Carian
Pandang Pertama Vivo X90 – Fokus Fotografi Memang Menjadi
January 18, 2023 Effi Saharudin

Saya tak boleh ingat bila kali terakhir mengulas peranti Vivo. Mungkin ketika zaman Amanz media hanya mempunyai tiga orang kakitangan dan tugasan mengulas dilakukan oleh saya seorang. Sejak kebelakangan ini saya cuba kembali ke fitrah asal dan mengulas peranti dari jenama yang tidak berapa besar seperti Realme, dan Wiko. Yang saya sedari ialah jenama yang dahulunya dianggap seperti kelas ketiga dengan prestasi kelas kelima sudah banyak berubah.

Vivo sesuai dengan namanya kini mempunyai hidup baharu sebagai pengeluar peranti dengan prestasi yang baik dan kemampuan fotografi yang tidak mengecewakan. Tahun lalu Vivo X80 Pro kami nobatkan sebagai peranti mercu ketiga terbaik Amanz di belakang Samsung Galaxy Z Fold4 dan Apple iPhone 14 Pro Max.

Maka pelancaran X90 di peringkat global memang saya nantikan kerana terbukti Vivo mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan pengeluar lain. Ini ialah pandang pertama saya untuk Vivo X90 yang sempat digunakan selama seminggu.

Spesifikasi

Vivo X90
Skrin6.78″ AMOLED
1260 x 2800 pixel
HDR10+
PemprosesMediatek Dimensity 9200 (4nm)
Cip1 X 3.05 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikArm Immortalis-G715
RAM8/12 Gigabyte
Muatan Dalaman128 GB UFS 3.1
256/512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
12 MP, f/2.0 (Telefoto) 2x Zum Optical
4K 60p
Kamera Depan32 Megapixel f/2.5
4K 30p
Bateri4810 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP65
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Harga JualanBermula RM2374*

*Dari Yuan China

Skrin

Skrin 6.78″ AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Skrin ini adalah agak besar yang menjadikannya sedap sebagai pemain media tetapi sedikit terganggu kerana terdapat dua lengkung pada sisi skrin. Vivo masih menawarkan peranti dengan rekaan ini kerana ia membuatkan ia nampak premium cuma saya secara peribadi kini lebih menggemari rekaan skrin rata yang lebih praktikal. Kandungan HDR yang disokong ialah HDR10 dan HDR10+.

Kami berjaya menonton kandungan HDR dari YouTube dan Netflix tanpa isu setakat ini. Kerana ini ialah panel AMOLED berkadar segar semula tinggi, kesemua kandungan nampak jelas walaupun di bawah mentari terik dan paparan warna yang hidup.

Bezel pada keempat-empat sudut juga nipis serasi dengan status X90 sebagai sebuah peranti mercu. Masih terdapat sebuah lubang kamera di hadapan bersaiz agak kecil. Kerana saiz skrin yang agak besar, saya sedikit sukar untuk mengakses keseluruhan bahagian skrin lebih-lebih lagi jika menggunakan sistem navigasi 3 butang.

Sebuah pengimbas cap jari optikal turut diletakkan di bawah skrin. Kedudukannya terlalu ke bawah membuatkan sekali lagi sedikit sukar untuk mengimbas ibu jari apabila X90 dipegang sebelah tangan. Ini adalah agak mengecewakan kerana saya sudah terbiasa dengan lokasi sensor yang lebih tinggi pada peranti Samsung, Oppo, Realme dan OnePlus yang diulas sebelum ini.

Rekaan

Rekaan asas X90 masih sama dengan X80 dimana sistem tri-kamera utama diletakkan di dalam bonggol besar berbentuk bulat. Yang tiada tahun ini ialah bonggol empat segi sekunder berwarna hitam. Bonggol bulat kamera diletakkan terus kepada panel belakang peranti yang diperbuat daripada logam.

