Poco X5 Pro 5G Tertiris Menunjukkan Sokongan Snapdragon 778G Dan Kamera 108MP

Diterbitkan pada Jan 13, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bayangan kewujudan siri Poco X5 telah menjadi suatu topik yang hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu. Ketua Poco India, Himanshu Tandon juga seakan membenarkan hal ini menerusi salah satu ciapan yang pernah dimuat-naik sebelum ini. Sungguhpun tiada tarikh pelancaran rasmi yang diketahui, kini tular beberapa gambar yang memperlihatkan rekaan serta spesifikasi untuk salah satu model.

Peranti yang dimaksudkan adalah Poco X5 Pro 5G, yang mana susunan kamera utamanya dilihat sangat mirip dengan peranti iPhone. Melaluinya, ia memuatkan sistem tri-kamera dengan sensor utama sebesar 108MP yang boleh dilihat secara jelas menerusi penjenamaan disertakan. Melengkapinya sokongan LED Flash bersama satu lagi penjenamaan Poco yang besar seumpama yang terdapat pada Poco M3 sebelum ini.

Panel hadapan peranti pula sejenis AMOLED dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Cip Snapdragon 778G pula digunakan sebagai tunjang utama, seterusnya kapasiti bateri pula 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W.

Terdapat kebarangkalian ia hanyalah sebuah Redmi Note 12 Pro Speed Edition yang dijenamakan semula untuk pasaran di luar China. Bagi melihat sejauh mana kebenarannya, sama-sama kita nantikan.

komen


© Amanz / 2023 Kami