Senarai peranti terbaik 2022 telahpun kami terbitkan dengan sebanyak 15 telefon pintar kesemuanya. Tetapi kami menyedari peranti terbaik tidak terhad kepada telefon pintar sahaja. Oleh itu di Amanz kami meminta sidang editor untuk memilih satu peranti kegemaran merekan sepanjang 2022 yang tidak jatuh ke dalam kategori telefon pintar. Berikut adalah peranti-peranti pilihan kami.
Fahim Zahar – Pico 4
Tidak dinafikan yang penggunaan set kepala realiti maya di Malaysia tidak begitu meluas. Antara sebab utama adalah ia tidak dijual di Malaysia secara rasmi dan set import dijual pada harga mahal dan tiada sebarang jaminan. Tetapi dengan kehadiran Pico di Malaysia semuanya berubah.
Peranti pilihan saya tahun ini adalah sesuatu yang anda mungkin tidak jangka, iaitu Pico 4. Set kepala realiti maya rasmi pertama di negara ini.
Pico 4 adalah set kepala realiti maya terbaik setakat ini. Ia hadir dengan rekaan kompak, seimbang di depan dan belakang tidak seperti Oculus Quest generasi pertama yang pernah saya gunakan, amat mudah untuk digunakan, dan memberi pengalaman penggunaan terbaik dengan Pico OS 5.0.
Dijana Snapdragon XR2, memori 8GB RAM, storan dalaman sehingga 256GB, menggunakan skrin 4K+ (2160 x 2160 pada setiap lensa), kadar segar semula 90Hz, dilengkapi 6 sensor DoF untuk penjejakan, dan yang paling cool – mod tembus berwarna yang boleh membezakan dunia realiti dan dunia maya.
Menggunakan Pico 4 ini membuatkan saya teringat akan filem Ready Player One. Apabila bermain, saya hampir terlupa yang saya berada dalam dunia maya. Tidak kira permainan aksi, bersenam atau bersukan malah jika saya ingin melukis juga tiada masalah. Harga jualan bermula RM1699 adalah satu perbelanjaan paling berbaloi jika anda ingin nikmati pengalaman penggunaan set kepala VR yang pasti tidak akan menyesal.
Amy Maizuraa – Huawei FreeBuds Pro 2
Jenama Huawei untuk segmen telefon pintar mungkin tidak lagi menjadi pilihan utama pengguna ketika ini. Namun tidak bermaksud tiada langsung hal menarik dengan produk yang dihasilkan olehnya. Misalnya seperti Huawei FreeBuds Pro 2 yang merupakan peranti pilihan saya pada tahun ini. Saya bukanlah seorang audiophile sejati tetapi saya juga masih agak memilih dalam soal keselesaan fon telinga. Bagi saya, fon telinga jenis dalam telinga lebih memberi kepuasan, disebabkan rekaannya yang akan menyumbat salur telinga secara menyeluruh. Jadi bunyi dari luar akan dapat dihalang dengan jayanya daripada mencemari pendengaran.
Pernah suatu ketika sewaktu penerbangan dari Thailand ke Malaysia, saya menggunakan Huawei FreeBuds Pro 2 sebagai peneman sepanjang perjalanan dan ia berfungsi dengan cukup efektif. Khususnya apabila saya menggunakan kemampuan sistem ANC pada tahap Ultra yang secara efektif mampu menapis deruman enjin kapal terbang menjadi perlahan. Hal ini bertambah menarik kerana kemampuan menapis itu tidaklah sehingga mengakibatkan ‘pekak’ pada telinga.
Terdapat juga tahap Dynamic yang mana Huawei membangunkan algoritma yang menggunakan mikrofon pada FreeBuds untuk mengenal pasti bunyi sekeliling secara aktif, kemudiannya menyesuaikan pembatalan bunyi secara dinamik dalam masa nyata. Begitu juga dengan penggunaan di dalam pejabat, fon telinga ini sangat membantu saya memberi tumpuan yang penuh sewaktu bekerja. Pengalaman penggunaan bertambah menarik dengan sokongan audio yang ditala oleh Devialet yang cukup dikenali sebagai syarikat sememangnya pakar dalam bidang teknologi audio.
Huawei FreeBuds Pro 2 juga memudahkan penggunaan dengan sokongan sejumlah kawalan yang boleh diubah dan diakses menerusi pelbagai jenis peranti termasuklah HarmonyOS, Android, iOS dan Windows. Bagaimanapun pengalaman penggunaan yang baik ini sudah semestinya menerusi aplikasi Huawei AI Life yang perlu dimuat-turun terlebih dahulu menerusi Google Play Store, Huawei App Gallery serta App Store.