Kemasan logam ini tidak berkilat dan tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Terdapat logo Zeiss yang ketara di bahagian belakang dan satu jalur logam dengan slogan Xtreme Imagination. Bagi yang kurang arif dengan siri Vivo X, ia mementingkan kemampuan fotografi berbanding model lain yang ditawarkan oleh mereka.

Bonggol kamera tadi agak besar membuatkan peranti tidak stabil apabila diletakkan di atas permukaan meja. Sebuah kerangka silikon diberikan dengan setiap pembelian X90 di Malaysia yang menyelesaikan isu ini. Apabila kerangka dipasang, sisi skrin yang agak terdedah yang saya katakan beberapa perenggan di atas juga terlindung dari hentakan jika peranti terjatuh.

Pada sisi kanan diletakkan butang laras audio jenis memanjang dan butang kuasa yang agak kecil saiznya. Kedua-duanya diperbuat daripada bahan logam yang bukan sahaja selesa ditekan tetapi juga teguh membuatkan peranti terasa premium.

Pemancar infra merah untuk alat kawalan jauh diletakkan di atas sementara bicu pengecas USB-C di bawah dihimpit kekisi audio dan talam SIM. Dwi SIM nano 5G boleh digunakan serentak pada Vivo X90. Pada waktu ini tiada sokongan eSIM diberikan. Juga tiada ialah sokongan penambahan storan menggunakan kad mikro SD.

Tiada bicu audio 3.5mm diberikan tetapi speaker stereo pada peranti ini tidak hadir dengan sistem audio Dolby Atmos yang secara lazimnya diberikan secara lalai pada peranti Android.

Kerangka logam mengelilingi tubuh X90 yang menjadikan binaannya kukuh. Peranti tidak mudah melengkung walaupun daya yang kuat dikenakan. Secara keseluruhan X90 mempunyai binaan yang kukuh, terasa premium dan selesa di dalam tangan. Malah ia turut melepasi piawaian IP64. Ini bukan piawaian yang tertinggi IP68 tetapi adalah lebih baik daripada tiada langsung.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Sistem operasi Funtouch OS 13 yang berasaskan Android 13 digunakan dengan ia mirip dengan pelancar Android asli. Ini pastinya sudah dijangka kerana Google mengetatkan jumlah kustomasi antaramuka yang boleh digunakan pengeluar jika mereka ingin terus menggunakan GMS. Berita bagi pengguna Android yang sudah biasa dengan antaramuka standard. Dengan Android 13 hadirlah kustomasi memadankan warna elemen antaramuka dengan latar belakang secara automatik dan juga pilihan widget yang lebih pelbagai.

Seperti yang telah saya terbitkan dalam beberapa ulasan sebelum ini, Android 13 tidak membawakan perubahan antaramuka yang mendadak. Jika sebelum ini anda menggunakan Android 13, antaramuka Funtouch OS 13 tidak akan memberikan sebarang kejutan sehingga mengelirukan.

Vivo masih menawarkan beberapa aplikasi tambahan seperti gedung V-Appstore yang membolehkan aplikasi dimuat turun luar daripada Play Store. Berguna sekali jika anda ingin menggunakan Antutu 3D yang telah diharamkan. Aplikasi iManager pula merupakan pusat setempat untuk melihat tahap kesihatan sistem peranti. Proses mengoptimasikan RAM dan membersihkan storan boleh dilakukan terus dari dalam aplikasi ini.

Tidak semuanya bagus kerana Vivo menyertakan beberapa aplikasi Booking.com, Agoda, Viu dan Shopee secara terpasang. Kami kurang gemar dengan kewujudan aplikasi gendut. Storan 256GB pada peranti ini nampak seakan besar tetapi dengan saiz aplikasi semakin besar, adalah lebih baik jika tiada aplikasi gendut langsung. Naib baik aplikasi boleh dinyahpasang oleh pengguna.

Terdapat ciri menambah RAM sehingga 8GB secara maya sekiranya perlu. Pada peranti diulas, jumlah RAM yang boleh digunakan adalah sehingga 20GB sekiranya perlu. Harus saya akui tidak menggunakan sangat ciri ini kerana 12GB ialah saiz RAM yang mencukupi untuk 99% situasi.

