Carian
Ulasan Huawei Mate 50 Pro – Tiada Leica, XMAGE Pun Berguna
October 20, 2022 Effi Saharudin

Untuk mengatakan situasi Huawei sekarang adalah jerih jika dibandingkan dengan lima tahun yang lalu adalah suatu understatetment jika kita menggunakan terma Bahasa Inggeris. Tetapi walaupun sekatan teknologi dikenakan oleh Amerika Syarikat, masih ramai yang setia dengan Huawei kerana kemampuan kamera peranti mereka yang menakjubkan.

Kombinasi berbisa Huawei dan Leica menjadi bualan ramai dan sehingga kini beberapa peranti mereka yang sudah agak berusia masih digunakan kerana pemilik berpuas hati dengan kemampuan kameranya. Tahun ini sekali lagi nasib Huawei berubah kerana kerjasama dengan Leica tidak diteruskan. Sebagai ganti sistem kamera XMAGE diumumkan. Adakah XMAGE masih mampu memberikan prestasi kamera yang membuatkan Huawei Mate 50 Pro peranti yang perlu dimiliki?

Spesifikasi

Huawei Mate 50 Pro
Skrin6.74″ OLED, 1212 x 26160 pixel
120Hz
PemprosesSnapdragon 8+ 4G (4nm)
Cip1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 2.00 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8 Gigabyte LPDDR5
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
NM card 256GB
Kamera Utama50 MP, f/1.4-f/4.0, OIS (Sudut Lebar)
13 MP, f/2.2 (Ultra lebar)
64 MP, f/3.5, OIS (Telefoto)
4K 60p
Kamera Depan13 Megapixel f/2.4,
4K 60p
Bateri4700 mAh
Pengecasan berwayar 66W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari terbina dalam skrin
Harga JualanRM4404* (256GB)
RM5282* (512GB)

*Harga diubah dari Yuan

Skrin

Skrin 6.74″ OLED FHD+ hadir dengan sokongan 120Hz adaptif yang lebih tinggi berbanding hanya 90Hz pada Mate 40 Pro. Sungguhpun begitu skrin Mate 50 Pro adalah sedikit lebih kecil dan mempunyai PPI yang lebih rendah.

Ia juga masih lagi melengkung pada kedua-dua sisi kerana Huawei masih merasakan rekaan ini relevan pada tahun 2022. Di Amanz kami merasakan skrin rata lebih praktikal kerana kandungan video yang ditonton misalnya tidak melimpah ke sisi. Saiz bezel pada keempat-empat sisi adalah nipis.

Terdapat takuk yang besar pada bahagian atas untuk sistem imbasan wajah 3D. Huawei adalah sebahagian kecil pengeluar Android yang masih menawarkan ciri imbasan wajah seakan Face ID pada peranti mereka. Memang takuk ini besar tetapi kelebihannya ialah sistem pengecaman wajah boleh digunakan dalam keadaan gelap sekalipun. Ia juga lebih pantas jika dibandingkan dengan sistem imbasan cap jari bawah skrin yang turut disertakan sekali.

Secara rasminya skrin menyokong HDR Vivid. Tetapi pada platform pestriman lain seperti Netflix misalnya tiada sokongan HDR memandangkan setiap peranti perlu melepasi ujian Netflix yang tidak boleh dilakukan oleh Huawei kerana sekatan teknologi.

Skrin masih lagi mempunyai keterangan yang memuaskan dengan ia boleh dilihat dengan jelas di bawah cahaya matahari yang terang. Warna juga hidup dengan tiada isu color banding. Apabila menatal tiada isu ghosting dan kesemua sentuhan yang dilakukan boleh dikesan dengan tepat.

Rekaan

Sekatan mungkin dikenakan pada Huawei tetapi dari segi rekaan dan kualiti kemasan, mereka masih mengekalkan kualiti yang digunakan selama ini. Bingkai logam yang keras mempunyai sisi yang dibulatkan. Dalam pasaran dipenuhi peranti dengan sisi rata bagi mengikut trend yang dimulakan oleh Apple, Mate 50 Pro masih percaya dengan identiti mereka sendiri.