Penambah sokongan menjejak putik telinga (Find My Earphone) yang hilang juga telah memberi nilai tambah berbanding generasi sebelum ini. Dengan saiz yang kecil, ciri tersebut sangat memudahkan saya menjejak semula lokasi ini sekiranya hilang atau terjatuh. Secara keseluruhan, inilah sebab Huawei FreeBuds Pro 2 adalah peranti terbaik pilihan saya pada tahun ini
Nazrin Zain – ASUS ROG SWIFT PG42UQ
Tahun 2022 merupakan tahun di mana bekalan peranti elektronik hiburan seperti televisyen pintar, komputer gaming dan juga konsol permainan video semuanya mendadak dari segi permintaan.
Pilihan peranti kegemaran saya pada tahun ini ialah paparan skrin terbaru daripada ASUS, iaitu ASUS ROG SWIFT PG42UQ. Paparan skrin ini menggunakan paparan skrin OLED bersaiz 41.5 inci dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 120Hz yang juga menyokong teknologi olahan warna HDR dan juga Variable Refresh Rate yang membantu dalam memastikan konsol-konsol permainan terbaru dapat memaparkan olahan grafik yang terbaik.
Saiz 42 inci mungkin akan dirasakan sebagai terlalu besar pada mulanya, tetapi setelah membiasakan diri dengannya dan juga pengubahsuaian dari segi kedudukan, saya kini benar-benar faham dengan apa yang dimaksudkan dengan pengalaman gaming dan hiburan yang imersif ataupun mendalam.
Jika anda mempunyai sebuah komputer gaming berkuasa, ataupun konol permainan generasi terbaru seperti Sony PlayStation 5 ataupun Microsoft Xbox Series X, saya akan katakan bahawa paparan ASUS ROG SWIFT PG42UQ ini merupakan paparan skrin yang terbaik untuk memaksimakan prestasi komputer dan konsol anda sekaligus, dengan sokongan beberapa palam HDMI 2.1 yang terbina.
Bukan itu sahaja, sekiranya anda jenis yang malas mahu memasang pembesar suara untuk setup meja yang tidak memakan begitu banyak ruang, paparan skrin ini juga tampil dengan pembesar suara terbina yang boleh saya katakan adalah setanding dengan penawaran televisyen pintar premium di luar sana.
Effi Saharudin – Samsung The Wall 146-Inci
Saya sukakan peranti yang unik, mahal dan eksklusif. Samsung The Wall yang saya sempat gunakan semasa di Bangkok jatuh ke dalam kategori ini kerana ia merupakan sebuah televisyen pintar gergasi dengan skrin mencecah 146-inci dengan resolusi mencecah 4K 120Hz. Saya katakan mencecah kerana sebenarnya The Wall ialah sistem TV modular yang saiznya berubah mengikut kehendak pelanggan.
Panel kecil boleh dipasang menjadi panel gergasi dengan nisbah skrin juga berubah mengikut kehendak pengguna. Dengan teknologi Micro LED, ia adalah televisyen yang paling melampau pernah saya gunakan dan ulas setakat ini. Panel ini menyokong kandungan HDR10+ dan boleh digunakan oleh golongan gamer untuk sesi permainan video sehingga 120Hz.
The Wall baharu juga akhirnya dilengkapi speaker terbina dan juga kesemua sistem secara terbina tidak seperti model terdahulu. Menerusi sistem operasi Tizen OS pula, pelbagai aplikasi utama dan diperlukan boleh dimuat turun bersama dengan sokongan sistem internet benda Samsung SmartThings secara terbina.
Yang mengecewakan ialah televisyen ini tidak boleh anda beli menerusi Seng Heng, Court Mammoth atau kedai rasmi Samsung. Ia hanya ditawarkan untuk pelanggan perniagaan dan korporat sahaja. Oleh sebab itu harga jualannya juga tidak kami tahu cuma ia disahkan mencecah enam angka. Dengan Samsung The Wall impian untuk mempunyai sebuah panggung wayang peribadi di rumah akan menjadi kenyataan jika anda berkemampuan. Oleh sebab ia adalah TV paling melampau pernah saya lihat dan gunakan, The Wall ialah pilihan saya untuk peranti terbaik Amanz 2022.