Peranti Terbaik Amanz 2022 – Telefon Pertengahan Premium

Diterbitkan pada Dis 29, 2022. oleh .

Syukur ke hadrat Ilahi, kita sudah tiba ke penghujung tahun 2022 dengan jayanya. Sudah sampai masanya untuk anda baca salah satu artikel kepada siri Peranti Terbaik 2022 kami. Dalam artikel ini ia adalah untuk Telefon Pintar Pertengahan Premium terbaik, di mana ia boleh dikatakan adalah pilihan alternatif jika anda tidak mampu memiliki peranti mercu terbaik pilihan kami.

Kriteria Pemilihan

  • Tiada batasan harga dan peranti dinilai berdasarkan ciri-ciri yang disertakan.
  • Skrin sebesar 6-inci dan ke atas.
  • Prestasi yang baik dengan cip kelas pertengahan.
  • Kemampuan kamera yang baik.
  • Menggunakan Android 12.
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

Tempat Ketiga – Samsung Galaxy A73 5G

Peranti ini adalah sebuah peranti yang saya sendiri tidak sangka Samsung boleh tawarkan. Ia adalah sebuah peranti yang hampir lengkap sepenuhnya, idaman oleh semua peminat teknologi untuk memiliki apa yang Galaxy A73 tawarkan pada semua peranti mercu. Ia juga mungkin akan menjadi peranti terakhir Samsung di bawah siri ini, kerana Galaxy A7x dilaporkan akan dihentikan.

Walaupun kami rasakan peranti ini antara yang lengkap dan mantap, kami harus letakkan di tempat ketiga kerana ada pesaing lain yang lebih menarik perhatian. Tetapi untuk Samsung Galaxy A73 5G, ia hadir dengan saiz skrin besar, panel jenis OLED, kemampuan kamera dan audio yang boleh diterima serta paling jarang kelihatan pada peranti kelas pertengahan adalah peranti ini mempunyai perlindungan IP67.

Tidak lupa juga yang melalui One UI, Samsung memberikan sokongan kemas kini yang terbaik. Benar, pesaing pun lebih kurang sama – tetapi setakat ini Samsung sahaja yang konsisten dengan kemas kini bulanan, tampalan kerentanan sekuriti serta antara yang terpantas menerima kemas kini sistem operasi. Penawaran Samsung ini sukar untuk dikejar oleh Realme, Xiaomi, Vivo dan jenama lain yang aktif dalam pengeluaran peranti kelas pertengahan premium.

Spesifikasi: 6.7” SAMOLED FHD+ HDR10+, 120Hz, Snapdragon 778G (4 X 3.0 GHz Kryo 570 Gold + 4 X 2.5 GHz Kryto 570 Silver), 8 GB RAM, storan 256GB, 108+12+5+5 MP (Utama), 32 MP (Swafoto), 5000 mAh (25W), IP67, Android 12 (sudah menerima Android 13).

Harga: RM2099 (8/256 GB)


Tempat Kedua – Oppo Reno8 Pro

Sudah semestinya dalam kategori ini, peranti Oppo tidak pernah terlepas. Kalau tahun lepas Reno6 Pro di tempat kedua tahun ini Oppo Reno8 Pro pula. Kami panggil peranti ini sebagai peranti fotografi terbaik, di mana untuk peranti kelas pertengahan prestasi kameranya bertaraf peranti mercu. Apa yang Oppo lakukan pada peranti ini adalah satu langkah berani, kerana benar-benar meletakkan ciri mercu dan bukannya sekadar kata-kata atau gimik sahaja seperti pesaing.

Oppo sejak dulu lagi sentiasa cuba sedaya upaya mereka untuk menawarkan kemampuan fotografi yang terbaik untuk semua peranti mereka. Contoh pada Remo8 Pro ini cip MariSilicon X disertakan sekali untuk meningkatkan lagi kemampuan fotografi seperti gambar dan video di waktu malam atau di suasana yang gelap. Reno8 Pro juga hadir dengan rekaan yang cantik, seksi dan nampak premium.