Binaan adalah teguh dan apabila tekanan dikenakan, ia tidak langsung melentur. Tidak perlu risau Mate 50 Pro secara tidak sengaja terlipat seperti P50 Pocket kerana bingkainya teguh. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Seperti bingkai kedua-dua butang ini diperbuat daripada logam dan ianya tidak terasa longgar.

Terdapat pemancar infra merah di bahagian atas. Ciri yang jarang diberikan pada telefon pintar sejak akhir-akhir ini. Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C, kekisi audio dan talam SIM. Talam ini menyokong dwi-SIM nano dan satu NM Card dengan saiz sehingga 256GB,

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besa berbentuk bulat yang meletakkan tiga kamera – 50MP sudut lebar dengan sistem XMAGE, 13MP ultra sudut lebar dan 64MP telefoto yang menyokong sehingga 100X zum digital. Memang terdapat empat lens di belakang tetapi salah satunya ialah laser yang digunakan pemfokusan.

Bonggol gergasi ini mempunyai kemasan Clous de Paris yang merupakan corak yang biasanya digunakan pada jam tangan mewah. Kerana saiznya yang besar ini, isu biasa peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja berlaku. Kerangka silikon yang disertakan dengan setiap pembelian boleh menyelesaikan isu ini dan pada waktu yang sama mengurangkan risiko panel belakang kotor.

Bateri pula sebesar 4700 mAh yang lebih besar berbanding kapasiti 4400 mAh tahun lalu. Sistem pengecasan yang disokong ialah 66W berwayar, 50W nirwayar dan 7.5W berbalik. Sistem pengecasan ini bukanlah yang terpantas tetapi lebih baik berbanding yang diberikan oleh Samsung dan Apple.

Kesemua komponen ini diletakkan di dalam tubuh yang melepasi piawaian IP68 dengan ia boleh direndamkan ke dalam air sehingga 6 meter. Jika ada perkara negatif yang boleh kami katakan mengenai rekaan ialah tiada bicu audio yang merupakan perkara biasa pada majoriti peranti mercu sejak lima tahun kebelakangan ini.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Peranti yang kami terima menggunakan Harmony OS 3.0 yang merupakan versi terkini sistem operasi kendiri Huawei. Mate 50 dan Mate 50 Pro juga merupakan dua peranti terawal dengan Harmony OS 3.0. Ini ialah ROM yang khusus untuk pasaran China pada waktu ini.

Kedua-dua sistem operasi mempunyai antaramuka dan ciri yang sama cuma Harmony OS mempunyai integrasi yang lebih mendalam untuk pelbagai perkhidmatan-perkhidmatan di China sahaja. Oleh sebab itu EMUI 13 digunakan pada pasaran global apabila ia mula dijual kelak.

Pengalaman penggunaan adalah lancar tanpa sebarang isu. Penggunaan skrin 120Hz membuatkan peranti terasa sangat responsif ketika digunakan dengan tiada isu lengah masa dapat kami lihat. Pendek kata jika anda pernah menggunakan peranti Huawei dan Honor dengan EMUI sebelum ini, pengalamannya masih sama cuma dengan penambahan ciri dan perubahan beberapa elemen antaramuka sahaja.

Antara ciri baharu yang disokong ialah kemampuan melakukan panggilan kecemasan menggunakan satelit Beidu. Apabila tiada rangkaian selular atau WiFi, Mate 50 Pro akan secara automatik bersambung kepada sistem satelit. Tetapi pada waktu ini telahpun disahkan ciri ini hanya boleh digunakan di China sahaja.

SmartFolder pula membolehkan aplikasi dimasukkan ke dalam sebuah folder yang saiznya pada skrin boleh diubah. Secara lazimnya folder hanya menunjukkan 9 ikon aplikasi tetapi di HarmonyOS 3, pengguna boleh mengubah saiz folder mengikut kehendak hati.

Sementara itu ciri SuperStorage pula mengurangkan ruang storan yang diperlukan oleh aplikasi yang terpasang. Sistem dengan pintar membuang fail yang tidak diperlukan sekaligus membolehkan penjimatan ruang sehingga 20GB pada storan 256GB. Bagi pengguna ekosistem Huawei pula, proses berkongsi pelbagai fail antara aplikasi dan peranti dipermudahkan dengan ciri SuperHub.

