Carian
TV
Ulasan – Mecool KM7 PLUS Ialah Alternatif Chromecast With Google TV Yang Dinantikan
January 13, 2023 Effi Saharudin

Kepopularan aplikasi penstriman membuatkan ramai mula berpindah daripada menggunakan televisyen “dungu” biasa kepada televisyen pintar. Berdasarkan pengalaman peribadi, ini menyebabkan televisyen tidak pintar tersadai di rumah seakan tiada nilai sedangkan ia masih lagi beroperasi dengan baik. Jika ini berlaku kepada anda, kami sarankan pembelian dongel atau kotak TV Android TV akan memintarkan televisyen-televisyen lama ini pada kos yang rendah.

Terdapat puluhan kotak TV dan dongel Android TV di pasaran Malaysia sekarang. Yang paling kami sarankan ialah Chromecast with Google TV kerana ia dikeluarkan sendiri oleh Google dengan pengalaman yang terbaik setakat ini. Tetapi ia masih belum cukup sempurna kerana tiada sokongan LAN, sokongan memainkan media menerusi pemacu USB dan harganya yang agak mahal.

Mecool KM7 Plus yang baru tiba ke makmal Amanz ialah kotak TV yang kami rasakan bukan sahaja baik tetapi menawarkan pelbagai ciri tambahan yang anda mungkin inginkan. Tambah menarik ia menggunakan antaramuka terbaru Google TV yang masih belum ditawarkan pada kebanyakan Android TV di pasaran Malaysia.

Spesifikasi

Mecool KM7 Plus
Resolusi4K (60Hz)
SpesifikasiAmlogic S905Y4, 4X Cortex-A35
2GB RAM
16GB ROM eMMC
Sistem OperasiAndroid TV 11 dengan Google TV
HDRHDR10
HDR10+
HLG
AudioDolby Atmos
I/O1xHDMI
2xUSB-A 2.0
1x Bicu audio 3.5mm
1x RJ45 LAN
1x pembaca kad memori
1x Optikal
Pembantu MayaGoogle Assistant
InternetWiFi 2.4/5GHz
BluetoothBT 5.0
ChromecastYa
AirPlay 2Tiada
Saiz98 x 98x 20.7mm
Berat360 gram
Harga JualanRM 299

Rekaan

Rekaan KM7 ialah sebuah kotak dengan bucu yang tajam yang sangat ant Apple yang gemarkan rekaan semua bucu dibulatkan. Bahan plastik keras digunakan dalam warna hitam dan putih. Adakah penting untuk kotak TV Android kelihatan menarik? Jika anda bertanya kami jawapannya tidak kerana ia adalah kotak kecil yang akan tersorok di bawah TV. Bagi yang mencintai estetik, belilah sahaja Apple TV 4K yang memang diakui lebih cantik dengan harga yang beberapa kali ganda lebih tinggi.

Terdapat lampu indikator kuasa, rangkaian internet dan penerima pancaran IR di bahagian hadapan. Di sisi kiri pula diletakkan 2x USB-A dan 1x pembaca kad memori. Kemudian di belakangnya pula terdapat 1x HDMI, 1x RJ45 LAN, 1x palam kuasa, 1x bicu audio 3.5mm dan 1x output optikal. Dari segi pilihan I/O, KM7 adalah lebih mewah jika dibandingkan Chromecast with Google TV, Apple TV 4K dan Mi Box S.

Tidak ada ruang disia-siakan pada Mecool KM7 kerana pelbagai jenis aksesori bolah dipasang untuk kesenangan pengguna. Kami hanya terkilan sambungan palam kuasa adalah dari jenis DC Connector yang tidak sarwajagat. Adalah baik jika model kemas kini ditawarkan di masa hadapan penggunaan port USB-C boleh diberikan supaya jika palam kuasa rosak mudah menggantikannya dengan kabel kuasa USB-C seperti pada Chromecast with Google TV.