Pengalaman penggunaan Vivo X90 dengan Funtouch OS 13 adalah amat lancar. Tiada isu tersekat-sekat atau aplikasi tidak boleh dijalankan. Dengan skrin 120Hz kesemuanya terasa lancar seperti mentega di atas meja abang burger tepi jalan. Ini adalah sekadar penggunaan untuk tempoh pendek X90 setakat ini. Dalam ulasan penuh kelak saya akan cuba nyatakan jika wujud situasi peranti gagal beroperasi dengan baik.

Isu yang kami sedari setakat ini hanyalah tidak boleh memuat turun aplikasi Netflix daripada Play Store kerana sokongan rasmi untuk cip MediaTek Dimensity 9200 belum diberikan. Aplikasi perlu dipasang secara sideload tetapi boleh berfungsi tanpa isu termasuk menonton pada resolusi HD dan HDR. Isu pemanasan juga tiada selepas sesi permainan video yang sederhana panjang. Reputasi cip Dimensity yang sejuk berterusan pada X90.

Penanda Aras

Berikut ialah beberapa skor yang dicatatkan oleh Vivo X90 dengan Dimensity 9200 apabila ujian penanda aras popular dilakukan. Cip ini berada di dalam kelas yang sama dengan Snapdragon 8 Gen 2. Ini ialah perbandingan markah penanda aras X90 dibandingkan dengan iQOO 11 5G (Snapdragon 8 Gen 2) dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic).

Geekbench 5

  • Vivo X90 – 1372/4192
  • iQOO 11 5G – 1457/4702
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469

Antutu 3D

  • Vivo X90 – 1,147,029
  • iQOO 11 5G – 1,248,937
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

3D Mark Wildlife Extreme

  • Vivo X90 – 3176
  • iQOO 11 5G – 3763
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Kamera

Kamera utama 50MP Sony IMX866 sudut lebar OIS, 12MP ultra sudut lebar dan 12MP telefoto yang menyokong zum optikal 2x diletakkan di belakang . Kamera hadapan pula adalah sebesar 32MP. Lensa Zeiss digunakan pada kamera utama dan juga hadapan. Turut disertakan ialah cip ISP Vivo V2 untuk memproses setiap gambar yang diambil.

Aplikasi kamera mudah difahami dengan terdapat pelbagai ciri tambahan yang menarik seperti mod khusus untuk seni bina serta landskap, Astro, Long Exposure, Double Exposure dan Supermoon. Mod warna khusus oleh Zeiss juga boleh diakses. Berikut ialah beberapa sampel gambar yang sempat diambil setakat ini.

Apa Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima.

  • 1x Vivo X90
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas tiga pin 120W.
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Masih terlalu awal untuk memberikan keputusan muktamad sama ada X90 boleh menandingi kemampuan X80 Pro tahun lalu. Yang boleh kami katakan ialah rekaan cantik, spesifikasi mantap, kamera menakjubkan dan prestasi bateri setakat ini amatlah memuaskan. Kemampuan kamera walaupun pada model bukan Pro ini juga melangkaui apa yang harapkan pada peringkat awal.

Vivo Malaysia belum mengumumkan bila X90 akan dilancarkan di Malaysia secara rasmi. Unit prebiu yang kami terima ini hanya dipinjamkan untuk tempoh yang pendek. Jika harga jualan adalah setanding seperti tahun lalu, Vivo X90 bakal menjadi peranti idaman untuk tahun 2023.

Pro

  • Skrin AMOLED 120Hz yang pantas dan terang.
  • Dimensity 9200 adalah pemproses mercu yang pantas.
  • Sokongan pengecasan 120W.
  • Sistem kamera dengan lensa Zeiss.
  • Kali air IP64.

Kontra

  • Skrin melengkung pada bahagian sisi.
  • Pengimbas cap jari terlalu ke bawah.
  • Tiada sokongan pengecasan nirwayar.
Komen