Carian
Ulasan Samsung Galaxy A73 5G – Iterasi Kecil Tahun Demi Tahun
May 20, 2022 Effi Saharudin

Samsung melancarkan Galaxy A33 5G, A53 5G dan A73 5G di Malaysia pada Mac lalu dengan beberapa penambahbaikan kepada rekaan A32, A52 dan A72 yang dilancarkan pada tahun sebelumnya. Tetapi tahun ini Samsung melakukan sesuatu yang cukup kontroversi kerana membuang bicu audio pada A73. Adakah ketiadaan bicu audio boleh dimaafkan dengan ciri lain pada peranti ini? Ulasan ringkas ini cuba menjawabnya bagi pihak anda.

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy A73 5G
Skrin6.7″ SAMOLED,
FHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 778G (6nm)
Cip4 X 3.0 GHz Kryo 570 Gold
4 X 2.5 GHz Kryto 570 Silver
Cip GrafikAdreno 642L
RAM8GB
Muatan Dalaman256 UFS (mikro SD 1TB)
Kamera Utama108+12+5+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4, OIS
Kamera Swafoto32 f/2.2 Megapixel
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 25W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP67
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 2099 (8/256GB)

“Wajah” peranti masih sama iaitu skrin 6.7″ SAMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+. Peranti turut dilengkapi sistem pengimbas cap jari di bawah skrin serta lubang kamera Infinity-O yang terletak di garisan tengah. Bezel adalah nipis dengan hanya bezel bawah sahaja sedikit tebal jika bandingkan dengan tiga sisi yang lain. Rekaan skrin juga masih dikekalkan rata dengan penghasilan semula warna yang cukup memuaskan.

Peranti boleh menyokong paparan HDR10+ di aplikasi YouTube, Netflix dan Disney+ .Semasa menggunakan peranti memang terasa ia sedikit besar tetapi terdapat mod sebelah tangan bagi mereka yang mempunyai tangan yang kecil kecil.

Skrin bukan sahaja terang tetapi mampu menawarkan warna yang hidup. Ujian dilakukan di dalam bilik maka kami tidak dapat menguji sama ada prestasi di bawah cahaya matahari yang terik adalah baik. Bagi yang tidak selesa dengan kadar segar semula 120Hz, terdapat pilihan untuk mengubah ke mod 60Hz.

Tubuh peranti kini lebih berkotak dan terasa lebih plastik. Ia terasa amat ringan di dalam tangan sehingga terasa canggung kami dibuatnya kerana peranti kegunaan harian sejak beberapa minggu lalu ialah Xiaomi 12 Pro yang berat. Bingkai kini mempunyai sisi rata yang amat selesa di dalam tangan. Mirip dengan rekaan rata yang digunakan pada Galaxy S22+ yang kami ulas beberapa bulan yang lalu. Ia bukan sahaja selesa dipegang tetapi peranti nampak lebih segak.

Butang kuasa dan laras audio masih dikekalkan pada sisi kanan dengan ianya diperbuat daripada logam yang tegap. Talam SIM yang menyokong dwi-SIM nano dan kad mikro SD diletakkan pada bahagian atas. Pengguna boleh menambah storan peranti sehingga 1TB menggunakan kad mikro SD pada Galaxy A73.

“Yang memilukan tahun ini ialah peranti tidak lagi hadir dengan bicu audio 3.5mm

Bergerak ke bawah terdapat port pengecasan USB-C dan kekisi untuk speaker. Yang memilukan tahun ini ialah peranti tidak lagi hadir dengan bicu audio 3.5mm yang untuk sekian lama menjadikan siri Galaxy A digemari peminat. Samsug mula melihat penggunaan TWS semakin popular dan mengekalkan bicu audio pada siri Galaxy A mungkin bukan lagi satu kepentingan.

Berita baik ialah sistem audio stereo masih lagi dikekalkan cuma satu menghala ke depan dan satu lagi menghala ke bawah. Kami tidak tahun mengapa Samsung tidak mahu mengikuti jejak Xiaomi yang menawarkan peranti dengan speaker stereo yang kedua-duanya menghala ke sisi untuk audio lebih seimbang. Oleh itu audio Galaxy A73 masih lagi kurang seimbang dengan speaker bawah lebih lantang. Sistem audio Dolby Atmos disertakan dan ia boleh digunakan pada speaker fizikal apabila diperlukan.

Bonggol kamera tahun ini walaupun masih berbentuk segi empat sama mempunyai sisi yang lebih landai seakan yang ditemukan pada Oppo Find X3 Pro. Ianya tidak begitu tinggi tetapi masih tidak membolehkan peranti diletakkan rata pada permukaan meja. Panel belakang masih lagi dari bahan polikarbonat yang digunakan tahun lalu. Kami tahu penggunaan polikarbonat pada peranti adalah isu bagi sebilangan pengguna. Yang boleh kami katakan ialah panel belakang peranti masih kelihatan cantik khususnya dalam warna Awesome Peach dan Awesome Mint.

