Pesawat terakhir Boeing 747 siap dibina di kilang Boeing yang terletak di Everett, Washington. Dengan ini pengeluaran pesawat yang menerima nama jolokan Jumbo dan Ratu Angkasa ini akhirnya tamat selepas 54 tahun.
Atlas Air yang merupakan sebuah syarikat penerbangan kargo menjadi pelanggan terakhir pesawat Boeing 757-8 ini. Model pesawat ini juga adalah kapal terbang komersial paling panjang yang beroperasi sekarang. Sejak 1967, sebanyak 1574 Boeing 747 telah dibina dengan ia turut digunakan oleh Malaysia Airlines.
Pandemik menyebabkan pesawat gergasi dihentikan operasi oleh syarikat penerbangan untuk mengurangkan kos operasi. Pesawat dua enjin seperti Boeing 787 Dreamliner dan Airbus A350 dilihat sebagai pilihan yang lebih lestari. Airbus terlebih dahulu menamatkan pengeluaran pesawat dua tingkat mereka A380 pada tahun 2021 dengan ia gagal mencuri takhta 747 sebagai ratu udara.
Dalam sejarah operasi bermula 1969, 747 menjadi simbol status syarikat penerbangan utama. Model rekaan khas diubahsuai menjadi Air Force One bagi kegunaan presiden Amerika Syarikat. Ia turut terlibat dalam tragedi kemalangan udara terburuk dalam sejarah di Tenerife yang mengakibatkan 583 kematian.