Cari @ Amanz

Siri Redmi Note 12 telah diperkenalkan secara rasmi pada Oktober lalu dengan beberapa variasi berbeza. Ini termasuklah Redmi Note 12 5G, Redmi Note 12 Pro, Redmi Note 12 Pro+ dan Redmi Note 12 Discovery Edition. Masing-masing mengetengahkan penawaran menarik berbeza bagi menjadikannya selari dengan target pengguna semasa.

Terbaharu Redmi Note 12 Pro Speed Edition pula telah diumumkan di China sebagai penambahan baharu untuk siri berkenaan. Dari aspek rekaan, ia menggunakan elemen yang sama seumpama beberapa peranti di bawah siri Redmi Note 12 sebelum ini. Perkakasan dalaman bagaimanapun telah dikemaskini dengan penawaran yang berlainan.

Ia merupakan telefon 5G dengan janaan cip Snapdragon 778G yang dimuatkan dalam tubuh dengan skrin OLED sebesar 6.67-inci beresolusi FHD+. Turut disertakan adalah sokongan kadar segar semula 120Hz, pensijilan HDR10+ dan tahap kecerahan mencapai 900 nits yang memberi nilai tambah untuk kegunaan dalam pelbagai situasi.

Pembesar suara stereo dan sistem imbasan cap jari sisi turut dimuatkan padanya. Kemudian, tetapan kamera pula terdiri dengan 108MP (Samsung HM2) + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (makro), di samping kamera swafoto 16MP. Bateri 5000mAh digunakan yang turut menyokong sistem pengecasan pantas 67W.

Untuk harga, Redmi Note 12 Pro Speed Edition dijual pada RMB1699 (~RM1079) (6GB/128GB), RMB1799 (~RM1142) (8GB/256GB) dan RMB1999 (~RM1270) (12GB/256GB). Tiada maklumat mengenai ketersediaanya di luar pasaran China, atau mungkin kelak dijenamakan semula sebagai nama lain untuk beberapa pasaran.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd