Carian
Peranti Terbaik Amanz 2022 – Telefon Pintar Mercu Terbaik
December 30, 2022 Effi Saharudin

Kita akhirnya tiba ke hari terakhir 2022 dengan jayanya. Sebagai kemuncak kepada siri artikel Peranti Terbaik 2022, tiba giliran kami menamakan pula Telefon Pintar Mercu terbaik sekaligus turut merupakan telefon pintar terbaik tahun ni di Amanz.

Kriteria Pemilihan

  • Spesifikasi kelas mercu.
  • Mempunyai pelbagai ciri tambahan yang menarik.
  • Hadir dengan inovasi baharu.
  • Dilancarkan pada tahun 2022.
  • Dijual secara rasmi di Malaysia.
  • Tiada had harga jualan.

Tempat Ketiga – Vivo X80 Pro

Untuk pertama kalinya sebuah peranti Vivo memasuki senarai tiga peranti mercu terbaik. Selepas beberapa tahun dilihat sebagai sub-jenama Oppo, Vivo keluar dari bayang-bayang “abang besar” mereka pada tahun 2022. Menerusi Vivo X80 Pro, sebuah peranti yang mantap berjaya ditawarkan kepada pengguna di Malaysia.

Ia pada hemat kami lebih baik berbanding Find X5 Pro yang kami letakkan di tangga keempat senarai ini kerana dilengkapi skrin yang terang, pemproses yang berkuasa, bateri yang besar, sistem pengecasan pantas, kemampuan kali air IP68 dan paling penting sekali sistem kamera lensa ZEISS lengkap dengan sistem gimbal.

Tambahan lagi X80 Pro hadir dengan sistem keselamatan ultrasonik yang memerlukan dua cap jari serentak diimbas untuk memperketatkan lagi sekuriti peranti. Satu ciri yang jarang sekali dilihat pada peranti mercu lain di pasaran. Yang menyebabkan ia hanya layak di tangga ketiga adalah kerana Funtouch OS 12 mempunyai beberapa pepijat. Namun begitu X80 Pro kami rasakan masih lebih baik berbanding Find X5 Pro, Galaxy S22 Ultra dan Xiaomi 12 Pro.

Spesifikasi: 6.78” OLED QHD+ HDR10+, 120Hz, Snapdragon 8 Gen 1 4nm (1 x 3.0 GHz Cortex-X2 + 3 x 2.5 GHz Cortex-A710 + 4 x 1.80 GHz Cortex-A510), 12 GB RAM, storan 256GB, 50+48+12+8 MP (Utama), 32 MP (Swafoto), 4700 mAh (80W), IP68, Android 12.

Harga: RM4999 (12/256 GB)


Tempat Kedua – Apple iPhone 14 Pro Max

Apple iPhone 14 Pro Max ialah telefon pintar yang kami katakan sebagai “peranti penggoda pengguna Android”. Kesemua kekurangan pada iOS sebelum ini dibaiki menerusi iOS 16. Akhirnya ada ciri Always on Display, kustomasi skrin kunci yang lebih baik berbanding Android, ciri pengesanan kemalangan yang terbukti keberkesanannya dan juga kemampuan melakukan komunikasi satelit dalam situasi kecemasan.

Sekali lagi Apple menunjukkan mereka tidak perlu berinovasi dengan drastik cuma memperbaiki sistem sedia ada untuk berfungsi dengan lebih sempurna. Dynamic Isle yang kami pada awalnya merasakan adalah gimik sebenarnya mempunyai banyak ciri praktikal. Ia sangatlah popular apabila aplikasi yang memberikan ciri yang sama untuk peranti Android ditawarkan, ia dimuat turun lebih sejuta kali. Pada tahun 2023 jangan terkejut sekiranya Dynamic Isle akan menjadi inspirasi untuk ciri seakan sama pada telefon pintar mercu Android.

