Huawei Malaysia Bakal Memperkenalkan Lebih Banyak Inovasi Terkini Pada Tahun 2023

Diterbitkan pada Dis 30, 2022. oleh .

Ada pepatah mengatakan membujur lalu melintang patah, inilah keadaan yang sesuai digambarkan buat salah satu pengeluar yang berpangkalan di China, iaitu Huawei. Seperti yang diketahui ramai, Huawei telah berhadapan dengan pelbagai kemelut selepas dimasukkan ke dalam senarai entiti oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat selepas didakwa mendatangkan risiko ke atas keselamatan negara.

Huawei

Bagaimanapun, ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberi yang terbaik buat pengguna setia. Malahan, mereka dilihat ‘terus hidup’ dan pernah suatu ketika berjaya memintas pengeluar terkemuka dari Korea Selatan sebagai pengeluar peranti terbesar dunia sekitar suku pertama tahun 2020.

Berfikir untuk jangka masa panjang, Huawei sudah semestinya menyimpan hasrat untuk memperkukuhkan lagi peranan dan kedudukan pada masa akan datang. Tetapi apa agaknya perancangan lanjut mereka untuk tahun 2023? Dipetik menerusi satu perkongsian wawancara khas bersama Pengarah Negara Huawei Malaysia, Victor Xu Jin Long telah berkongsi lanjut mengenainya.


Huawei Mate 50 Pro Vegan Leather Laris Terjual

Menurut Victor Xu, Huawei melabuhkan tirainya tahun ini dengan mencatatkan pencapaian dan kejayaan nyata yang luar biasa. Ini termasuklah pelancaran untuk berbilang peranti utama yang dimulakan dengan siri Huawei P50 pada pertengahan Januari 2022.

Kemudian diikuti pula dengan Huawei Mate Xs pada penghujung April yang merupakan telefon dengan skrin boleh lipat berciri inovatif. Seterusnya, siri Huawei Mate 50 yang dilengkapi dengan kaca Kunlun berteknologi tinggi sekitar bulan November lalu.

Momentum kejayaan ini berjaya dikekalkan selepas mereka melancarkan sejumlah produk yang menyasarkan penggunaan di pejabat. Antaranya seperti barisan komputer riba baharu di bawah siri MateBook dan tablet MatePad baharu. Di samping turut menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan ekosistem yang dinaiktaraf untuk pengalaman penggunaan lebih baik.


Pertumbuhan Jualan Meningkat

Apabila menjawab persoalan mengenai persoalan mengenai pencapaian pada tahun 2022, beliau mengatakan barisan produk utama Huawei menerima sambutan menggalakkan dan terus berkembang dengan inovasi yang sesuai dengan keadaan semasa. Malaysia juga merupakan negara terawal di luar pasaran China yang memulakan jualan untuk siri Huawei P50 dan Mate50, sekaligus merekodkan pertumbuhan jualan yang memberangsangkan sebanyak 150%.

Tambah beliau, seperkara yang pasti menggembirakan mereka apabila Huawei Mate 50 Pro Vegan Leather edisi kaca kunlun habis terjual dalam masa 24 jam sepanjang tempoh sesi pratempah berlangsung. Peningkatan permintaan tersebut juga telah menggalakkan mereka kemudiannya hadir dengan dua lagi variasi baharu menerusi Huawei Mate50 Pro Black dan Silver pada Disember baru-baru ini.


Huawei AppGallery Lebih Mesra Pengguna

Huawei AppGallery mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2019. Sejak itu, Huawei sedia memberi fokus sepenuhnya terhadap gedung aplikasi miliknya dengan menyediakan pelbagai penawaran yang seiring dengan kehendak pengguna hari ini. Pengenalannya adalah sebagai alternatif Google Play Store kerana kekurangan GMS merupakan salah satu cabaran terbesar pada peranti Huawei hari ini.

Percubaan yang membunga dan membuahkan hasil ini telah meletakkan gedung aplikasi ini sebagai ketiga terbesar yang digunakan oleh pengguna tempatan, selepas Google Play Store dan Apple App Store. Tidak hanya tertumpu pada keperluan harian, malahan kemas kini semasa yang diberikan turut menjadi rangkaian serba boleh dengan tawaran yang sentiasa berkembang. Misalnya seperti kemas kini promosi dan ganjaran terkini daripada Huawei sendiri.

Huawei AppGallery

Dalam wawancara yang sama, Victor Xu juga berbesar hati untuk berkongsi Huawei AppGallery kini telah memuatkan hampir 99% aplikasi kegemaran rakyat Malaysia merentasi pelbagai perkhidmatan yang boleh dimuat turun dalam satu gedung. Ini termasuklah penghantaran makanan, beli-belah, pembelajaran, perbankan mudah alih dan sebagainya.


Kemas Kini Sistem Kini Lebih Komprehensif

Diaju pula soalan mengenai antaramuka baharu EMUI 13 yang diumumkan baru-baru ini, beliau berkata kesemua ciri padanya adalah selaras dengan tumpuan mereka kali ini. Di mana, Huawei mahu menyajikan pengalaman penggunaan peranti dengan ketersambungan serta perkhidmatan lebih pintar. Antaranya seperti, EMUI 13 membawakan keupayaan dipertingkatkan dengan sokongan Huawei device yang kini menyokong sehingga 10 peranti secara serentak.

Kemudian antara ciri tambahan lain seperti SuperStorage turut dimuatkan bagi mengurangkan penggunaan storan pada permua. Seterusnya, ciri SuperHub pula memudahkan proses berkongsi pelbagai fail yang berbeza format secara drag & drop. Seperkara lagi yang penting sudah semestinya pada sokongan privasi dan keselamatan serba baharu untuk pelindungan data dipertingkatkan.


Lebih Banyak Inovasi Pada Masa Hadapan

Apabila ditanya apakah perancangan Huawei Malaysia selepas ini, beliau terlebih dahulu berterima kasih atas sokongan daripada pengguna setia yang mempercayai setiap inovasi yang disediakan. Dalam usaha memperoleh hal yang lebih pada masa akan datang, beliau menyatakan pihaknya akan terus menyajikan barisan produk yang menarik, inovatif dan canggih pada tahun 2023.

Mereka juga akan cuba lebih mendekati pengguna secara langsung dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang boleh membantu mereka terokai produk Huawei lebih mendalam. Tidak ketinggalan, pelbagai inovasi yang selari dengan trend semasa turut akan diperkenalkan dari masa ke semasa bagi menjadikan jenama Huawei kelak relevan dan terus berkembang luas.

komen


© Amanz / 2023 Kami