Panel dari bahan ini juga lebih tahan lasak berbanding kaca dan tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Terdapat pro dan kontra penggunaan panel kaca atau polikarbonat tetapi bergantung kepada citarasa peribadi yang mana adalah lebih baik.

Cip Snapdragon 778G yang digunakan adalah yang sama seperti yang digunakan pada Galaxy A52S 5G. Ini ialah perbezaan utama antara Galaxy A73 dengan Galaxy A33 dan Galaxy A53 yang menggunakan cip baharu Exynos 1280.

Snapdragon 778G ialah cip kelas pertengahan lapan teras 6nm dengan 2x teras Kryo 670 Gold dan 6x teras Cortex-A670 yang dipadankan pula dengan GPU Adreno 642L. Ini ialah cip terbaik Qualcomm untuk peranti kelas pertengahan setakat ini.

Pilihan model di Malaysia hanya dengan 8GB RAM dan storan 256GB UFS dengan sokongan kad mikro SD. Terdapat juga sokongan sistem RAM Plus yang menambah memori sebanyak 2GB, 4GB dan 6GB mengikut keperluan pemilik. Maka sepatutnya tiada lagi isu peranti melakukan segar semula aplikasi dengan kerap semasa ia disimpan di latar belakang.

Kamera utama memadankan lensa sudut lebar 108MP, lensa ultra sudut lebar 12MP, lensa makro 5MP makro dan lensa kedalaman 5MP. Gabungan sistem kuad-kamera yang berbeza dengan Galaxy A72 5G kerana sistem telefoto dengan 3X zum optikal tidak lagi diberikan. Penekanan diberikan kepada kamera lensa sudut lebar sahaja dengan sensor bersaiz amat besar.

Membekalkan kuasa ialah bateri sebesar 5000 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W menerusi port USB-C. Dengan kapasiti besar Samsung yakin peranti boleh digunakan sehingga dua hari. Sejauh manakah ini berpijak di bumi yang nyata hanya akan dapat kami buktikan selepas peranti diulas kelak. Yang boleh kami katakan sekarang ialah tahun ini pengecas tidak diberikan dengan setiap pembelian sama seperti tiada lagi bicu audio 3.5mm.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah menyokong rangkaian WiFi 6, Bluetooth 5.0, dan kesemua sistem GPS di muka bumi. Peranti turut melepasi piawaian kalis air IP67 yang jarang sekali diberikan pada peranti kelas pertengahan Android. Mengakhiri spesifikasi ialah peranti menyokong rangkaian 5G Sub-6GHz yang digunakan di Malaysia dengan ia boleh digunakan sejak 6 Mei yang lalu.


Penggunaan Dan Perisian

Peranti menggunakan Android 12 dengan pelancaran One UI 4.1 yang setanding dengan yang digunakan pada siri Galaxy S22. Kami tidak dibenarkan mengambil sebarang tangkapan layar pada model yang dicuba tetapi kami boleh mengesahkan ia sama dengan yang kami gunakan di Galaxy S22+. Maka tangkapan layar Galaxy S22+ kami gunakan di bawah sebagai ganti.

Apa yang anda dapat dengan One UI 4.1? Antaramuka yang minimalis dengan tidak banyak perubahan mendadak berbanding Android stok. Antaramuka juga lebih mudah digunakan dengan sebelah tangan kerana kedudukan ikon serta akses lebih mudah dengan beberapa ciri ketercapaian.

Pada peringkat awal penggunaan agak lancar apabila dipadankan dengan skrin 120Hz. Tiada sebarang isu kadar bingkai skrin tersedak kerana gagal memproses input yang diberikan. Walaupun menggunakan cip Snapdragon 778G, pengalaman penggunaan adalah setara dengan Galaxy S22+ yang lebih mercu. Tetapi selepas semakin banyak aplikasi dipasang di latar belakang dan dipasang, A73 mula tersekat-sekat.

Ini adalah aneh kerana isu ini tidak pernah kami alami pada peranti One UI. Kemudian kami menyedari model yang diulas hanya dilengkapi 6GB RAM dan bukannya 8GB RAM pada model yang dijual kepada orang ramai. Dari pengalaman terdahulu, One UI memerlukan sekurang-kurangnya 8GB RAM untuk beroperasi dengan lancar.

