Rekaan Siri Vivo S16 Tertiris Sepenuhnya Menunjukkan Tri-Kamera Di Belakang

Diterbitkan pada Dis 19, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Vivo telah menjadualkan sebuah acara pelancaran produk baharu di China pada 22 Disember. Melaluinya siri Vivo S16 bakal diumumkan yang terdiri dengan tiga pilihan model, iaitu Vivo S16, S16 Pro dan S16e. Rekaannya juga telah diperlihatkan tetapi tidak secara menyeluruh untuk kesemua model itu. Namun begitu, perkongsian lebih terperinci kini mula didedahkan menerusi laman Mysmartprice.

Ia menunjukkan Vivo S16 dan S16 Pro mempunyai banyak persamaan dengan sokongan skrin hadapan dan panel belakang yang melengkung. Lubang kecil turut dimuatkan pada skrin kedua-dua peranti bersama saiz bezel agak nipis pada kesemua sisi. Berbeza dengan pendahulunya, kini tiada lagi modul kamera segi empat. Sebaliknya, sistem tri-kamera yang disertakan diletakkan dalam kedudukan berbeza secara menegak. Tidak ketinggalan, ia juga mempunyai LED Flash berbentuk bulat seumpama yang terdapat pada Oppo Reno8 Pro sebelum ini.

Vivo S16 & S16 Pro

Seterusnya Vivo S16e pula dijangka menjadi model asas untuk siri berkenaan. Secara menyeluruh, ia masih meminjam sejumlah rekaan daripada S16 dan S16 Pro. Di mana, sistem tri-kamera digunakan dengan padanan lampu LED Flash besar berbentuk bulat. Perbezaan ketara terletak pada penggunaan skrin berlubang dan tubuh yang sejenis rata. Saiz bezel jugak agak nipis pada kesemua sisi, di samping butang kuasa dan laras audio yang boleh dilihat pada sisi kanan.

Vivo S16e

Maklumat mengenai spesifikasi masih tidak diketahui secara rasmi. Tetapi ada kebarangkalian, variasi pro menggunakan cip Dimensity 8200 bersama memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Bateri pula sebesar 4,600mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas 66W.

Kesemua ciri dan fungsi ini mungkin dimuatkan dalam sebuah telefon pintar dengan skrin AMOLED 6.78-inci yang turut menyokong kadar segar semula 120Hz.

komen


© Amanz / 2023 Kami