Cari @ Amanz

Menemukan teman hidup menerusi media sosial sudah dilalukan sejak zaman BBS dan mIRC lagi. Tetapi kini dengan penggunaan media sosial semakin meluas, wujud isu keselamatan pengguna yang ingin mencari teman hidup yang paling sesuai. Antara isu yang serius ialah perkhidmatan digunakan oleh mereka yang bawah umur.

Meta mengumumkan mereka sedang menguji ciri untuk mengesahkan usia pengguna Facebook Dating. Pengguna di Amerika Syarikat kini diminta memuat naik kad pengenalan atau swavideo. Teknologi yang dibangunkan oleh Yoti digunakan oleh Meta untuk memastikan usia sebenar pengguna berdasarkan video dihantar. Kad pengenalan yang dimuat naik pula akan disulitkan oleh Meta untuk mengelakkan digunakan tanpa kebenaran.

Ciri mengesahkan identiti menggunakan swavideo ini telah diuji oleh Meta pada platform Instagram Oktober lalu dan dengan kejayaan di media social tersebut ia kini dikembangkan pula ke Facebook Dating. Isu pengguna bawah umur yang menyamar lebih tua adalah agak serius. Di Malaysia penggunaan aplikasi mencari jodoh tanpa diketahui oleh ibu bapa telahpun menyebabkan berlakunya kes remaja diperkosa rakan yang baru sahaja dikenali.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd