Carian
Ulasan – Oppo Find N2 Perlu Segera Dijual Di Malaysia
December 27, 2022 Effi Saharudin

Oppo Find N2 perlu dijual di Malaysia pada kadar segera. Ini pendapat kami selepas menggunakan telefon skrin boleh-lipat ini selama dua minggu. Ia bukan sahaja pada pendapat kami merupakan telefon skrin boleh-lipat paling selesa digunakan tetapi ia juga menyelesaikan tiga isu utama yang melanda peranti dengan rekaan seperti ini.

Isu tersebut adalah ianya berat, ianya tidak mudah digunakan sebelah tangan dan harga yang kurang mampu milik. Pada Oppo Find N2 ketiga-tiga isu ini berjaya diselesaikan dan membuktikan mungkin rekaan yang lebih kompak ialah yang terbaik untuk peranti skrin boleh-lipat akan datang.

Spesifikasi

Oppo Find N2
SkrinLuar – 5.54″ AMOLED, 120Hz
Dalam – 7.1″ AMOLED 120Hz
HDR10+, Stylus
PemprosesSnapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 2.00 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12/16 Gigabyte
Muatan Dalaman256/512GB UFS 3.1
Kamera Utama54 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
48 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
32 MP, f/2.0 Telefoto) 2x Zum Optical
4K 60p
Kamera Depan32 Megapixel f/2.4 (Depan)
32 Megapixel f/2.4 (Dalam)
1080p 30p
Bateri4520 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari terbina sisi
Harga JualanRM5060* (12/256 GB)
RM5693* (16/512 GB)

Skrin

Skrin luar 5.54″ AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Saiz skrin ini adalah kompak yang menjadikannya sangat selesa digunakan walaupun dengan sebelah tangan. Ia adalah seperti memegang sebuah iPhone SE yang dua kali ganda lebih tebal sahaja. Menaip menggunakan skrin luar juga lebih selesa kerana nisbah skrin yang menyerupai sebuah telefon pintar candybar biasa.

Bezel pada tiga sudut adalah nipis dan sekata. Terdapat sokongan HDR10+ secara rasmi tetapi semasa artikel ini ditulis HDR hanya boleh digunakan pada aplikasi YouTube sahaja. Sokongan rasmi perkhidmatan penstriman lain mungkin akan hanya hadir selepas pelancaran global Find N2 kelak. Skrin yang sama mengesan setiap sentuhan dan tatalan dengan jitu. Dengan 120Hz animasi nampak jelas serta lancar sepanjang masa. Pengguna diberikan pilihan untuk merendahkan kadar segar semula ke 120Hz sekiranya diperlukan.

Skrin dalam boleh-lipat Find N2 pula adalah sebesar 7.1″ AMOLED 120Hz yang turut menyokong HDR10+. Kesan lipatannya masih wujud tetapi tidak ketara dengan sekali panjang. Hanya pada sudut tertentu ia dapat dilihat. Bingkai skrin dalaman adalah besar dengan ia diperbuat daripada bahan plastik yang menyerap hentakan apabila skrin ditutup.

Engsel baharu tahun ini lebih mudah dibuka tanpa mengeluarkan sebarang bunyi yang aneh. Peranti terasa teguh di dalam tangan dalam keadaan dibuka dan juga ditutup. Dalam kedudukan tertutup, tiada ruang antara skrin. Rekaan yang lebih rapat ini membuatkannya kelihatan lebih kemas apabila dibandingkan dengan Z Fold4 yang mempunyai ruang kecil antara skrin berhampiran engsel dalam kedudukan tertutup.

Penambah baikan tahun ini ialah Oppo menggunakan lapisan UTG pada skrin boleh lipat ini dan akhirnya skrin ini boleh menyokong stylus Oppo Pen. Dari segi kemampuan Oppo Pen sama dengan S Pen Samsung. Seperti pada Z Fold4, stylus Oppo Pen dijual berasingan dengan tiada tempat simpanan khas disertakan pada tubuh. Kami tidak dapat menguji kemampuan lakaran Oppo Pen pada N2 yang diulas kerana tidak pula diberikan oleh Oppo Malaysia.

Terdapat dua lubang kamera kecil pada bucu atas kiri skrin boleh-lipat dan di tengah-tengah pada skrin luar yang lebih kecil. Akhir sekali kerana kedua-dua skrin adalah dari keluarga AMOLED, teks dan imej pada skrin boleh dilihat dengan jelas walaupun di bawah matahari yang terang.

Kekurangan yang ketara pada waktu ini ialah skrin 7.1″ menggunakan nisbah skrin yang hampir 1:1 yang terlalu berkotak. Ia tidak menimbulkan isu apabila menonton video tetapi membuatkan pengalaman melayari web atau aplikasi tertentu seperti dipotong separuh. Dalam permua seperti COD Mobile pula, ruang pandangan permainan menjadi terlalu sempit.

Lihat gambar di bawah di mana beberapa baris hilang apabila melayari laman Amanz. Membuka Instagram pula, gambar hanya nampak separuh untuk dilihat sepenuhnya. Bagi mereka yang ingin menulis ketika di luar pejabat, tidak ada ruang yang mencukupi untuk menaip dengan selesa kerana hanya dua baris boleh dilihat pada antaramuka WordPress misalnya.

Untuk menyelesaikan isu ini, ColorOS 13 mempunyai ciri memaksa aplikasi untuk dipaparkan pada nisbah 16:9 pada skrin 7.1″. Kesan negatifnya ialah terdapat palang hitam di bahagian atas dan bawah aplikasi pula. Seakan kesan Letterbox menonton DVD 16:9 pada TV CRT 4:3 dua dekad yang lalu.

Rekaan

Kami katakan pada beberapa perenggan di atas, N2 adalah seperti menggunakan dua iPhone SE secara serentak. Dalam mod tertutup ia masih selesa di dalam tangan kerana saiznya yang kompak. Dalam mod terbuka pula, ia masih lagi selesa digunakan seperti sebuah iPad Mini. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada “sayap kanan” N2. Butang laras audio di atas dan butang kuasa pula di bawah. Terdapat pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa ini.

Sistem imbasan jari pada N2 adalah amat pantas dengan skrin ternyahkunci sekelip mata. Bagi yang inginkan sistem nyahkunci lebih pantas, pengecaman wajah juga boleh diaktifkan. Tetapi kerana tiada pemancar infra merah, pengecaman wajah hanya berfungsi dalam keadaan terang sahaja. Prestasi sebaik Face ID tiada di sini.

Kami cuma kurang gemar dengan kedudukan butang laras audio yang terlalu tinggi. Untuk mengubah kelantangan bunyi adalah sedikit sukar. Speaker juga diletakkan di bahagian bawah yang sebenarnya adalah keputusan yang bijak. Dalam pengalaman kami menggunakan peranti skrin boleh-lipat, apabila speaker diletakkan ke sisi kerap kali kekisi ditutup dengan tangan. Dengan speaker menembak ke bawah audio jarang sekali terhalang secara tidak sengaja.

Talam untuk dwi SIM bersaiz nano juga diletakkan di bahagian bawah sayap kanan dengan ia mengepit port USB-C dan kekisi audio. Tiada ruang untuk kad mikro SD maka pembeli harus memutuskan saiz storan apakah yang ingin digunakan selama peranti digunakan. Tiadanya ciri menambah memori adalah satu trend yang mengecewakan pada peranti mercu Android sejak empat tahun yang lalu.

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besar berbentuk empat segi yang meletakkan tiga kamera – 50MP Sudut lebar f/1.8 , 48MP ultra sudut lebar f/2.2 dan 2MP telefoto f/2.o yang menyokong zum optikal 2x serta zum digital sehingga 20X.

Konfigurasi kamera tahun ini tidak lagi tiga menegak seperti pada Find N asal. Saiz lensa sudut lebar dan ultras sudut lebar adalah besar. Tiada gimik sistem kamera makro di sini. Tiada juga sistem kamera periskop. Yang ada ialah sistem kamera Hasselblad dengan Oppo meneruskan kerjasama dengan syarikat fotografi dari Sweden ini. Bonggol yang besar membuatkan Find N2 tidak boleh diletakkan rata di atas meja.

Kemasan belakang Find N2 diperbuat daripada kulit vegan dengan tekstur mirip ditemukan pada kamera digital. Jika digunakan tanpa kerangka, permukaan penal belakang ini bertekstur tetapi masih lagi lembut pada sentuhan. Ia tidak terasa sejuk apabila dipegang seperti panel kaca dan logam. Kami cukup suka dengan kemasan ini kerana membuatkan peranti terasa eksklusif, tidak licin ketika dipegang dan tidak mudah kotor. Sedikit sedih apabila kerangka yang diberikan dipasang, panel yang cantik ini tersorok di belakang kerangka polikarbonat biasa.

Bateri yang diberikan adalah sebesar 4520 mAh yang lebih besar berbanding Z Fold4 (4400 mAh) tetapi lebih kecil berbanding Magic Vs (5000 mAh). Mengagumkan tubuh Find N2 yang kecil boleh menempatkan bateri yang lebih besar berbanding Z Fold4 yang tubuhnya lebih besar. Tambah menakjubkan terdapat sokongan pengecasan 67W yang lebih pantas secara berwayar. Kekurangan hanya tiada sokongan pengecasan nirwayar atau berbalik.

Kombinasi tubuh yang kompak, skrin luar yang kecil tetapi masih mudah digunakan dan skrin boleh-lipat yang tidak mempunyai kesan lipatan yang ketara membuatkan kami serta merta jatuh cinta dengan Find N2. Ini adalah sesuatu yang kami sendiri tidak sangka kerana selama ini merasakan Z Fold4 ialah kemuncak rekaan peranti skrin boleh-lipat. Satu kelebihan paling ketara yang kami sedar ialah kerana saiznya yang kecil dan tidak begitu tebal, Find N2 boleh digunakan pada pemegang peranti dalam kereta tanpa perlu membeli yang baharu.

Pendek kata rekaan Find N2 bukan sahaja yang paling selesa pernah kami gunakan setakat ini untuk sebuah peranti skrin boleh-lipat, tetapi juga paling praktikal. Kekurangan yang ada ialah ia tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air rasmi sedangkan peranti skrin boleh-lipat Samsung tahun ini melepasi piawaian IPX8.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Sistem operasi ColorOS 13 yang berasaskan Android 13 digunakan. Ini membawakan sokongan kustomasi dan widget yang lebih baik. Komponen Android 12L khusus untuk tablet juga disertakan sekali. Penggunaan Find N2 adalah lancar dan pantas seperti yang diharapkan untuk sebuah peranti kelas mercu premium. Model yang diulas hanya dilengkapi 12GB RAM dan storan 256GB tetapi kami tidak menemukan sebarang isu memuat turun aplikasi dari Play Store dan menjalankannya pasca pemasangan.

Tiada isu langsung walaupun peranti sebenarnya menggunakan ROM versi China. Pemasangan Google Play Store boleh dilakukan tanpa proses rumit. Berita baik bagi mereka yang ingin membeli unit N2 terus dari China sebelum penawaran tahap global.

Terdapat ciri menambah RAM sehingga 8GB secara maya sekiranya diperlukan. Fungsi spesifik tablet pada skrin boleh-lipat juga diberikan oleh Oppo. Antaranya melakukan dua jari dari atas ke bawah akan secara automatik melancarkan mod dwi-tingkap. Tingkap ini kemudiannya boleh diubah saiz mengikut keperluan. Selain itu mod memaparkan aplikasi dalam tingkap terapung juga boleh digunakan.

Kerana tidak semua aplikasi direka untuk skrin boleh lipat, Oppo memberikan ciri untuk pengguna memilih untuk melancarkan aplikasi pada nisbah lebih mirip telefon pintar biasa atau memaksa ia menggunakan keseluruhan skrin. Kami lebih selesa menggunakan Instagram tanpa ia dipaksa menjadi besar misalnya. YouTube pula lebih mudah digunakan pada skrin yang lebih lebar. Pengguna boleh menetapkan sendiri aplikasi mana yang ingin dipaksa ataupun tidak.

Flex Mode juga boleh digunakan tetapi pada waktu ini ia terhad kepada beberapa aplikasi dari China sahaja. Seperti yang kami sebutkan di atas tadi, Find N2 yang diulas menggunakan ROM China maka sokongan aplikasi YouTube dan Netflix masih belum diberikan.

Berdasarkan penggunaan peringkat awal, ColorOS 13 berfungsi dengan lancar dan menawarkan pelbagai ciri tambahan yang menarik dalam mod tablet. Namun begitu ciri seakan Taskbar Z Fold4 tiada pada Find N2 kerana harta intelek mungkin dipegang oleh Samsung. Pada hemat kami Taskbar perlu menjadi ciri standard pada kesemua peranti skrin boleh-lipat kerana mempercepatkan proses bertukar antara aplikasi seakan sebuah sistem operasi desktop.

Minggu lalu Oppo mengesahkan Find N2 dan N2 Flip akan menjadi peranti terawal menerima kemas kini empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun. Kepada mereka yang ingin membeli Find N2, peranti ini boleh digunakan sehingga separuh abad tanpa isu.

Penanda Aras

Cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang digunakan oleh mencatatkan skor seperti di bawah. Lebih rendah berbanding pada Galaxy Fold4 dan ASUS ROG Phone 6 yang turut menggunakan pemproses yang sama. Sebagai perbandingan tambahan, kami letakkan juga markah penanda aras Apple A16 Bionic dari iPhone 14 Pro Max di bawah.