Kesemua ni dilakukan dengan menggunakan Huawei Media Services yang menjadi alternatif kepada GMS sejak beberapa tahun kebelakangan. Antara perubahan paling besar ialah apabila carian aplikasi dilakukan di Huawei App Gallery, aplikasi yang tidak ditawarkan dalam stor Huawei akan dipaparkan. Pengguna boleh memasang aplikasi terus dari App Gallery tanpa perlu lagi pergi ke Petak Search. Ini dapat dilakukan menerusi integrasi stor pihak ketiga secara terbina.

Penanda Aras

Cip Snapdragon 8+ Gen 1 4G yang digunakan oleh Mate 50 Pro adalah unik kerana ia tidak menyokong rangkaian 5G dan hanya digunakan oleh Huawei. Markah penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah.

Kami meletakkan juga markah penanda aras iPhone 14 Pro Max (A16 Bionic), iPhone 13 Pro Max (A15 Bionic), Honor Magic4 Pro (Snapdragon 8 Gen 1) dan Z Fold4 (Snapdragon 8+ Gen 1). Agak aneh melihat skor yang dicatatkan Snapdragon 8+ Gen 1 4G adalah lebih rendah berbanding Snapdragon 8 Gen 1.

Geekbench 5

  • Huawei Mate 50 Pro – 893/3092
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 1727/4713
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1298/3963
  • Black Shark 5 Pro – 958/3268 

Antutu 3D

  • Huawei Mate 50 Pro – 816,503
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 789,647
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
  • Honor Magic4 Pro – 805,972

Skor yang lebih rendah berbanding Snapdragon 8+ Gen 1 5G adalah sedikit mengejutkan kerana cip dilengkapi teras yang sama. Jadi mungkin kuasa dikurangkan untuk melakukan pengoptimasian penggunaan bateri. Dari segi penggunaan kami tidak merasakan ada perbezaan yang ketara. Tatalan masih lancar, aplikasi dibuka dengan pantas dan permua boleh dimainkan pada tetapan yang tinggi dengan kadar bingkai yang memuaskan. Peranti juga tidak menunjukkan pemanasan melampau selepas sesi permainan video.

Telefoni, GPS, WiFi dan Satelit

Tiada 5G tetapi terdapat sokongan 4G VoLTE dan VoWiFi pada telko-telko yang menyokongnya. Panggilan suara adalah jelas dan terang sekali lagi bergantung kepada syarikat telekomunikasi yang anda gunakan. GPS juga tepat dengan aplikasi pemetaan Petal Maps boleh mengesan lokasi kami di tengah-tengah Kuala Lumpur dalam masa kurang dua saat. Sokongan WiFi 6 diberikan untuk kemampuan muat turun terpantas jika anda mempunyai penghalanya di rumah.

Ada ura-ura mengatakan peranti 5G dengan teknologi sendiri akan digunakan Huawei tahun hadapan. Ia perlu dilakukan segera kerana rangkaian 5G DNB semakin berkembang di Malaysia dan tanpa sokongan 5G sukar untuk Huawei untuk terus menjual peranti mercu mereka di negara kita.

Semasa dilancarkan tempoh hari, Mate 50 Pro menyokong sistem panggilan satelit dalam situasi tiada rangkaian selular atau WiFi. Ciri ini hanya disokong di China sahaja kerana memerlukan sokongan satelit Beidu. Di Malaysia kami difahamkan Huawei tidak mempunyai perancangan untuk menyokongnya di negara kita.

Kamera

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besa berbentuk bulat yang meletakkan tiga kamera 50MP sudut lebar XMAGE dengan apertur boleh diubah f/1.4 hingga f/4.0 serta sokongan OIS, 13MP ultra sudut lebar f/2.0 dan 64MP telefoto f/3.5 yang menyokong zum optikal sehingga 3.5X dan zum digital sehingga 100X Mekanisme periskop digunakan bersama dengan sistem penstabilan OIS. Di hadapan pula kamera 13MP digunakan. Berikut adalah beberapa sampel gambar yang sempat kami ambil untuk melakukan ujian awal sebelum ulasan penuh kami terbitkan dalam masa terdekat.

