Pengenalan Poco X4 Pro 5G sebelum ini telah menerima reaksi yang bercampur baur dalam kalangan pengguna, ekoran ia hanyalah sebuah Redmi Note 11 Pro 5G dengan tubuh yang ditukar dan saiz storan ditambah. Namun begitu, masing-masing masih membawakan identiti jenama tersendiri, dalam masa sama pengguna juga mempunyai hak untuk memilih mengikut keperluan.
Bagi yang menunggu kemaskini untuknya, ia seakan bakal tiba tidak lama lagi. Hal ini boleh dilihat menerusi salah satu ciapan terkini ketua Poco India, Himanshu Tandon yang memberi bayangan mengenainya. Kemungkinan besar, pelancaran untuk siri Poco X5 diadakan sekitar suku pertama tahun hadapan, iaitu di antara bulan Januari atau Februari 2023.
Dalam masa sama, penggunaan perkataan siri pada ciapan itu juga menjelaskan bahawa Poco mungkin melancarkan lebih daripada satu telefon pintar di bawah siri tersebut. Salah satu daripadanya mungkin Poco X5 5G yang mana sebelum ini telah ditemui menerusi beberapa pensijilan termasuklah SIRIM Malaysia.