Kami sudah mengulas Galaxy A52s dengan 8GB RAM dan Snapdragon 778G sebelum ini tanpa sebarang isu. Maka kami boleh katakan besar kemungkinan A73 dengan 8GB RAM tidak akan mempunyai isu tersekat-sekat ini. Seperkara lagi meningkatkan saiz RAM Plus tidak menyelesaikan isu peranti yang tidak beroperasi dengan lancar ini pada unit yang diulas.

Samsung mengesahkan Galaxy A73, Galaxy A53 dan Galaxy A33 akan menerima sokongan versi Android selama empat generasi dan tampalan sekuriti selama lima tahun. Ini menjadikan sokongan kemas kini yang ditawarkan oleh Samsung adalah yang terbaik pada platform Android melangkaui apa yang mampu ditawarkan oleh Google pada Pixel.

Antara ciri menarik pada One UI 4.1 adalah seperti berikut.

  • Edge Panels – Panel sisi untuk aplikasi, kompas, Smart Select dan banyak lagi.
  • RAM Plus – Penambahan RAM secara maya sehingga 6GB.
  • Edge Lighting – Lampu pada skrin apabila menerima notifikasi.
  • AOD – Paparan aktif walaupun ketika skrin dimatikan.
  • Easy Mode – Antaramuka mesra warga emas.
  • Secure Folder – Menyimpan fail dalam bekas yang dikunci.
  • Live Captions – Sari kata masa nyata

Penanda Aras

Markah yang dicatatkan cip Snapdragon 778G pada A73 dalam ujian penanda aras Geekbench 5 dan Antutu 3D adalah seperti di bawah. Ia adalah antara yang tertinggi dalam kategori peranti kelas pertengahan premium.

  • Geekbench 5 – 736/2740 Markah
  • Antutu 3D – 477,570 Markah

Pemproses pesaing yang paling hampir ialah Dimensity 920 yang mencatatkan 813/2314 markah dalam ujian Geekbench 5 dan 494,848 markah dalam ujian Geekbench 5. Perbezaan markah adakah agak ketara ketara sebenarnya tidak begitu dirasakan dalam penggunaan harian. Snapdragon 778G masih lagi SOC yang berkuasa untuk digunakan walaupun sudah agak berusia.

Menjalankan permua seperti COD Mobile pada tetapan sederhana boleh dilakukan dengan cukup selesa. Peranti menjadi sedikit suam sahaja. Kelebihan panel belakang polikarbonat ialah ia adalah penebat haba yang baik. Maka peranti tidak terasa seperti ingin bertukar menjadi seterika selepas sesi permainan yang panjang.


Telefoni Dan GPS

Kami menggunakan SIM Digi sepanjang ulasan yang sekadar menyokong rangkaian 4G. Panggilan selular adalah jelas dan terang bergantung kepada kawasan anda. Dalam situasi paling optimum dengan 4G menunjukkan 5 palang penuh panggilan telefon yang dilakukan jelas. Untuk pengalaman panggilan telefon yang lebih baik aktifkan VoLTE dan VoWiFi. Ini amatlah membantu jika anda tinggal di kawalan dengan rangkaian 4G yang tidak begitu memuaskan.

GPS juga berfungsi dengan baik sepanjang tempoh ulasan selama dua minggu. Aplikasi Waze dan Google Map dengan segera menjejak lokasi kenderaan. Walaupun bergerak di antara dua bangunan tingi di sekitar Kuala Lumpur isyarat tidak terputus.

Kamera

Berikut ialah sampel gambar dari kamera utama 108MP sudut lebar, 12MP ultra sudut lebar, 5MP makro. dan 5MP kedalaman serta kamera hadapan 32MP. Secara keseluruhan kualiti gambar adalah baik apabila menggunakan kamera utama kerana ia dilengkapi sistem OIS.

Pada kamera lain kualiti adalah bercampur-campur. Mod ultra sudut lebar adalah sederhana juga asalkan dalam situasi terang. Lensa makro pula sekadar gimik kerana kualiti 5MP. Sistem bokeh yang digunakan juga tidak begitu konsisten.

Satu perkara yang konsisten pada kesemua lensa ialah penghasilan semula warna yang kurang bermaya. Tidak begitu hidup atau memuaskan. Kerana sensor 108MP, proses mengambil masa yang lebih lama. Sukar untuk mengambil banyak gambar berturutan dengan pantas kerana kamera akan terhenti sekejap setiap kali butang kamera ditekan. Lebih baik jika sensor lebih kecil digunakan dalam situasi begini.

Dalam kategori peranti kelas pertengahan premium, kami merasakan prestasi kamera lebih baik ditawarkan oleh Realme 9 Pro+. Peranti Realme ini mengambil gambar dengan warna lebih hidup, imej lebih tajam dan mod malam yang lebih memuaskan.


