Peranti Terbaik Amanz 2022 – Telefon Pintar Bawah RM1000

Diterbitkan pada Dis 26, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tahun 2022 kini berada di penghujungnya di mana kita telah berada di bulan terakhir iaitu Disember. Jika dilihat secara menyeluruh, kami di Amanz telah membuat ulasan untuk pelbagai jenis peranti daripada segenap pengeluar. Ia juga tidak mengira jenis segmen sama ada peranti kelas mercu, pertengahan premium, pertengahan mahupun asas.

Kami mulakan artikel tahunan ini dengan senarai telefon pintar terbaik di bawah RM1,000 terlebih dahulu kerana ia merupakan segmen paling popular dalam kalangan pengguna. Berikut adalah tiga model telefon pintar pilihan para editor Amanz.


Kriteria Pemilihan:

  • Dilancarkan pada tahun 2022 & dijual secara rasmi di Malaysia.
  • Harga di bawah RM1000 sebelum promosi.
  • Skrin sebesar 6-inci & ke atas.
  • Prestasi masih memuaskan walaupun cip pemprosesan berusia.
  • Port pengecasan USB-C.
  • Menggunakan Android 12.

Tempat Ketiga – Realme 9 4G

Realme adalah salah satu jenama yang sering menawarkan telefon pintar pada harga mesra poket. Pada tahun ini, Realme 9 4G menjadi pilihan kami sebagai salah sebuah telefon pintar yang murah tetapi tidak berkompromi dengan nilai tambahan memenuhi keperluan harian. Misalnya seperti skrin 6.4″ SAMOLED 90Hz adalah salah satu ciri terbaik yang ditawarkan pada telefon pintar ini.

Realme 9 4G juga mempunyai kamera beresolusi tinggi 108MP sekaligus membolehkan pengguna mengambil gambar yang artistik. Bateri 5000mAh yang tahan lama maka pengguna juga tidak perlu mengecas telefon pintar ini dengan kerap lengkap dengan pengecasan 33W.

Menyentuh soal prestasi, ia mungkin agak sederhana dengan cip Snapdragon 680 dan sekadar menyokong 4G. Tetapi, ia masih memadai sebagai sebuah telefon pintar untuk kegunaan harian, bukannya sesi permua pada tetapan paling tinggi.

Spesifikasi: 6.4” Super AMOLED FHD+ 90Hz, Snapdragon 680 (4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold, 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver), 6GB RAM, storan128GB, 108MP + 8MP + 2MP (utama) + 16MP (swafoto), 5000mAh (33W), Android 12.

Harga: RM899 (6/128GB)


Tempat Kedua – Samsung Galaxy A23 4G

Lebih sukakan telefon pintar dengan kamera yang menyokong OIS? Kami meletakkan Samsung Galaxy A23 sebagai pilihan peranti kedua terbaik dengan harga di bawah RM1,000 kerana ia satu-satunya telefon pintar dengan sokongan OIS pada harga ini. Dengan OIS, gambar yang lebih stabil boleh diambil dengan hasil imej yang akan kelihatan lebih tajam.

Kemampuan fotografi bertambah menarik dengan kuad-kamera 50MP + 5MP + 2MP + 2MP dan kamera swafoto 8MP. Seperti Realme di atas, bahagian prestasi mungkin agak sederhana tetapi masih memadai sebagai sebuah telefon pintar harian.

Cip Snapdragon 680 digunakan sekaligus sokongan selular terhad pada 4G sahaja. Ini tidak mengapa memandangkan rangkuman rangkaian 5G di Malaysia masih lagi kecil dan 4G masih lagi pantas. Kemudian sistem pengecasannya juga mungkin tidak begitu pantas tetapi kapasiti bateri 5000mAh yang digunakan mampu bertahan lama.

Spesifikasi: 6.6” TFT LCD FHD+ 90Hz, Snapdragon 680 (4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold, 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver), 6GB RAM, storan 128GB, 50MP + 5MP + 2MP + 2MP (utama) + 8MP (swafoto), 5000mAh (25W), Android 12.

Harga: RM899 (6/128GB)


Juara – Redmi Note 11S 5G

Selain daripada Realme, Redmi juga jenama yang ‘tidak kalah’ dalam menawarkan peranti pada harga mampu milik tetapi masih lagi berbaloi. Redmi Note 11 S 5G kami nobatkan sebagai juara telefon pintar terbaik bawah RM1000 kerana mempunyai rekaan yang baik dan hadir dengan pelbagai fungsi yang diperlukan oleh pengguna.

Walaupun dijual pada harga RM999, pengguna boleh mendapatkan sebuah telefon pintar sokongan 5G disebabkan oleh penggunaan cip MediaTek Dimensity 810. Skrin besar 6.6-inci yang digunakan menyokong kadar segar semula 90Hz yang membuatkan penggunaan terasa lancar terutamanya semasa menonton video, melayari web dan menggunakan aplikasi media sosial. Kesemua pengalaman ini menjadi lebih seronok dengan adanya pembesar suara stereo.

Bateri 5000 mAh yang disertakan boleh memberikan SOT hingga 12 jam dan menerusi pengecasan 33W boleh dicas dalam masa sekitar 70 minit. Beberapa ciri bonus lain ialah sokongan NFC, bicu audio 3.5mm dan pemancar infra merah. Kekurangan hanyalah tiada penarafan kalis air dan dan debu tetapi tiada peranti dalam segmen menang tidak pernah menawarkannya.

Spesifikasi: 6.6” IPS LCD FHD+ 90Hz, MediaTek Dimensity 810 (2 x 2.4 GHz Cortex-A76, 6 x 2.0 GHz Cortex-A55), 6GB RAM, storan 128GB, 50MP + 8MP + 2MP (utama) + 32MP (swafoto), 5000mAh (33W), Android 12.

Harga: RM999 (6/128GB)


Selesai sudah senarai Peranti Terbaik Amanz 2022 Bawah RM1000. Semoga dengan senarai ini adalah lebih mudah bagi pembaca sekalian mencari telefon pintar yang paling sesuai untuk keperluan seharian bergantung kepada harga, klasifikasi dan prestasi. Jumpa ada di tahun 2023 yang kami percaya akan menjadi tahun yang lebih menarik walaupun dijangka lebih mencabar kerana kekangan ekonomi.

komen


© Amanz / 2023 Kami