Kami juga menyenaraikan peranti Oppo ini kerana perisian ColorOS yang semakin baik. Oppo Reno8 Pro adalah sebuah peranti terbaik jika anda inginkan inovasi, pentingkan fotografi dan berhasrat untuk penggunaan jangka masa panjang.

Spesifikasi: 6.67” AMOLED, FHD+, 120Hz, Dimensity 8100 (4 X 2.85 GHz Cortex-A78 + 4 X 2.0 GHz Cortex-A55), 12GB RAM, storan dalaman 256GB, 50+8+2 MP (Utama), 32 MP (Swafoto), 4500 mAh (80W), Android 12.

Harga: Bermula RM3499 (12/256 GB)


Juara – Nothing Phone (1)

Buat kali pertama kami memilih juara dari jenama baharu yang masih usianya setahun jagung, iaitu Nothing Phone (1). Lama kami berbincang sama ada adakah peranti ini layak atau patut kami anugerahkan kepada jenama lain. Tetapi Nothing Phone (1) ini menjadi pilihan kerana pertama sekali adalah rekaannya. Nothing menggunakan rekaan yang lain daripada yang lain, memberikan jenama ini satu keistimewaan pada panel belakang yang lutsinar.

Kemudian, Nothing juga cuba berinovasi dalam mengembalikan semula lampu notifikasi LED melalui sistem Glyph. Dengan Glyph, bukan sahaja belakang peranti akan menyala lampu tetapi lampu juga akan bergerak mengikut rentak nada dering.

Nothing Phone (1) juga adalah peranti kelas pertengahan yang hampir lengkap sepenuhnya. Ia menyokong pengecasan nirwayar, pengecasan nirwayar berbalik, menawarkan dwi-kamera 50MP yang baik, tubuh yang rata di setiap sisi termasuk pada skrin, dan paling penting perisian yang mantap. Phone (1) menjalankan Nothing OS yang mirip dengan Android asli dan memfokuskan kepada ekosistem terbuka.

Misalnya, Nothing adalah satu-satunya peranti Android yang boleh memaparkan status bateri AirPods Pro jika ditambat. Kemudian Phone (1) turut menyokong paparan NFT, boleh menjadi kunci kereta Tesla dan menyokong kemas kini versi Android untuk 3 tahun dan 4 tahun untuk tampalan sekuriti.

Apa yang Nothing tawarkan adalah sangat menarik. Jika anda tertanya, kenapa skor ulasan Oppo Reno8 Pro lebih tinggi berbanding Nothing Phone (1), tetapi Phone (1) pula dinobatkan sebagai juara? Ini kerana ulasan adalah berdasarkan Nothing OS versi awal. Kini selepas menerima beberapa kemas kini kritikal, pengalaman penggunaannya kini terbaik dari segi prestasi, kamera, audio, dan secara keseluruhan untuk peranti kelas pertengahan premium tahun 2022.

Spesifikasi: 6.55” OLED FHD+ HDR10+, 120Hz, Snapdragon 778G+ (1 x 2.5 GHz Cortex-A78 + 3 x 2.4 GHz Cortex-A78 + 4 x 1.8 GHz Cortex-A55), 8/12 GB RAM, storan 256GB, 50+50 MP (Utama), 16 MP (Swafoto), 4500 mAh (33W), IP53, Android 12 (Android 13 dalam ujian).

Harga: Bermula RM1499 (8/128 GB)


Itu sahaja senarai Peranti Terbaik Amanz 2022 untuk kategori Telefon Premium Pertengahan. Kami harap senarai ini dapat membantu anda memilih peranti yang anda ingin beli untuk kegunaan sehingga tahun 2023 atau beberapa tahun lagi. Jika anda mempunyai citarasa lain atau bajet lain, kami juga ada sediakan kategori lain dalam senarai Peranti Terbaik Amanz 2022 ini. Anda boleh pergi ke bahagian atas, di mana kami sediakan pautan untuk ke senarai-senarai lain.

komen


© Amanz / 2023 Kami