Carian
Fon Kepala Dengan Penapis Udara Dyson Zone Akan Dijual Bermula Januari 2023
December 8, 2022 Effi Saharudin

Pada Mac lalu Dyson Zone telah diperlihatkan dengan ia menjadi fon kepala dengan penapis udara terbina untuk pengguna di era pandemik. Selepas hampir setahun, Dyson mengumumkan Zone akan mula dijual kepada orang ramai bermula Januari 2023.

Dyson Zone menggabungkan rekaan fon kepala tradisional dan juga sebuah visor dan kedua-dua komponen ini bergabung untuk menyedut udara di kawasan fon kepala. Ia dilengkapi dua penuras, di mana pertama ialah penuras elektrostatik yang akan menangkap zarah bersaiz 0.1 micron seperti habuk, debunga dan sebagainya. Penuras kedua pula ialah penuras karbon memerangkap gas-gas seperti nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan karbon monoksida yang sering di udara di kawasan-kawasan bandar

Ia mempunyai kemampuan beroperasi sehingga 50 jam dalam mod fon kepala sahaja. Tetapi jika penuras udara dan fon kepala digunakan secara serentak hayat bateri akan menyusut ke di antara 90 minit hingga 6 jam bergantung kepada tahap kekuatan kipas penapis udara.

Dengan wujudnya kipas, fon kepala Zone mempunyai sistem pembatalan hingar ANC terbina. Tidak akan wujud isu deruman kipas mengganggu pengalaman mendengar muzik kegemaran. Menurut Dyson sistem ANC boleh meredam hingar sehingga 38 dB. 

Bagi menjadikan Zone sebuah produk sebenar dan bukan sekadar prototaip, kepakaran jurutera dari UK, Singapore, Malaysia and China dengan Dyson Malaysia Development Centre di Johor menjadi pusat ujian penting untuk melihat prestasinya di negara beriklim tropika.

Dyson Zone akan dijual di China terlebih dahulu bermula Januari 2023 dengan ia kemudiannya ditawarkan pula di US, UK, Hong Kong dan Singapura pada harga $949 (~RM4183) sepasang.

Komen