Beberapa hari lepas, gambar peranti yang dikatakan adalah ThinkPhone by Motorola tertiris. Imej ini memaparkan yang Motorola akan hadir dengan telefon pintar Android di bawah jenama ThinkPhone seakan ThinkPad oleh Lenovo. Terkini, peniris terkenal Evan Blass mendedahkan imej pengolokan rasmi yang lebih jelas dan resolusi tinggi.

Peranti ini dikatakan adalah untuk pengguna perusahaan dan hadir dengan beberapa ciri premium, termasuk rekaan yang mirip dengan komputer riba Lenovo ThinkPad X1 Extreme. Panel belakang menggunakan corak gentian karbon (tidak pasti bahannya), huruf “i” pada logo ThinkPhone adalah titik merah ikonik, sisi peranti yang rata menampakkan sebuah peranti premium serta turut mempunyai butang fizikal tambahan berwarna merah dan mempunyai tekstur.

Pada bahagian skrin, Motorola dilihat menggunakan panel paparan yang rata serta lubang untuk kamera swafoto. Modul kamera dilihat lebih kurang dengan kebanyakan peranti Mororola dan jelas kelihatan tulisan 50MP dipaparkan pada gambar peranti.
ThinkPhone by Motorola dikatakan akan dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, memori sehingga 12GB RAM dan mungkin akan terhad di China terlebih dahulu.