dua warna peranti yang akan ditawarkan. Modul kamera bulat yang besar ini dikelilingi dengan bahan binaan lain yang melentur ke sisi peranti. Padanya kelihatan tiga lensa kamera daripada sensor 50+48+32 Megapixel dan untuk lampu LED flash. Kamera swafoto adalah 16MP.

OnePlus 11 dikatakan akan menggunakan skrin 6.7-inci QHD+ AMOLED 120Hz, dijana cip Snapdragon 8 Gen 2, memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman UFS 4.0. Bateri peranti dikatakan adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 100W.

Peranti ini dijangka akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2023 bersaing dengan Samsung Galaxy S23.

Komen