Peti Sejuk Pintar Samsung Kini Hadir Dengan TV 32-Inci Terbina

Diterbitkan pada Dis 30, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Satu peralatan elektronik yang kami masih belum mahu naik taraf ke versi pintar ialah peti sejuk kerana tiada keperluan. Tetapi jika ada rezeki kelak, kami tergerak untuk mencuba Samsung Family Hub Plus baharu yang kini hadir dengan sebuah televisyen pintar 32″ terbina pada bahagian pintu.

Ini adalah model kemas kini kepada Family Hub asal yang dilengkapi TV sebesar 21″ sahaja. Terdapat integrasi Tizen yang membolehkan ia beroperasi seperti televisyen pintar Samsung yang lain. Menerusi perkhidmatan Samsung Atelier, pelbagai karya seni yang cantik boleh dipaparkan pada skrin apabila ia tidak digunakan.

Di beberapa pasaran terpilih, perkhidmatan Samsung TV Plus turut disertakan supaya rancangan TV boleh ditonton terus pada peti sejuk. Sementara itu di Amerika Syarikat perkhidmatan Amazon Your Essentials boleh melakukan pesanan makanan yang diperlukan terus dari skrin yang sama.

Menerusi integrasi SmartThings pula, ia boleh menjadi hub untuk mengawal peranti dengan internet benda di rumah seperti kamera litar tertutup, mesin basuh, mesin gelombang mikro dan sebarang peranti di bawah ekosistem Matter yang kini disokong sepenuhnya. Samsung Family Hub Plus akan diperlihatkan secara rasmi di acara CES 2023 yang berlangsung di Las Vegas bulan hadapan.

komen


© Amanz / 2023 Kami