Peranti Terbaik Amanz 2022 – Telefon Nilai Terbaik

Diterbitkan pada Dis 27, 2022. oleh .

Nilai terbaik adalah sesuatu yang subjektif dengan ia berubah menurut setiap individu. Di Amanz kami katakan nilai terbaik sekiranya harga jualannya adalah lebih murah daripada gabungan ciri menarik yang ditawarkan kepada pengguna. Tiga peranti di bawah pada hemat kami adalah yang terbaik untuk kategori ini.


Kriteria Pemilihan

  • Harga yang berbaloi dengan ciri-ciri yang disertakan.
  • Skrin sebesar 6-inci dan ke atas 120Hz.
  • Prestasi yang baik.
  • Sokongan 5G.
  • Ciri-ciri tambahan yang meningkatkan nilai.
  • Menggunakan sekurang-kurangnya Android 12.
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

Tempat Ketiga – Honor 70 5G

Sejak tidak lagi berdiri di dalam bayang-bayang Huawei, Honor lebih agresif dalam pemasaran peranti mereka yang menggabungkan rekaan menarik seakan mercu, prestasi yang memuaskan, kemampuan fotografi yang memuaskan dan harga yang munasabah. Honor 70 5G mempunyai semua ciri di atas dan oleh sebab itu kami letakkannya di tangga ketiga. Bateri bertahan lama dengan pengecasan 66W.

Pada harga RM1999 sebuah, pengguna dapat menikmati skrin 6.67″ OLED 120Hz yang cantik. Cip Snapdragon 778G+ pula menawarkan prestasi penggunaan aplikasi biasa dan permua yang amat memuaskan. Prestasi kami juga amat baik walaupun tiada sokongan sistem OIS.

Ia hanya di tangga ketiga kerana audio mono, tiada kemampuan kalis air dan tiada bicu audio 3.5mm. Bagi yang mencari telefon yang kelihatan seperti ia dari kelas mercu tetapi harganya masih mampu milik, Honor 70 5G ialah antara pilihan kami.

Spesifikasi: 6.67” OLED FHD+ ,120Hz, HDR10+, Snapdragon 778G+ 6nm (1X Cortex-A78 2.5 GHz + 3X Cortex-A78 2.4 GHz + 4X Cortex-A55 1.8GHz), 8GB RAM, storan 256GB, 54+50+2 MP (Utama), 32 MP (Swafoto), 4800 mAh (66W), Android 12.

Harga: RM1999 (8/256G)


Tempat Kedua – Realme GT NEO 3

Mahukan peranti gaming yang padu tetapi harga tidak membuatkan anda makan batu selama sebulan? Kami sarankan Realme GT NEO 3 yang diletakkan di tangga kedua ini. Walaupun tidak dipasarkan sebagai peranti gaming, ia mempunyai prestasi yang tidak mengecewakan. Dalam ulasan yang kami terbitkan, ia peranti gaming yang boleh dimainkan lama tanpa isu pemanasan seperti peranti dengan Snapdragon 8 Gen 1.

Skrin 6.7 AMOLED 120Hz membolehkan permua dimainkan dengan selesa dan kandungan video ditonton lengkap dengan HDR10+. Tidak seperti majoriti peranti gaming yang kami ulas, kemampuan fotografi GT NEO 3 adalah tidak mengecewakan kerana hadir dengan OIS.

Tambahan lagi ada sokongan pengecasan 80W bagi mereka yang tidak mahu menanti lama untuk bateri dicas semula. Apa lagi yang anda mahu pada sebuah peranti yang dijual pada harga hanya RM2099.

Spesifikasi: 6.7” AOLED FHD+, 120Hz, HDR10+, Dimensity 8100 5nm (4X Cortex-A78 2.85 GHz + 4X Cortex-A55 2.0GHz), 8GB RAM, storan 256GB, 50+8+2 MP (Utama), 16MP (Swafoto), 5000 mAh (80W), Android 12.

Harga: Bermula RM2099 (8/256GB)


Juara – Xiaomi 12T Pro

Kemenangan Xiaomi 12T Pro pasti sudah dijangka ramai kerana saban tahun dalam kategori “Nilai Terbaik”, Xiaomi amat sukar ditandingi jenama lain. Apa yang anda dapa dengan peranti yang dijual pada harga bermula RM2699 sebuah? Skrin 6.67″ AMOLED 120Hz yang menyokong Dolby Vsion – ciri yang jarang sekali disokong peranti Anroid.

Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang amat pantas dan kamera utama sebesar 200MP. Prestasi kamera adalah amat baik dengan gambar tajam dengan warna yang hidup dapat diambil. Tiada sebarang isu menjalankan aplikasi popular, menjalankan permua dan menyunting video pada 12T Pro.

Ia turut hadir dengan kemampuan kalis air IP53. Menjadikannya semakin berbaloi ialah bateri 5000 mAh yang menyokong pengecasan 120W. Untuk nilai terbaik kami rasakan hanya Xiaomi 12T Pro paling layak dinobatkan sebagai juara kategori ini.

Spesifikasi: 6.67” AMOLED FHD+, 120Hz, Dolby Vision, Snapdragon 8+ Gen 1 4nm (1X Cortex-X2 3.19 GHz + 3X Cortex-A710 2.75 GHz + 4X Cortex-A510 2.0 GHz), sehingga 12GB RAM, storan 256GB, 200+8+2MP (Utama), 20MP (Swafoto), 5000 mAh (120W), Android 12.

Harga: RM2699 (8/128GB)


Adakah anda bersetuju dengan pilihan kami untuk kategori ini? Jika tidak sila nyatakan apakah peranti pilihan anda di dalam ruangan komen di bawah.

komen


© Amanz / 2023 Kami