OnePlus 7 Pro dan OnePlus 7T adalah antara peranti OnePlus kegemaran saya. Saya menggunakan kedua-dua peranti ini dalam tempoh yang panjang. 7 Pro hadir dengan kamera pop-naik yang menarik, skrin AMOLED 90Hz yang cantik, serta ketahanan bateri yang memuaskan. Sementara OnePlus 7T menawarkan spesifikasi menarik dan pengalaman penggunaan dalam satu pakej yang terbaik.

Ketika ini juga, OnePlus masih kerap bekerjasama dengan jenama luar seperti McLaren untuk OnePlus 7T Pro. Siri OnePlus 7 dan OnePlus 7T yang dilancarkan pada tahun 2019 ini sudah pun mencapai usia 3 tahun dan seperti yang OnePlus janjikan, kesemua peranti ini hanya akan disokong untuk tiga tahun.

Kini janji OnePlus sudah pun ditepati, OnePlus 7/7 Pro dan OnePlusn7T/7T Pro telah menerima kemaskini terakhir iaitu Oxygen OS 12 MP3 berasaskan Android 12. Ia turut hadir dengan tampalan sekuriti Disember 2022, sokongan sambungan data mudah alih yang lebih stabil serta mempunyai sistem dan prestasi yang lebih stabil.

Kemaskini sudah pun diedarkan, tetapi jika pengguna masih tidak menerimanya fail-fail imej untuk kemaskini manual turut disediakan di forum rasmi mereka. Pada saya agak mengecewakan kerana ia tidak menerima sokongan Android 13, tetapi pengguna tegar OnePlus masih boleh mengemaskini melalui custom ROM Android 13 yang ada di laman XDA.