Carian
OPPO Find N2 Sarat Dengan Inovasi – Menampilkan Skrin Dengan Kesan Lipatan Minimum
December 20, 2022 Ikhwan Nazri

Apakah yang membezakan sesebuah jenama dan juga meneruskan kelangsungannya? Terdapat banyak faktor dan sebab membolehkan sesuatu jenama kekal diingati, namun apabila bercakap mengenai inovasi dalam arena teknologi telefon pintar, salah satu jenama yang kian meningkat popularitinya adalah OPPO.

Jika dikirakan dari awal pengenalan OPPO N1 yang hadir dengan rekaan kamera yang boleh diputarkan, dan OPPO R15 Pro yang merupakan telefon pertama yang tidak mempunyai jek audio, adalah adil untuk dinyatakan yang mana OPPO berani dalam mengambil langkah inovasi yang kritis. Malah siri OPPO Reno 10x Zoom juga membawakan 10x zum dan boleh menyokong 60x zum digital yang jarang ditawarkan untuk peranti kelas pertengahan.

Dan minggu lepas berlangsungnya acara OPPO Inno Day 2022 yang kini menjadi acara tahunan OPPO dalam memperkenalkan inovasi mereka yang tersendiri. Malah, mereka telah menampilkan pelbagai peranti dan juga teknologi terkini pada peranti yang telah menempa nama pada tahun lepas.

Tahun ini menyaksikan peranti seperti OPPO Air Glass 2 hadir dengan pembaharuan membawakan kaca mata pintar yang bukan hadir untuk sebelah mata sahaja, akan tetapi hadir dalam bentuk yang lebih lengkap untuk pengguna.

Malah mereka turut memperlihatkan Robot Anjing mereka iaitu QRIC, yang bakal memberikan persaingan dengan robot anjing yang lain. Robot ini berupaya menerima arahan, melakukan gerakan lincah, mengambil bungkusan kurier dan pelbagai lagi yang boleh dikemaskini.

Selain itu dalam bidang perubatan, mereka juga memperkenalkan OHealth H1 yang merupakan kombinasi ECG dan Stetoskop, dan juga cip terbaru MariSilicon Y membolehkan penstriman Audio Resolusi Tinggi secara Nirwayar. 

Dan yang paling dinantikan di acara ini semestinya OPPO Find N2, iaitu kemas kini untuk siri OPPO Find N mereka. Peranti boleh lipat dari OPPO ini membawakan pelbagai inovasi, dan meletakkan mereka sangat rapat dengan pencabar lain dalam kategori ini. 

Kesan Lipatan Yang Sangat Minimal Dengan Inovasi Flexion Hinge Generasi Kedua

Sebut sahaja mengenai peranti dengan skrin boleh lipat, ia merupakan salah satu kekurangan yang terpaksa diterima oleh peminat peranti ini namun dari OPPO Find N lagi OPPO dilihat telah berjaya menyelesaikan masalah kesan lipatan yang terdapat pada skrin.

Dengan OPPO Find N2, mereka telah berupaya menambah baik keupayaan Flexion Hinge generasi kedua di mana kesan lipatan skrin hampir tidak dapat dilihat. Ini jelas lagi menerusi rekaan baharu Flexion Hinge yang turut membuatkan tiada sebarang ruang di antara skrin sewaktu dilipat, membuatkan rekaannya lebih seragam dan kemas. 

OPPO Find N2 – Dikuasakan Cip Snapdragon 8+ Gen 1

Sebagai peranti mercu, OPPO Find N2 menyertakan cip terkini berprestasi tinggi iaitu Snapdragon 8+ Gen 1. Cip ini mampu memberikan prestasi yang pantas dalam apa jua keadaan, malah pengguna boleh melakukan multi-tugasan pada peranti yang turut mempunyai skrin yang besar apabila dibuka sekaligus memanfaatkan paparan yang boleh dikatakan hampir tiada kesan lipatan. 

Pengguna juga boleh melakukan multi-tugasan dengan lebih mudah menerusi FlexForm Mode. Apabila membuka peranti di pertengahan dengan sudut 90 darjah, pengguna boleh memilih fungsi yang sangat sesuai dilakukan seolah-olah membuka peranti ini sama seperti laptop. Dan pengalaman menjalankan FlexForm Mode ini semestinya lebih sempurna kerana kesan lipatan skrin hanyalah minimal, dan tidak mengganggu pengalaman pengguna.

Sistem Kamera Hasselblad Dikuasakan Cip Pengimejan MariSilicon X

Menambahkan lagi nilai inovasi pada OPPO Find N2 ini adalah sistem kamera Hasselblad yang dikuasakan cip pengimejan MariSilicon X. Sistem kamera Hasselblad dengan mod warnanya yang tersendiri dan juga mod X-Pan ini kini hadir dengan sistem tri-kamera utama 50MP sudut lebar, 48MP ultra sudut lebar, dan 32MP telefoto dengan zum optikal 2X. 

Dan dengan cip pengimejan MariSilicon X, hasil pengimejan dibantu kecerdasan buatan akan menghasilkan gambar yang lebih baik, lebih jitu, lebih ketepatan warnanya, sekaligus meletakkan peranti ini berbeza dengan yang lain.

Berikut merupakan beberapa gambar yang dirakam menggunakan kamera Hasselblad yang dikuasakan cip MariSilicon X.

Bateri Sebesar 4520 mAh Dengan Pengecasan Pantas 67W

Satu lagi ciri yang meletakkan OPPO Find N2 di hadapan pesaing peranti skrin lipat yang lain adalah kapasiti baterinya. Jika dikirakan dari saiz, berat dan ukuran OPPO Find N2 berbanding yang lain, OPPO Find N2 adalah lebih kecil serta mempunyai nisbah ‘Golden Ratio’ yang lebih baik, di mana pengguna yang sukakan peranti skrin lipat pasti akan menyukai kelebaran yang dibawakan.

Walaupun lebih kecil, OPPO Find N2 mempunyai kapasiti bateri sebesar 4,520 mAh, dan lebih besar berbanding yang lain. Dengan ini ia mampu beroperasi dan mempunyai waktu sedia yang lebih lama, ditambah lagi dengan optimasi ColorOS 13 berasaskan Android 13. Tidak cukup dengan itu, ia turut mempunyai pengecasan pantas 67W jadi isu pengecasan tidak menjadi masalah buat pengguna.


Jelas sekali OPPO berjaya membawakan pelbagai inovasi, dan bersaing dengan jenama-jenama popular yang lain. Tidak mustahil OPPO Find N2 bakal mendapat tempat di hati pengguna, dengan kecanggihan dan inovasi yang dibawakan terutamanya pada rekaan engsel Flexion Hinge, penggunaan cip pemprosesan terkini Snapdragon 8+ Gen 1 dan juga sistem trikamera Hasselblad dengan cip pengimejan MariSilicon X.

Penafian: Advertorial dari OPPO Malaysia

Komen