Gambar yang diambil dalam situasi pencahayaan yang baik kelihatan tajam dengan pemfokusan yang pantas. Lebih-lebih lagi pada lensa sudut lebar yang dilengkapi sistem OIS. Warna pada kesemua gambar adalah lebih suam berbanding situasi sebenar. Apabila terdapat sumber cahaya, tiada isu blooming dapat dilihat dengan sistem HDR mampu mengelakkan isu silau dalam pelbagai situasi gambar diambil.

Mod makro berfungsi dengan cemerlang dengan duri pada pokok kaktus dan bulu roma pada daun dapat dilihat dengan jelas. Kamera cukup bijak mengesan objek terletak hampir dengan lensa dan segera menyarankan mod makro diaktifkan. Ciri apertur boleh ubah XMAGE juga menghasilkan kesan boleh yang boleh diubah mengikut kehendak jurugambar. Pengesanan objek latar belakang dan objek di hadapan juga amat baik. Seperti pada peranti mercu Huawei sebelum ini, saiz apertur kamera yang mengubah tahap kekuatan bokeh boleh diubah selepas gambar diambil menerusi aplikasi Gallery.

Zum adalah baik sehingga sekitar 10X dengan gambar diambil masih kelihatan tajam. Mate 50 Pro boleh menyokong zum digital sehingga 100X tetapi pada hemat kami pada tahap ini gambar yang diambil menunjukkan kesan hingar yang ketara sama seperti yang dilihat pada S22 Ultra dan Magic4 Pro. Setakat ini masih tiada telefon pintar dengan ciri zum 100X yang kami boleh katakan bukan ciri gimik. Dalam kes Mate 50 Pro, kami hanya boleh sarankan penggunaan zum sehingga 30X sahaja kerana melangkaui had ini viewfinder mula terhoyong hayang.

Audio

Terdapat sepasang speaker stereo dengan satu di bahagian bawah dan satu lagi di gagang telinga. Audio tidak begitu seimbang kerana speaker bawah adalah lebih lantang. Tiada sokongan Dolby Atmos sebaliknya ia digantikan dengan sistem Histen yang beroperasi apabila aksesori audio dipasang.

Dengan codec LDAC sekalipun, prestasi audio Mate 50 Pro sekadar sederhana sahaja pada aksesori bluetooth yang kami gunakan. Tidak berakhir di situ audio terasa sedikit rata dengan bass yang kuat tetapi treble kurang menyerlah. Dari segi audio, pengalamannya pada Mate 50 Pro tidak setanding dengan statusnya sebagai sebuah peranti mercu.

Bateri

Dengan bateri 4700 mAh ianya agak kecil jika dibandingkan dengan yang digunakan pada S22 Ultra (5000 mAh) tetapi lebih besar berbanding P50 Pro (4360 mAh). Dalam penggunaan sederhana bateri boleh mencecah SOT 10 jam dan boleh bertahan sehingga 24 jam dengan sekali caj. Ini adalah hayat bateri yang baik bagi sebuah peranti Android/EMUI tetapi masih di belakang iPhone 14 Pro Max yang boleh bertahan lebih lama walaupun bateri hanya sebesar 4323 mAh.

Apabila bateri turun ke tahap 1%, mod penjimatan bateri akan diaktifkan secara automatik. Peranti kemudiannya masih bolehmelakukan panggilan telefon selama 12 minit atau bertahan selama 3 jam.

Pengecasan semula mengambil masa sekitar 55 minit sahaja menggunakan pengecas 66W secara berwayar. Pengecas diberikan dengan setiap pembelian bersama dengan kabel USB-A ke USB-C. Bagi yang gemar menggunakan pengecas nirwayar, sistem pengecasan 50W turut disertakan bersama dengan pengecasan nirwayar berbalik 5W.

Pesaing

Pesaing Huawei Mate 5 Pro ialah iPhone 14 Pro Max dan Honor Magic4 Pro.

