Barisan telefon pintar mercu telah dikemaskini dengan beberapa penawaran baharu. Salah satu daripadanya adalah Vivo X90 dan tumpuan masih dikekalkan terhadap sistem pengeimejan mudah alih yang baik. Hal ini boleh dilihat menerusi sokongan OIS terbina, lensa Zeiss dan cip ISP Vivo V2 yang disertakan pada telefon pintar.
Berkongsi dengan lebih lanjut, telefon pintar ini didapati telah melepasi pengesahan SIRIM di Malaysia. Penyenaraian menunjukkan telefon pintar ini ditemui dengan nombor model V2218 (X90) yang didaftarkan oleh VTalent Business Sdn Bhd pada 7 Disember 2022.
Ini sekaligus memberi bayangan bahawa pelancarannya untuk pasaran Malaysia mungkin berlangsung dalam masa terdekat. Namun apa yang menjadi persoalan ketika ini, bagaimana pula dengan perkakasan dalamannya? Adakah ia dikekalkan seumpama variasi di China atau sebaliknya?