Carian
Ini Adalah Senarai 4 Ciri Baharu Pada Pelancar Realme UI 4.0
December 7, 2022 Amy Maizuraa

Realme UI 4.0 merupakan kemaskini pelancar baharu berasaskan Android untuk peranti pintar daripada Realme. Ia dijadualkan diumumkan secara rasmi pada 8 Disember ini seiring dengan pengenalan siri Realme 10 untuk beberapa pasaran global termasuk Malaysia. Beberapa penambahbaikan turut dibuat dalam usaha menyajikan pengalaman penggunaan peranti lebih baik.

Misalnya seperti, ia menawarkan rekaan antaramuka serba baharu dengan susunan lebih teratur. Tema minimalis dengan warna dominan biru dan putih menjadi pilihan Realme bagi mewujudkan tampilan lebih kemas. Melaluinya, pelbagai info penting turut boleh dikelaskan dengan baik dalam kelompok berbeza bagi membolehkannya mudah untuk dilihat. Realme juga menjanjikan tampilan antaramuka lebih dinamik dengan menyediakan lebih banyak gambar latar yang serba baharu.

Seterusnya terdapat juga ciri Smart Always-On Display dengan pilihan lebih banyak untuk tetapan peribadi. Ini termasuklah sokongan animasi emoji menarik yang boleh diperibadikan. Panel utama lebih interaktif dengan kebolehan mengawal beberapa aplikasi sewaktu skrin ditutup, misalnya seperti pemain muzik.

Dalam pada itu, sokongan Dynamic Computing Engine turut disertakan dengan dengan sokongan dua penambahbaikan utama kepada Realme UI 4.0 – ini termasuk peningkatan prestasi sehingga 10% di samping mampu memanjangkan hayat bateri ke tahap lebih baik.

Tidak ketinggalan, RealmeUI 4.0 turut dimuatkan dengan sokongan pelindungan keselamatan yang dipertingkatkan. Melaluinya fungsi Private Safe yang dibina dengan Algoritma AES (Advanced Encryption Standard) digunakan, di samping terdapat juga ciri dinamakan Autopixelate bagi mengaburkan maklumat penting pada tangkap layar.

Kalau diperhatikan dengan baik, kesemua ciri dikongsi mempunyai persamaan dengan pelancar ColorOS 13 yang diumumkan pada peranti Oppo sebelum ini. Untuk ketahui penawaran selanjutnya pada RealmeUI 4.0, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya kelak.

Komen