Carian
Twitter Spaces Telah Dimatikan Secara Mengejut (Kini Kembali Aktif)
December 16, 2022 Effi Saharudin

Ciri Twitter Spaces yang merupakan klon kepada Clubhouse telah dimatikan tanpa sebab malam ini. Pada aplikasi Twitter, ikon mikrofon untuk Spaces tidak lagi kelihatan di tengah-tengah talam bawah dan ia juga tidak lagi diberikan pada Twitter versi.

Ketika artikel ditulis Twitter masih belum memberikan sebab mengapa ciri yang popular ini dimatikan secara mengejut. Namun spekulasi mengatakan ia adalah untuk mengelakkan pengguna Twitter mengakses rakaman sebuah Spaces yang dihadiri oleh Elon Musk awal hari ini.

Topik membincangkan mengenai tindakan Twitter menggantung akaun beberapa wartawan yang menulis cerita mengenai Musk. Musk cuba mempertahan tindakan Twitter ini tetapi apabila beliau diasak dengan soalan salah seorang wartawan yang digantung beliau tidak mampu memberikan jawapan yang meyakinkan. Spaces juga masih membenarkan akaun yang digantung menyertai sesi perbincangan tanpa sebarang halangan.

Beberapa hari kebelakangan ini Twitter menukar terma dan syarat laman yang tidak membenarkan akaun yang memberikan lokasi pengguna lain secara masa nyata. Penggantungan serta merta akan diberikan jika ini dilakukan. Antara mangsa penggantungan ialah @ElonJet yang memberitahu lokasi kapal terbang peribadi Musk.

Sebelum ini Musk berjanji untuk menjadi juara kebebasan suara yang menurut beliau dihalang di Twitter. Tetapi tindakan Twitter melakukan penggantungan secara pukal akaun tertentu dan mengembalikan semula Donald Trump dilihat sebagai tindakan hipokrit dari Musk.

*Dikemaskini – Twitter Spaces kini boleh diakses semula sekitar dua jam yang lalu.

Komen