Seperti biasa kekuatan iPhone ialah cip buatan sendiri. Semasa artikel ini ditulis, Apple 16 Bionic masih cip dengan CPU terbaik dengan ia lebih berkuasa berbanding Snapdragon 8 Gen 2 dalam ujian Geekbench. Prestasi video iPhone 14 Pro Max juga terbaik di dalam kelasnya baik di kamera belakang maupun di depan. Bagi penghasil kandungan video di TikTok atau YouTube, iPhone 14 Pro Max ialah telefon pintar yang terbaik boleh anda miliki. Oleh sebab itulah ia kami letakkan di tempat kedua.

Spesifikasi: 6.7” OLED LTPO Super Retina XDR Dolby Vision, 120Hz, Apple A16 Bionic 4nm (2 x 3.46 GHz Everest + 4 x 2.02 GHz Sawtooth), 6GB RAM, storan sehingga 1TB, 48+12+12 MP (Utama), 12 MP (Swafoto), 4323 mAh (27W), IP68, iOS 16

Harga: Bermula RM5799 (6/128 GB)


Juara – Samsung Galaxy Z Fold4 5G

Sekali lagi siri Galaxy Z Fold kami anugerahkan sebagai yang terbaik di hujung tahun. Mengapa Samsung Galaxy Z Fold4 menjadi pilihan kami sebagai telefon pintar terbaik 2022? Jawapannya ialah ia masih lagi telefon pintar yang paling inovatif, mempunyai skrin boleh-lipat yang besar, membaiki kekurangan pada Z Fold3 dan hadir dengan kemampuan multi-tugas yang terbaik pada telefon pintar moden.

Skrin luaran Z Fold4 lebih lebar membolehkan ia digunakan dengan lebih mudah. Perbezaan beberapa milimeter berjaya membuatkan skrin ini selesa digunakan sebelah tangan. Hayat bateri menjadi lebih tahan lama kerana skrin dalaman yang lebih besar tidak digunakan dengan kerap. Kekuatan sebenar Z Fold4 terletak pada perisian. Dengan Android 12L, ciri tablet pada telefon pintar ini berfungsi jauh lebih pantas berbanding model tahun lalu.

Taskbar yang ditawarkan tahun ini menawarkan sehingga 10 pintas pantas untuk aplikasi yang paling kerap digunakan. Pada skrin boleh-lipat, kemampuan multi tugas Z Fold4 adalah setanding seperti pada sebuah komputer Windows dan macOS.

Kesemua yang boleh dilakukan iPhone 14 Pro Max turut boleh dilakukan oleh Z Fold4 tetapi terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan Z Fold4 tidak boleh dilakukan oleh iPhone 14 Pro Max. Keunikan Z Fold4 melayakkan ia menjadi telefon pintar terbaik 2022 pada hemat kami di Amanz lebih-lebih lagi kerana harga jualan kedua-dua telefon mercu ini adalah setanding.

Spesifikasi: 6.2” AMOLED 120Hz, 7.6” AMOLED 120Hz, Snapdragon 8+ Gen 1 4nm (1 x 3.19 GHz Cortex-X2 + 3 x 2.75 GHz Cortex-A710 + 4 x 1.80 GHz Cortex-A510), 12GB RAM, storan sehingga 1TB, 50+12+10 MP (Utama), 10MP (Swafoto Luar), 4MP (Swafoto Dalam), 4400 mAh (25W), IPX8, Android 12L.

Harga: Bermula RM6799 (12/256 GB)


Selesai sudah senarai Peranti Terbaik Amanz 2022. Semoga dengan senarai ini adalah lebih mudah bagi pembaca sekalian mencari telefon pintar yang paling sesuai untuk keperluan seharian bergantung kepada harga, klasifikasi dan prestasi. Jumpa ada di tahun 2023 yang kami percaya akan menjadi tahun yang lebih menarik walaupun dijangka lebih mencabar kerana kekangan ekonomi.

Komen