Bateri

Prestasi bateri adalah amat memuaskan kerana dalam penggunaan berat bateri 5000 mAh mampu bertahan sehingga hampir 20 jam dengan SOT hampir 8 jam. Pada penggunaan yang lebih ringan peranti boleh beroperasi sehingga 2 hari dengan SOT sekitar 7.5 jam.

Ini sudah dijangka kerana saiz bateri besar dipadankan dengan cip yang tidak begitu dahaga bateri. Pengecasan semula bateri menggunakan sebuah pengecas 25W (yang dibeli secara berasingan) mengambil masa sekitar 80 minit, Ini bukanlah pengecas terpantas di pasaran dan tambah mengecewakan lagi pengecas langsung tidak diberikan oleh Samsung dalam kotak. Hanya pengecasan secara berwayar sahaja menerusi port USB-C boleh dilakukan oleh A73.

Audio

Audio adalah memuaskan kerana Dolby Atmos boleh digunakan pada speaker fizikal stereo yang digunakan. Ianya jelas dan lantang. Tidak kedengaran seperti tin kosong aluminium walaupun pada tahap kelantangan tertinggi. Tetapi satu kekisi masih menembak ke sisi dan satu lagi ke hadapan mengakibatkan audio stereo tidak seimbang.

Tiadanya bicu audio adalah mengecewakan kerana siri Galaxy A dari Samsung selama ini ialah barisan terakhir peranti yang masih menyokongnya bersama dengan pembesar suara stereo, slot kad mikroSD, kamera OIS dan kemampuan kalis air. Peranti lain di dalam kelasnya juga turut banyak tidak lagi dilengkapi bicu audio 3.5mm. Kualiti audio menggunakan aksesori bluetooth amat bergantung kepada peralatan yang digunakan. Apabila digunakan bersama dengan Sony WH10000XM5 kami dapat menikmati audio yang amat memuaskan kerana wujudnya sokongan LDAC.


Pesaing

Samsung Galaxy A73 5GXiaomi 11 Lite 5G NERealme 9 Pro+
6.71″ SAMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, (393 PPI), HDR10+
6.55″ AMOLED, 1080 x 2400, 90Hz, (402 PPI), Dolby Vision6.4″ AMOLED, 1080 x 2400,
90Hz, (411 ppi)
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Dimensity 920 (6nm)
2 X 2.5 GHz Cortex A78
6 X 2.0 GHz Coretx A55
Adreno 642LAdreno 642LMali-G68 MC4
8 GB 8 GB8 GB
256 GB UFS
(Mikro SD 1TB)
256 GB UFS

256 GB UFS 2.1
Kamera Utama
108+12+5+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4
Kamera Utama
64+8+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
50+8+2 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.4
IP67IP53Tidak kalis air
Tiada Bicu AudioTiada Bicu audioYa
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 25W)4250 mAh (Berwayar 33W)4500 mAh (Berwayar 60W)
Harga RM2099Harga RM1599Harga RM1599

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Samsung Galaxy A73 5G
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C
  • 1x Manual

Kesimpulan

Kekuatan Samsung Galaxy A73 5G terletak pada rekaan yang menarik, selesa dalam tangan, pemproses yang berkuasa, bateri yang besar dan sokongan perisian sehingga lima tahun terbaik dalam industri. Ia menawarkan kesemua yang baik dari Galaxy A72 kecuali tiada lagi bicu audio 3.5mm yang semalam ini membuatkan siri Galaxy A peranti yang cukup sifatnya. Perkara yang sama tidak lagi boleh digunakan tahun ini.

Tidak banyak perkara negatif boleh kami tulis kecuali kehilangan ciri audio yang disebutkan tadi dan pengecasan yang tidak lagi layak dipanggil pantas. Tiada pula pengecas diberikan dengan setiap pembelian atas nama ingin menyelamatkan alam sekitar.

Prestasi kameranya juga sekadar sederhana dengan warna yang tidak memuaskan langsung. Sukar untuk menyasarankan A73 jika anda inginkan kemampuan kamera yang baik. Lebih baik membeli Realme 9 Pro+ yang lebih berkuasa dan kamera lebih hidup kerana sensornya sama dengan yang digunakan pada Oppo Find X5 Pro.

Pro

  • Rekaan tubuh yang lebih menarik.
  • Snapdragon 778G ialah cip yang berkuasa.
  • Sokongan kad mikro SD 1TB.
  • RAM Plus menambah memori sehingga 6GB.
  • Kalis air IP67.
  • Bateri bersaiz besar.
  • Sokongan perisian selama lima tahun.

Kontra

  • Tiada bicu audio 3.5mm.
  • Kemampuan kamera tidak begitu memuaskan.
  • Sistem pengecasan masih perlahan.
  • Pengecas tidak diberikan dengan pembelian.
  • Panel belakang polikarbonat.

Komen