Geekbench 5

  • Oppo Find N2 – 1039/3513
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1298/3963
  • ASUS ROG Phone 6 – 1312/4191
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469

Antutu 3D

  • Oppo Find N2 – 899,379
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
  • ASUS ROG Phone 6 – 1,099,5132 
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Wild Life Extreme

  • Oppo Find N2 – 2752
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 2798
  • ASUS ROG Phone 6 – 2786
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Walaupun skor yang dicatatkan tidak setinggi yang sepatutnya kami tidak merasakan sebarang kekurangan ketika menjalan pelbagai aplikasi utama. Permua COD Mobile, Diablo Immortal dan Genshin Impact boleh dimainkan pada tetapan tinggi. Selepas beberapa pusingan tiada isu pemanasan melampau. Teori kami ialah prestasi cip pemproses dikurangkan sedikit bagi mengelakkan isu ini berlaku. Skor mungkin rendah berbanding pesaing tetapi impaknya langsung tidak dapat kami kesan atau lihat pada penggunaan seharian.

Telefoni, GPS, WiFi

Find N2 masih belum tersenarai sebagai peranti yang disokong 5G secara rasmi di Malaysia tetapi kami boleh menikmati rangkaian ini tanpa isu menggunakan SIM Digi. Tanpa 5G sekalipun, rangkaian 4G VoLTE dan VoWiFi boleh digunakan. Panggilan suara adalah jelas dan terang sekali lagi bergantung kepada syarikat telekomunikasi yang anda gunakan.

GPS juga tepat dengan aplikasi pemetaan Waze boleh mengesan lokasi kami di tengah-tengah Kuala Lumpur dalam masa kurang dua saat. Sokongan WiFi 6 diberikan untuk kemampuan muat turun terpantas jika anda mempunyai penghalanya di rumah.

Kamera

Beberapa sampel gambar yang sempat diambil dalam tempoh yang singkat peranti digunakan oleh kami di Amanz. Kamera dengan sistem Hasselblad XPan diberikan untuk mengambil foto yang lebih sinematik pada nisbah memanjang. Seperti pada Oppo Find X5 Pro, Find N2 juga mempunyai cip MariSilicon X yang merupakan ISP kendiri buatan Oppo bagi meningkatkan prestasi fotografi.

Secara keseluruhan kemampuan fotografi Find N2 adalah amat memuaskan bagi sebuah telefon pintar bukan hanya terhad kepada kategori telefon skrin boleh lipat sahaja. Warna hidup, julat dinamik amat baik dan imej tajam walaupun di waktu malam.

Mod XPan mungkin dilihat seakan gimik tetapi kami gemar menggunakannya lebih-lebih lagi dalam mod monokrom. Setiap gambar yang diambil persis filem klasik Cinerama dari dekad 50an. Seperkara lagi yang ingin kami berikan pujian ialah mod potret swafoto yang mampu mengesan latar belakang dengan subjek dengan cukup baik.

Rungutan kami ialah tiada singkatan pantas ke mod XPan. Setiap kali ingin digunakan kami perlu pergi ke menu sisi, kemudian memilih XPan pada pilihan mod. Sepatutnya pintas pantas diletakkan kerana Xiaomi meletakkan mod Leica terus sebagai antara pilihan utama. Kekurangan ini pasti boleh diperbaiki menerusi kemas kini aplikasi kamera Oppo sahaja.

Audio

Terdapat sepasang speaker stereo dengan kedua-dua ditembak ke bawah apabila skrin telefon dibuka. Apabila dipegang pada orientasi ini, audio menghala terus ke aras tubuh pengguna yang membuatkan kualiti audio amat memuaskan. Isu kekisi audio tertutup dengan tangan juga tidak berlaku. Bunyi yang dikeluarkan juga jelas dengan bass yang berdentum memuaskan serta treble yang jelas.

Bateri

Bateri 4520 mAh Find N2 lebih besar berbanding pada Galaxy Z Fold4 (4400 mAh) tetapi lebih kecil berbanding Magic Vs (5000 mAh). Mengagumkan bateri lebih besar boleh dimuatkan dalam tubuh yang kecil ini.

Pada penggunaan berat peranti bertahan sehingga hampir 13 jam dengan SOT hampir 7 jam. Sementara itu dalam penggunaan lebih sederhana peranti bertahan 25 jam dengan SOT pula hampir 10 jam. Ini dicapai dengan Find N2 bergantung kepada WiFi hampir sepanjang masa.