Sebenarnya KM7 ialah sama dengan dongel Mecool KD3 yang kami ulas tahun lalu. Masih lagi pemproses Amlogic S905Y4 (4X Cortex-A35), memori sekadar 2GB RAM dan storan dalaman sahaja kini 16GB RAM eMMC bukan lagi 8GB. Dari segi prestasi ini ialah pemproses yang mempunyai prestasi lebih rendah berbanding Chromecast with Google TV (Amlogic S905X3 4x Cortex-A55) atau Apple TV 4k (A15 Bionic).

Alat kawalan jauh KD3 digunakan semula. Kualiti butang getah masih tidak begitu memuaskan kerana terlalu keras. Tetapi alat kawalan jauh ini hadir dengan pelbagai butang yang tidak ada pada dongel rasmi Google. Butang navigasi berbentuk bulat dipadankan dengan butang khas untuk menukar profil pengguna dan tetapan Google TV. Amat mudah menukar profil bagi mereka yang berkongsi TV dengan orang lain di rumah.

Terdapat juga empat pintas pantas untuk YouTube, Prime Video, Netflix dan Disney+. Lebih mewah berbanding hanya dua (YouTube dan Netflix) pada Chromecast With Google TV. Kekurangan hanyalah butang Disney+ tidak boleh digunakan kerana tidak diprogramkan untuk membuka Disney+ Hotstar. Tiada cara untuk mengubah butang ini secara natif yang menjadikan butang ini sia-sia.

Alat kawalan jauh ini memerlukan dua bateri AAA untuk berfungsi. Kami lebih sukakan jika bateri sel alkali tukar ganti digunakan kerana tiada isu bateri yang boleh dicas akan rosak selepas beberapa kitaran pengecasan.

Android TV 11

Sistem operasi Android TV 11 dengan pelancar Google TV digunakan yang adalah sama dengan Chromecast with Google TV dan sesetengah model televisyen pintar Android TV di pasaran sekarang. Antaramuka ini mudah difahami kerana sama seperti dengan Android TV biasa cuma dengan beberapa penambahan seperti saranan kandungan yang lebih baik bergantung kepada aplikasi penstriman yang dipasang.

Memuat turun aplikasi adalah amat mudah kerana Play Store menawarkan pelbagai aplikasi yang lazim. Setakat ini kami tidak jumpa lagi aplikasi yang tidak boleh dimuat turun. Pendek kata ekosistem Android TV cukup matang pada waktu ini khususnya bagi pengguna di Malaysia.

Jika tiada di Play Store sekalipun, pengguna boleh melakukan pemasangan aplikasi secara sideloading jika perlu dibantu oleh port USB-A yang diletakkan di sisi kanan KM7. Kami tidak menyarankan anda melakukan ini atas sebab keselamatan tetapi akur ada di kalangan pengguna yang ingin menggunakan aplikasi “haram” untuk tujuan tertentu.

Penggunaan Dan Kualiti Visual

Proses memasang adalah semudah memasang kabel HDMI yang disertakan ke belakang KM7 dan TV. Kemudian sambungkan pula palam kuasa kepada port di belakang KM7. Pada TV dengan CEC yang kami yakin digunakan ramai, secara automatik akan dikesan sebagai sebuah kotak media.

Cara mengaktifkan dongel untuk kali pertama pula adalah amat mudah dibantu dengan sokongan WiFi 5GHz. Kali pertama ia dipasang pengguna hanya perlu menggunakan akaun Google untuk mendaftarkan produk. Akaun Google memang keperluan untuk produk Android TV. Cuma kami tidak tahu mengapa Android TV tidak ada ciri untuk mengembalikan tetapan dari awanan seperti pada telefon Android. Sedikit leceh aplikasi perlu dimuat turun satu persatu secara manual.

Bagi menguji kemampuan KM7 kami memasang YouTube, Netflix, Disney+ Hotstar, Prime Video, Curiosity Stream, Tubi, HBO GO dan Apple TV+. Selepas log masuk, muka depan Google TV akan memaparkan saranan kandungan dari kesemua perkhidmatan yang dipasang. Ini sepatutnya memudahkan pencarian kandungan yang ingin ditonton ketika bosan tetapi kerana RAM sekadar 2GB, ia menyebabkan tatalan menjadi tersekat-sekat. Operasi tersekat-sekat hanya hilang selepas memasuki aplikasi tertentu.

