Pelakuran Nuklear Dalam Makmal Berjaya Dilakukan Jabatan Tenaga A.S

Diterbitkan pada Dis 14, 2022. oleh .

Pelakuran nuklear adalah antara harapan manusia untuk menghasilkan tenaga yang lebih bersih dalam jumlah yang besar. Tiada kesan sampingan radioaktif seperti proses pembelahan nuklear dan lebih penting sekali jumlah tenaga yang dikeluarkan juga jauh lebih tinggi. Saintis daripada Jabatan Tenagan Amerika Syarikat (Department of Energy – DoE) mengumumkan kejayaan menghasilkan pelakuran nuklear di dalam makmal semalam.

Pada 5 Disember lalu, saintis dari Lawrence Livermore National Laboratory menggunakan 192 laser berkuasa 2.05 megajoules (MJ) ke atas sumber bahan api yang kemudiannya melepaskan 3.15 MJ tenaga. Lebih banyak output tenaga dihasilkan menerusi proses pelakuran nuklear ini berbanding input kuasa yang diperlukan untuk memulakan tindak balas. Sistem laser gergasi National Ignition Facility (NIF) digunakan yang turut merupakan sistem laser terbesar dan paling berkuasa di dunia setakat ini.

Ini ialah kejayaan yang besar kerana selama ini pelakuran yang mampu dihasilkan oleh ahli saintis adalah di dalam letupan bom hidrogen. Secara semula jadi pula, pelakuran berlaku di dalam matahari. Untuk pelakuran nuklear berlaku, suhu yang amat tinggi diperlukan.

Kejayaan pertama DoE melakukan pelakuran nuklear ini adalah usaha berterusan sejak 1960an lagi tetapi hanya kini membuahkan hasil. Isotop deuterium dan tritium yang digabungkan menerusi proses pelakuran hanya akan menghasilkan helium dan neutron. Tiada sisa nuklear yang berbahaya serta boleh dijadikan senjata nuklear terhasil.

Saintis Lawrence Livermore National Laboratory menggunakan laser NIF untuk menghasilkan suhu yang tinggi bagi membolehkan pelakuran berlaku. Di China dan Korea Selatan pula, Tokamak yang menghasilkan matahari buatan manusia digunakan bagi tujuan yang sama. Tahun ini misalnya Tokamak East milik China mengekalkan suhu 70 juta darjah Celsius selama 17.6 minit yang merupakan tempoh paling lama dicatatkan dalam sejarah.

komen


© Amanz / 2023 Kami