Twitter Kini Memaparkan Susur Masa For You Berasakan Algoritma Secara Lalai

Diterbitkan pada Jan 11, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Aplikasi Twitter sebelum ini pernah memaparkan ciapan susur masa tanpa mengikut kronologi secara lalai. Kemudian butang khas diperkenalkan untuk mengubah sama ada mengikut algoritma atau secara kronologi dan tahun lepas sekali lagi mereka cuba menjadi TikTok untuk paparkan ciapan yang mereka rasakan adalah minat pengguna.

Namun selepas dikecam, beberapa hari kemudian mereka kembalikan paparan susur masa mengikut kronologi. Terkini, tab Home dan Latest telah dibuang dan digantikan dengan For You serta Following. Butang khas sebelum ini untuk tukar antara dua juga telah dibuang kerana paparan lalai adalah For You (Untuk Anda) yang seakan TikTok, di mana ciapan tidak mengikut kronologi dan adalah apa yang Twitter sangkakan minat pengguna.

Sementara tab Following adalah susur masa yang mengikut kronologi dan pengguna perlu tatal ke sebelah untuk lihat susur masa kegemaran ini. Buat masa ini, perubahan ini hanya terkesan kepada pengguna iOS dan masih belum diedarkan kepada pengguna Android.

Twitter nampaknya bersungguh-sungguh ingin menjadi TikTok, kerana sebelum ini turut telah memperkenalkan ciri paparan video skrin penuh dengan tatalan ke atas/bawah tanpa henti.

komen


© Amanz / 2023 Kami