Masa mengecas semula bateri ialah kurang sejam menerusi pengecas 67W SuperVOOC yang diberikan dengan pembelian. Hanya pengecasan berwayar sahaja boleh dilakukan. Tiada sokongan pengecasan nirwayar atau pengecasan nirwayar berbalik disertakan.

Pesaing

Pesaing sebenar untuk Find N2 ialah Samsung Galaxy Z Fold4 dan Honor Magic Vs

Oppo Find N2Samsung Galaxy Z Fold4Honor Magic Vs
Luar – 5.54″ AMOLED, 120Hz
Dalam – 7.1″ AMOLED,120Hz, HDR10+
Luar6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam
7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
Luar – 6.45″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.9″ OLED, 90Hz,
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Adreno 730Adreno 730Adreno 730
12/16 GB LPDRR512 GB LPDRR58/12 GB LPDDR5
256/512/1000 GB UFS 3.1
256/512/1000 GB UFS 3.1

256/512 UFS 3.1
Kamera Utama
54 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
48 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
32 MP, f/2.0 Telefoto) 2x Zum Optical
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
10MP, f/2.2 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
54 MP, f/1.9 (Sudut Lebar)
50 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
8 MP, f/2.4, OIS (Telefoto) 3x Zum
Kamera Hadapan
32 Megapixel f/2.4 (Depan)
32 Megapixel f/2.4 (Dalam)
Kamera Hadapan
10-MP f/2.2 (Depan)
4-MP f/1.8 (UDC – Dalam)
Kamera Hadapan
16 Megapixel f/2.45 (Depan)
16 Megapixel f/2.45 (Dalam)
Tidak kalis airIPX8Tidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4520 mAh (Berwayar 67W)4400 mAh (Berwayar 25W)5000 mAh (Berwayar 66W)
Bermula RM5060* (12/256 GB)Bermula RM 6799 (12/256)Bermula RM4798* (8/256 GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Oppo Find N2.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 67W.
  • 1x Manual.
  • 1x Kerangka polikarbonat.
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Rekaan Find N2 menjadikan ia telefon pintar skrin boleh-lipat pertama paling mudah digunakan sebelah tangan. Oleh sebab itu kami tidak menggunakan skrin dalaman dengan kerap kecuali untuk menonton video, menjalankan permua dan membaca dokumen besar. Terdapat banyak fungsi yang spesifik tablet yang disertakan sekali seperti gestur dua jari untuk melancarkan mod dwi-aplikasi serentak. Kekuatan lain Find N2 ialah kamera yang pada hemat kami terbaik pada telefon boleh-lipat pernah dilihat di makmal Amanz.

Tiada isu prestasi kerana Snapdragon 8+ Gen 1 masih pemproses yang baik dengan memori boleh ditambah secara maya sehingga 8GB. Turut membuatkan kami jatuh hati dengan Find N2 ialah ketahanan bater yang juga amat baik disokong pengecasan yang pantas.

Kekurangan hanyalah skrin lipat yang bernisbah terlalu berkotak membuatkan sesetengah aplikasi tidak boleh digunakan dalam mod skrin penuh dan tiada langsung kemampuan kalis air.

Pada waktu ulasan ditulis Oppo masih belum memberikan petanda Find N2 akan dipasarkan ke luar China. Seperti kami katakan di awal ulasan ini, ini perlu dilakukan segera kerana mereka mempunyai peranti yang berkemampuan memberikan persaingan paling kuat kepada siri Galaxy Z Fold di Malaysia.

Pro

  • Skrin 5.45″ 120Hz yang kecil tetapi selesa digunakan sebelah tangan.
  • Skrin boleh-lipat besar 7.1″ 120Hz di dalam tiada kesan lipatan ketara.
  • Spesifikasi tinggi Snapdragon 8+ Gen 1 dengan memori sehingga 16GB RAM.
  • Kemasan panel luar seakan kulit terasa mewah.
  • Tri-kamera utama yang besar dengan zum optikal.
  • Bateri sebesar 4500 mAh tahan lama dengan pengecasan 67W.
  • Sokongan Oppo Pen.

Kontra

  • Tiada piawaian kalis air.
  • Flex Mode pada ColorOS 13 terhad kepada beberapa aplikasi China sahaja.
  • Kedudukan butang laras audio yang sedikit canggung.
  • Tiada pilihan Flex Mode untuk skrin luar.
  • Skrin 7.1″ bernisbah hampir 1:1 membuatkan ia tidak serasi untuk semua aplikasi.
Komen