Pemproses Amlogic S905Y4 dengan empat teras Cortex-A35 dan memori sekadar 2GB RAM jelas tidak mampu memberikan pengalaman penggunaan yang lancar. Terasa seperti menggunakan sebuah telefon pintar kelas permulaan. Tetapi kami harus adil kerana ini ialah isu yang berlaku pada kesemua TV dan dongel Android TV yang pernah diulas termasuk Chromecast with Google TV.

Pada KD3 kami ada merungut prestasi WiFi yang tidak memuaskan. Ini satu kelebihan KM7 kerana isu ini tidak berulang. Mungkin kerana kotak KM7 diletakkan di bawah TV dan tidak tersorok di belakang TV yang menghalang sambungan baik kepada rangkaian internet nirwayar. Jika ini berlaku sekalipun terdapat port LAN RJ45 yang membolehkan kami menyambungnya terus ke modem Time Internet di rumah dengan kelajuan 500 Mbps yang amat pantas.

Satu lagi yang memuaskan ialah sokongan memainkan media terus dari pemacu USB atau storan luaran yang lain. Pelbagai format video termasuk MP4, H.265 HEVC dan Real Media disokong. Bagi mereka yang masih mempunyai banyak koleksi filem yang dikumpul sejak bertahun lamanya KM7 boleh memainkannya tanpa isu. Secara peribadi kami memasang aplikasi VLC kerana ia yang paling baik untuk Android TV setakat ini.

Sokongan HDR pula hanya HDR10, HDR10+ dan HLG. Sedikit kecewa tiada sokongan Dolby Vision kerana ini adalah format HDR yang paling cantik pada hemat kami. Kandungan HDR10+ dari Netflix dan Apple TV boleh dipaparkan dengan lancar. Video 4K HDR 60FPS dari YouTube juga boleh dimainkan pada kelancaran yang sama.

Kualiti Audio

Terdapat sokongan untuk Dolby Atmos pada spesifikasi dan tiada isu untuk menikmati output ini pada televisyen pintar yang menyokongnya. Kualiti audio amat bergantung kepada speaker yang digunakan.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Kotak Mecool KM7.
  • 1x Alat kawalan jauh.
  • 1x Kabel HMDI.
  • 1x Palam kuasa DC Connector.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Mecool KM7 ialah alternatif untuk Chromecast with Google TV dan Mi Box 4K yang kami nantikan selama ini. Kelebihannya terletak pada jumlah I/O yang sangatlah mewah pernah kami lihat. Bagi mereka yang mempunyai monitor atau TV tidak pintar lama, KM7 ialah kotak yang akan mengubahnya menjadi TV pintar pada kos yang rendah.

Prestasi memainkan pelbagai jenis media pada tetapan 4K HDR 60p adalah amat memuaskan termasuk dengan sokongan Dolby Atmos. Android TV pula adalah ekosistem yang mempunyai banyak aplikasi yang diperlukan serta amat mudah digunakan.

Kekurangan hanyalah jika aplikasi banyak dipasang prestasi kelancaran akan menjunam, tiada Dolby Vision dan alat kawalan jauh agak keras. Itu sahaja. Pada harga jualan sekitar RM299, Mecool KM7 ialah kotak TV yang kami boleh sarankan kepada pembaca semua.

Pro

  • Mudah dipasang pada belakang TV.
  • Pilihan I/O yang amat baik.
  • Menggunakan sistem operasi Google TV berasaskan Android 11 terkini.
  • Pilihan aplikasi yang cukup mewah.
  • Storan 16GB yang besar berbanding dongel dan kotak TV lain.

Kontra

  • Pemproses kurang berkuasa membuatkan terdapat sedikit sela masa.
  • Butang alat kawalan jauh sedikit keras.
  • Tiada Dolby Vision.

Komen