Siri Yoga Book dilancarkan tujuh tahun lalu dengan satu skrin LCD sesentuh dan satu pad sesentuh gergasi untuk menaip. Ini adalah visi Lenovo untuk menghasilkan komputer riba moden tanpa papan kekunci fizikal khusus untuk Gen Z yang lebih selesa menggunakan papan kekunci sesentuh.
Tahun ini interasi terkini peranti ini iaitu Lenovo Yoga Book 9i dilancarkan di CES dengan ia kini dilengkapi dwi-skin OLED. Rekaan masih lagi sama apabila dalam kedudukan tertutup. Apabila dibuka ia boleh digunakan seperti komputer riba biasa – satu skrin memaparkan kandungan dan satu lagi skrin menjadi papan kekunci.
Model tahun ini lebih fleksibel dengan ia turut boleh digunakan sebagai komputer riba gergasi atau komputer riba dwi-skrin dalam kedudukan menegak. Dalam kedudukan terbuka sepenuhnya skrin adalah sebesar 13.3” 2.8K yang menyokong paparan Dolby Vision. Ia dijana cip Intel Core i7-U15, memori 16GB LPDDR5X, storan 1TB PCle SSD Gen4 dan bateri 80Wh.
Skrin boleh dilipat sehingga 360 darjah untuk digunakan dalam mod tablet sepenuhnya. Komputer riba unik ini akan menggunakan sistem operasi WIndows 11. Lenovo Yoga Book 9i akan dilancarkan Jun hadapan pada harga bermula $2100 (~RM9234).