Cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 telah pun rasmi dilancarkan minggu lepas. Ia akan memberi kuasa CPU 35% lebih pantas, menyokong WiFi 7 dan turut menyokong audio spatial. Antara pengeluar peranti yang disahkan akan menggunakan cip ini adalah OnePlus dan Samsung.
OnePlus sudah pun mengumumkan yang peranti mereka yang akan menggunakan cip ini adalah OnePlus 11. Terkini, peniris terkenal Digital Chat Station mendedahkan beberapa butiran mengenai OnePlus 11. Peranti ini dikatakan akan menggunakan binaan seramik dan kerangka besi – pertama kali dalam sejarah OnePlus.
Ia juga dikatakan akan menggunakan sistem storan dalaman UFS 4.0 yang membolehkan kadar baca dan tulis dua kali ganda lebih pantas berbanding UFS 3.1 iaitu 4,200MB/s baca dan 2,800MB/s tulis. Tetapi ciri ini dilihat mungkin terhad untuk peranti OnePlus 11 Pro sahaja dan tidak akan ditawarkan kepada OnePlus 11 biasa. Adakah ini bermakna OnePlus akan menawarkan dua pilihan OnePlus 11 dan tidak terhad kepada satu model sahaja?
Maklumat tertiris sebelum ini mencadangkan OnePlus 11 Pro akan menggunakan skrin 6.7-inci QHD+ AMOLED 120Hz, memori 16GB RAM, storan 256GB, kamera Hasselblad 50+48+32 Megapixel dengan sensor telefoto 2x zum optikal, serta kamera swafoto 16 Megapixel. Bateri pula dijangka adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan 100W, dan menjalankan Android 13.