Huawei Mate 50 ProApple iPhone 14 Pro MaxHonor Magic4 Pro
6.7″ Super Retina XDR OLED, 120Hz, (427 PPPI), Dolby Vision6.7″ Super Retina XDR OLED, 120Hz, (460 PPI), Dolby Vision6.81″ LTPO OLED, 120Hz, (460 PPI), HDR10+
Snapdragon 8+ Gen 1 4G (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 2.0 GHz Cortex A510
Apple A16 Bionic (4nm)
2 X 3.46 GHz Everest
4 X 2.02 GHz Sawtooth
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 730Apple GPU 5 TerasAdreno 730
8 GB LPDRR56 GB LPDRR58 GB LPDDR5
256/512 GB UFS 3.1
256/512/1000 GB NVMe

256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50 MP, f/1.4-f/4.0, OIS (Sudut Lebar)
13 MP, f/2.2 (Ultra lebar)
64 MP, f/3.5, OIS (Telefoto)
Kamera Utama
48MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP, f/2.8, OIS (Telefoto) 3X Zum Optikal
12MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (Sudut Lebar)
50MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
64MP, f/2.5, OIS (Telefoto 100X)
3D ToF
Kamera Hadapan
13-MP f/2.4
3D ToF
Kamera Hadapan
12-MP f/1.9
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.4
3D ToF
IP68IP68IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4700 mAh (Berwayar 66W)4323 mAh (Berwayar 20W)4600 mAh (Berwayar 100W)
Harga bermula RM 4404*Harga bermula RM5799Harga RM 3999

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Huawei Mate 50 Pro.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
  • 1x Pengecas 66W
  • 1x Manual.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Walaupun berdepan pelbagai halangan akibat sekatan teknologi dan tiada lagi kerjasama dengan gergasi fotografi Leica, Huawei Mate 50 Pro masih lagi sebuah peranti yang menarik. Ia beroperasi dengan lancar, boleh menjalankan permua pada tetapan grafik yang tinggi, ciri tambahan yang memudahkan pengguna dan XMAGE mengekalkan pedigri kemampuan fotografi Huawei yang cukup dikenali ramai.

Ia sebuah peranti yang baik di dalam pasaran yang kini mempunyai lambakan peranti yang juga baik. Ini meletakkan Mate 50 Pro di posisi yang agak sukar kerana dalam kategori peranti mercu premium, pengguna mencari kesempurnaan yang tidak mampu ditawarkan oleh Huawei di Malaysia.

Skrin memang cantik dengan HDR tetapi ia tidak disokong pada aplikasi popular seperti Netflix. Seleksi aplikasi semakin baik pada App Gallery dengan integrasi Petal Search secara terus untuk memuat turun tetapi ia memerlukan dua langkah tambahan berbanding Google Play Store. Terdapat cara untuk menggunakan aplikasi Google tetapi seperti App Gallery ia memerlukan langkah tambahan.

Mate 50 Pro ialah peranti yang sekadar baik dalam kategori yang memerlukan peranti sempurna. Pada peranti mercu premium, pengalaman yang paling menyenangkan pengguna nilainya adalah seperti emas. Oleh sebab ini, Mate 50 Pro berkemungkinan besar hanya akan menarik perhatian peminat tegar Huawei yang masih enggan berubah ke ekosistem lain. Honor Magic4 Pro mempunyai rekaan yang hampir sama, sistem operasi dengan ciri/wajah serupa, kemampuan kamera yang setanding, mempunyai GMS dan dijual pada harga hanya RM3999.

Selama tiga tahun Huawei enggan mengalah walaupun berhadapan pelbagai sekatan teknologi. Ketabahan mereka ini boleh dikagumi tetapi ia seperti nasib Sisyphus dalam tragedi Yunani. Ironi dalam situasi ini ialah apabila Huawei hampir tiba ke puncak bukit, Honor yang menolak mereka kembali ke bawah.

Pro

  • Skrin 120Hz yang pantas dan lancar.
  • Sistem imbasan wajah 3D yang pantas.
  • App Gallery menawarkan integrasi Petal Search untuk muat turun aplikasi lebih mudah.
  • XMAGE setanding dengan sistem Leica.
  • Sistem pengecasan yang pantas.
  • Kalis air IP68.

Kontra

  • Skrin melengkung sehingga melimpah keluar ke sisi.
  • Tiada sokongan HDR dan resolusi HD Penuh pada Netflix.
  • Prestasi audio kurang memuaskan.
  • Tiada 5G.
Komen